Apakah ia akan berakhir seperti yang diharapkan? Ikuti kisah pilihan saya minggu ini. Cerita yang dikirimkan oleh Hadi (bukan nama sebenar) untuk dikongsi dengan pembaca budiman.

Ini kisahnya.

“Saya berusia awal 30-an, belum berkahwin dan bekerja di sebuah syarikat penerbitan sejak lima tahun lalu. Saya pernah mengirim kisah saya di ruangan ini beberapa tahun lalu.

“Oleh kerana sudah lama tidak menulis, saya terpanggil untuk berkongsi satu kisah yang berlaku kepada keluarga saya sendiri. Mudah-mudahan ia menjadi iktibar kepada kita semua.

“Saya merupakan cucu kepada seorang atuk yang mempunyai lapan orang anak, zuriat daripada dua arwah isterinya yang sudah meninggal dunia. Tidak dinafikan walaupun kami mempunyai saudara mara tiri, namun hubungan kekeluargaan cukup rapat. Malah, tiada istilah panggilan ‘tiri’ dalam kalangan kami.

“Ayah saya merupakan anak keempat dari arwah nenek pertama. Disebabkan bekerja di luar Kuala Lumpur, maka ayah saya tidak dapat menjaga atuk yang sudah berumur 88 tahun.

“Alhamdulillah, walaupun atuk sudah lanjut usia, namun kesihatannya cukup membanggakan walaupun masalah utamanya adalah pelupa dan sering berulang tanya soalan yang sama. Penat menjawabnya. Sifat garang dan terkocoh-kocoh atuk sejak dari muda sehingga sekarang juga menyebabkan ramai anak dan cucu tidak tahan dengannya.

“Lantaran itu, hanya anak perempuan sulungnya yang sanggup menjaga sehingga hari ini. Saya tidak pasti kenapa atuk enggan ke rumah anak-anak lain. Pernah, kami datang beraya ke rumah saudara-mara lain, dia tergesa-gesa ingin pulang ke rumah kediamannya bersama ibu saudara saya itu.

“Ibu saudara saya tidak berkahwin dan atuk sudah tinggal bersama sejak arwah nenek masih hidup. Saya rapat dengan ibu saudara sejak kecil dan setiap minggu saya akan singgah ke rumah, menjenguk dan bertanya khabar mereka berdua.

“Setiap kali saya datang, ibu saudara saya menangis dan mengadu yang dia tertekan dan tidak tahan dengan perangai atuk. Ditengking, banyak bertanya dan pelbagai lagi sikap orang tua yang perlu dilayan kerenahnya.

Mujur, atuk masih boleh pergi ke tandas sendiri. Malah, sikapnya yang sentiasa ingin solat di awal waktu dan kadang-kadang terlebih waktu juga tidak larat dilayan kerana penyakit pelupa begitu ketara menjengah lewat usianya.

“Dalam lapan adik-beradik, boleh dikatakan majoritinya sering berkunjung setiap minggu ke rumah ibu saudara saya itu sambil sarapan bersama dan meluangkan masa melayan atuk. Sekurang-kurangnya terubat tekanan ibu saudara yang sentiasa berada di sisi atuk.

“Bagaimanapun tiga lagi anaknya amat jarang melawat, apatah bertanya khabar. Hendak dikatakan jarak rumah, masih di kawasan Lembah Klang. Pernah ibu saudara saya mengamuk dan meluahkan kesedihannya kepada abangnya yang saya panggil Pak Long kerana tidak tahan dengan sikap adik beradik yang tidak berusaha untuk melawat bapa mereka.

“Malah, saya sendiri pernah mencadangkan supaya atuk dihantar ke rumah orang tua-tua kerana begitu kasihan melihat keadaannya yang tertekan. Waktu itu juga mungkin sudah boleh dibilang siapa paling kerap ziarah.

“Bukan saya sahaja, bapa saudara lain pernah mencadangkan perkara sama. Namun, ibu saudara saya tekad, apa sekali pun yang berlaku, tidak sesekali dia akan menghantar ayah kandungnya ke sana. Tambahan pula, sewaktu arwah nenek terkena strok, ibu saudara ini juga yang menjaga sehingga mencuci berak. Sungguh, dalam lapan anak, seorang pun belum pernah mencuci berak ibunya sendiri.

“Saya tersentap seketika kerana dapat merasakan sayangnya seorang anak terhadap bapanya walaupun sedang tertekan. Sikap itu juga menjadi pedoman buat saya mengimbau saat kita dijaga oleh ibu bapa yang tidak pernah jemu melayan betapa susahnya menjaga anak di waktu kecil.

“Memang mulut saya berkata begitu, namun, hati tidaklah tergamak berbuat demikian. Apa yang saya dapat simpulkan, ibu saudara saya sebenarnya hanya memerlukan sokongan moral daripada adik beradik lain.

“Masakan dia tidak geram kerana ada yang boleh melancong ke luar negara kerap kali, tapi khabar atuk langsung tidak diendah. Boleh dibilang dengan jari berapa kali dalam setahun mereka datang melawat. Pergi bercuti boleh pula. Dalam saat-saat genting ini, sokongan emosi sangat diperlukan.

“Tidak keterlaluan saya katakan, mungkin ada dalam kalangan anak-anak sudah tergamak berfikir, hanya tunggu atuk mati sahaja, kerana lelaki berhak mendapat lebih dalam pembahagian harta pusaka (faraid), disebabkan simpanan kewangan atuk sangat banyak seperti hasil jualan tanah yang diwarisi dari nenek moyang.

“Itulah yang sering dilafazkan ibu saudara yang menjaga atuk. Walaupun mulutnya ikhlas berkata menjaga atuk demi Allah, namun, soal harta, dia sudah dapat merasakan sikap adik-beradik lain. “Jaga abah tak hendak, harta hendak,” luahnya terlalu kecewa.

“Saya berdoa kepada Allah, agar dipanjangkan usia ibu saudara saya yang baik hati itu supaya atuk masih ada tempat untuk bersama anak kesayangannya sehingga hujung usia. Saya bimbang, kalau-kalau ibu saudara pergi dahulu, apa akan terjadi pada atuk?

“Masalahnya atuk tidak mahu berganjak dari rumah yang dia duduk sekarang. Malah, saya juga memanjatkan pengharapan dan doa supaya saya tidak mewarisi sikap negatif bapa saudara lain yang sudahlah jaga pun tidak, hendak bertanya khabar dan ziarah pun boleh dikira dengan jari.

“Ini juga hikmah kenapa ibu saudara saya tidak bertemu jodohnya ketika usia muda dan mendara sampai ke tua, kerana Allah simpan seorang daripada lapan anak supaya dapat menjaga ibu bapanya sehingga akhir hayat.

“Saya mendoakan dia sentiasa dalam rahmat Allah untuk terus berbakti kepada atuk. Mudah-mudahan Allah kurniakan mereka berdua kesihatan yang baik dan permudahkan urusan hidup mereka.

“Saya juga berharap ibu saudara dan bapa saudara yang lain akan menjalankan tanggungjawab mereka terhadap atuk dengan baik dan ikhlas, terutama anak-anak atuk yang selalu lepas tangan. Fikirkanlah, hari ini kita buat bapa kita, satu hari nanti anak kita pula akan buat perkara yang sama kepada kita. Ingat, balasan Allah itu pasti,” demikian Hanif menamatkan catatannya.

Syabas Hanif kerana prihatin dengan masalah atuknya. Saya kagum dengan sikap prihatin anda dan berharap masalah keluarga anda akan selesai dengan baik.

Perkara seumpama ini boleh dibawa berunding jika semua sepakat dan bersatu hati. Alangkah manisnya jika bergilir-gilir menjaga bapa. Semua ambil tanggungjawab. Membalas kebaikan dan pengorbanan bapa yang menjaga kita sejak kecil.

Semoga Allah, buka pintu hati anak-anak atuk untuk memikul tanggungjawab ini bersama Hanif.

Menamatkan catatan, pesanan saya ada sebab kenapa Allah memilih kita untuk diuji, dan ketika itu, kita akan bersyukur dengan ujian tersebut dan sedar ia satu pengajaran penting dalam meneruskan hidup.

Salam