Setiap saat remaja orang kurang upaya (OKU) ini berdoa agar hasrat itu termakbul suatu hari nanti.

Walaupun menghidap CP, Muhammad Haikal yang mesra dipanggil Haikal boleh bertutur seperti orang normal, malah dapat menghafal surah-surah lazim dengan baik.

Malah kata ibunya, Noor Aznita Omar, 44, Haikal tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, masih ingin bersolat dan ikut sama mengaji al-Quran bersama adik-beradiknya yang lain.

Berusia 17 tahun, anak kedua daripada enam orang adik-beradik itu tidak boleh berjalan dan bergantung kepada bantuan ahli keluarga untuk bergerak.

Reda menerima ketentuan Tuhan, Noor Aznita sedikit pun tidak pernah mengeluh cuma sedih mengenangkan Haikal, yang dahulunya sangat ceria tetapi sejak kebelakangan ini mula ‘memberontak’, meluahkan rasa penat hidup terlantar dan menanggung kesakitan.

“Kadangkala dia marah saya tetapi sikit pun saya tak kecil hati kerana saya faham derita yang ditanggung.

“Walaupun fizikal Haikal tidak sempurna, pemikirannya sama seperti remaja-remaja lain, yang mahukan kehidupan lebih baik.

“Keadaan itu menyebabkan jiwanya tertekan, jadi saya perlu berusaha menyelami hatinya untuk sekurang-kurangnya meringankan kesedihannya.

“Tambahan pula sekarang, keadaan tulang belakangnya semakin bengkok menyukarkan lagi pergerakan Haikal.

“Tidak cukup dengan itu, terdapat ketumbuhan di bahagian perut yang masih belum dikenal pasti oleh doktor membuatkan Haikal sentiasa dalam kesakitan,” katanya yang menetap di Taman Sepakat, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah.

Ujarnya, Haikal akan menunjukkan emosinya dengan cara memberontak, tidak mendengar cakap, malah langsung tidak mempedulikan keadaan sekeliling.

Di sebalik emosi yang ditunjukkan, sebenarnya dia memerlukan perhatian dan penerimaan daripada orang sekeliling, selain mahu dilayan seperti orang normal.

Berkongsi kisah Haikal, Noor Aznita berkata, kelahirannya berlaku tanpa dijangka kerana berlaku ketika usia kandungan baru mencecah enam bulan.

Disebabkan lahir tidak cukup bulan, dia terpaksa ditahan di wad selama tiga bulan.

Disahkan lumpuh otak pada bahagian kawalan anggota badan, ketika itu Noor Aznita sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan apabila doktor memberitahu Haikal akan membesar sebagai penghidap CP dan akan bergantung hidup sepenuhnya dengan ahli keluarga.

Pun begitu, kuasa Allah mengatasi segalanya apabila kesihatan bayi tersebut semakin bertambah baik dari sehari ke sehari. Malangnya, dek kekangan kewangan Haikal tidak mendapat rawatan fisioterapi yang baik dalam tempoh membesar, menyebabkan dia kini hanya mampu terlantar.

“Ketika ini, hanya suami iaitu bapa tiri Haikal yang bekerja sepenuh masa dengan pendapatan RM1,000 sebulan untuk menanggung kehidupan kami sekeluarga. Saya pula menjaga pesakit strok dengan upah RM300 sebulan untuk membantu suami.

“Dengan pendapatan sebanyak ini sahaja, kami tidak mampu menyediakan rawatan terbaik untuknya. Sekarang ini pun, dua anak kami masih bersekolah termasuk Haikal, yang memerlukan peruntukan khas setiap bulan kerana memerlukan susu khas untuk memberinya tenaga,” ujarnya.

Noor Aznita juga terkilan apabila memikirkan anak sulungnya yang berusia 19 tahun terpaksa mengorbankan cita-cita ke menara gading, demi membantu suaminya menambah pendapatan keluarga.

Berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar setiap dua bulan sekali untuk latihan fisioterapi, Haikal masih lagi tidak mempunyai kerusi roda khas untuk bergerak sendiri.

Keadaan itu menyebabkan setiap apa yang dia dilakukan termasuklah pergi membuang air didukung oleh mereka suami isteri. - Gambar ISMAIL KAMADIN