Cukup berbangga kerana mampu mengharumkan nama negara sehingga ke peringkat antarabangsa, bagi Quzandria Nur Mahamad Fathil, 35, sukan berkuda sudah sebati di dalam 
diri.

Ini bukan sahaja kerana penglibatannya dalam sukan tersebut sejak berusia sembilan tahun tetapi dengan nama yang 
unik dan juga penglibatan dua abangnya, Qabil dan Quzier Ambak cukup sinonim apabila membicarakan mengenai sukan berkuda.

Bagaimanapun, kemunculan Quzandria dan juga Qabil mewakili negara dalam Sukan SEA 2017 baru-baru ini ternyata memberikan kejutan kepada dunia ekuestrian.

Ini kerana pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, ia merupakan kali terakhir pasangan adik beradik ini beraksi.

Namun, mereka mengambil keputusan untuk beraksi semula membantu Malaysia memburu pingat emas pada Sukan SEA 2017 dan tiada apa yang lebih menggembirakan Quzandria apabila dapat beraksi di hadapan penyokong di negara sendiri.

“Bayangkan selepas tujuh tahun menyepi dari pertandingan dunia sukan ini, ia memberikan sedikit cabaran untuk kami memulakan kembali apa yang telah ditinggalkan.

“Segala-galanya terpaksa dimulakan dari bawah kerana semuanya telah tiada termasuk kuda dan juga kemahiran untuk menunggang.

“Tetapi alhamdulillah walaupun sudah lama tidak menunggang kuda, jurulatih memberitahu, saya masih lagi mempunyai kemahiran tersebut,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Menyifatkan kemunculannya kembali dalam arena sukan berkuda memberikan momen-momen terindah yang sukar dilupakan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini turut memberi kejutan kepada peminat sukan tanah air dengan memenangi emas Sukan SEA 2017. - Gambar AMIR HAFIZ

Alahan ketika mengandung

Tidak hanya berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam acara Dressage Individu dan juga berpasukan, Quzandria juga berjaya menewaskan abangnya, Qabil Ambak dalam acara dressage individu.

Bukan itu sahaja, malah berita kehamilannya membuatkan ramai yang terkejut kerana aksinya yang bersahaja bersama kudanya, Rosenstolz, ketika Sukan SEA lalu menunjukkan seperti tiada apa berlaku.

Mengakui perasaannya bercampur-baur sebaik sahaja disahkan mengandung ketika sibuk menjalani latihan di Eropah menjelang Sukan SEA beberapa bulan lalu, bagaimanapun anak bongsu daripada tiga beradik ini mengambil keputusan untuk meneruskan niat untuk bertanding pada Sukan SEA 2017.

“Semasa membuat keputusan untuk bertanding pada Sukan SEA 2017, saya tidak tahu mengandung, namun saya menyedarinya apabila setiap hari saya kepenatan dan tidak cergas walaupun ke gim.

“Apabila pemeriksaan dilakukan dan didapati hamil, terus saya memaklumkan kepada kedua-dua ibu bapa untuk mendapatkan pandangan mereka dan meminta agar tidak menghebahkan perkara ini kerana bimbang akan menjejaskan penyertaan dalam Sukan SEA.

“Saya turut mendapatkan nasihat doktor dan mereka memberitahu semuanya terpulang kepada diri saya sendiri. Jika rasa sihat, saya boleh teruskan dan ketika itu apa yang terlintas di fikiran hanya ingin menyertai Sukan SEA dan selesaikan apa yang dimulakan.

“Alhamdulillah segala-galanya dipermudah dan sehingga hari ini kandungan dan diri saya sihat dan kini berehat sepenuhnya sehinggalah bersalin kelak,” tuturnya sambil tersenyum.

Bakal menimang cahaya mata pertama awal Januari tahun hadapan, Quzandria juga mengalami alahan ketika hamil sehingga bulan keempat usia kandungannya.

Quzandria bagaimanapun bersyukur kerana sentiasa ditemani suami tersayang, Alessandro Zulkarnain Ciaramaglia yang memberinya semangat.

Tidak sabar untuk menyambut ahli baharu dalam keluarga mereka, Quzandria seperti bakal ibu yang lain tidak terlepas daripada melakukan ujian imbasan untuk mengetahui jantina anak yang dikandung.

Bagaimanapun, ulas Quzandria buat masa ini dia mahupun suami tidak mahu mengetahui jantina bayi yang dikandung kerana ingin memberi kejutan kepada mereka dan juga ahli keluarga yang lain.

Telah mula membeli segala kelengkapan bayi sedikit demi sedikit selepas tamat Sukan SEA 2017 lalu, Quzandria juga berkongsi berita, dia akan bersalin dan berpantang cara tradisional di Malaysia.

“Saya dan suami membuat keputusan untuk bersalin di sini (Malaysia) dan melalui berpantang cara tradisional.

“Emak yang akan jaga sepanjang tempoh saya berpantang.

“Ketika ini kedua-dua orang tua saya sangat teruja untuk cucu baharu, walaupun ini bukanlah cucu pertama mereka tetapi cucu pertama dari anak perempuan mereka,” katanya.

Persediaan Sukan SEA 2017

Bercerita lebih lanjut mengenai persediaannya untuk Sukan SEA 2017, Quzandria memberitahu, dia bertuah kerana kudanya, Rosenstolz, tidak banyak kerenah walaupun baru lapan bulan menunggangnya.

Katanya, kebiasaannya, seekor kuda ini akan mengambil masa sehingga dua tahun sebelum boleh menyesuaikan diri dengan penunggangnya, tapi dia memang bernasib baik.

“Persediaan untuk menyertai Sukan SEA hanya dilakukan enam bulan sebelum temasya tersebut berlangsung dan segala-galanya perlu pantas.

“Sebaik sahaja keputusan dibuat (untuk menyertai Sukan SEA) saya terus ‘terbang’ ke Eropah untuk memulakan latihan.

“Pada masa sama, saya terpaksa membeli kuda baharu kerana kuda lama semuanya telah dijual dan dalam tempoh masa yang singkat saya melakukan semua perkara termasuk membiasakan diri dengan kuda baharu.

“Ini kerana kuda ialah seekor haiwan yang agak sensitif, jadi seboleh-bolehnya saya perlu membiasakan diri dengan kuda ini untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang pertandingan berlangsung,” sambungnya.

Bagi Quzandria kemunculannya semula bukan sahaja berjaya membantu negara memenangi pingat emas tetapi juga berjaya mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya berjaya mengalahkan abangnya, Qabil Ambak dalam persaingan merebut emas acara individu selepas tewas pada dua Sukan SEA sebelum ini di Kuala Lumpur (2001) dan Korat, Thailand pada tahun 2007.

“Selepas lama bersara, kami meminta untuk kembali dan membantu negara memburu pingat emas. Pastinya cabaran tidak mudah kerana pesaing kami seperti Thailand, Indonesia dan Filipina juga cukup handal.

“Namun keinginan untuk memenangi emas ketika ini adalah kuat kerana bertanding di negara dan di hadapan penyokong sendiri.

“Alhamdulillah segala pengorbanan berbaloi kerana berjaya menyumbangkan pingat emas untuk negara dan misi menyertai Sukan SEA 2017 tercapai,” katanya.

Walaupun gembira dengan pencapaian dirinya tempoh hari, apa yang menjadi kerisauan Quzandria dan juga ahli keluarga yang lain ialah mengenai kekurangan pelapis dalam sukan tersebut.

Melihatkan sukan berkuda masih lagi tiada pelapis terbaik, Quzandria berharap agar persatuan dapat melakukan sesuatu.

Menolak sekiranya ditawarkan untuk menjadi jurulatih, Quzandria bagaimanapun tidak menolak untuk melatih penunggang-penunggang muda untuk meneruskan aksi sekiranya jadualnya selepas bersalin tidak bertindan dengan aktiviti baharunya sebagai seorang ibu.

Juga dia tidak kisah sekiranya satu hari nanti anaknya akan mengikut jejak langkahnya menjadi seorang atlet dalam sukan berkuda, begitupun Quzandria menyerahkan segala-galanya kepada minat anaknya nanti.