Keprihatinan itu jelas boleh dilihat melalui pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan yang dihulurkan bagi menceriakan golongan tersebut.

Meneruskan tradisi itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), The Giving Bank baru-baru ini telah mengadakan majlis khas bagi meraikan anak-anak istimewa daripada empat buah rumah kebajikan.

Penganjuran program tersebut yang dilihat bukan sahaja mengerat dan merapatkan lagi tali persaudaraan ia turut membuka ruang interaksi dan komunikasi di antara satu sama lain.

Melihat perayaan yang diraikan sebagai satu titik tolak kepada kita semua untuk meluangkan masa bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan terutama anak-anak, ini kerana institusi keluarga adalah platform terbaik dalam mencorakkan kehidupan terutama golongan remaja dan belia hari ini.

Menurut Pengasas The Giving Bank, Dr. Janson Ang, program tersebut yang pertama kali dianjurkan merupakan perintis untuk program-program yang akan datang.

Katanya lagi, tiada apa yang lebih menggembirakan apabila melihat kanak-kanak yang diraikan begitu gembira dan pada masa yang sama dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

“Program hari ini telah diadakan secara bersama dengan Hotel Berjaya Times Square dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Usaha itu sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan dan kegembiraan kepada mereka yang kurang bernasib baik malah ia menjadi tanggungjawab kami untuk sama-sama membantu.

“Kita komited untuk membantu lebih ramai anggota masyarakat pelbagai agama, bangsa dan budaya di samping mempergiat usaha mendekati masyarakat,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Dr. Janson menjelaskan, majlis tersebut telah disertai kanak-kanak istimewa dari Pertubuhan Kebajikan An Najah, Pertubuhan Rahoma Darul Fakir, Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, dan Kebajikan Pesakit Ichthyosis Malaysia.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah disediakan seperti pertunjukan silap mata dan persembahan nyanyian.

Bagi memberi lebih kegembiraan kepada kanak-kanak dari empat buah rumah kebajikan tersebut, The Giving Bank tidak ketinggalan memberikan sumbangan dalam bentuk barangan masakan, barangan makanan, pakaian, dan bantuan persekolahan.

Dr. Janson berkata, melalui bantuan tersebut ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban perbelanjaan untuk rumah-rumah kebajikan tersebut.

Katanya, dalam usaha melaksanakan tanggungjawab memperkasa golongan kanak-kanak, pihaknya turut berganding bahu dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, komuniti, dan NGO selaras dengan konsep ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama’.

Pada majlis tersebut, penyampaian sumbangan telah disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Sempena majlis itu juga, Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichthyosis Malaysia tidak ketinggalan diberi bekalan perubatan selama setahun untuk membantu pesakit ichthyosis meringankan kesakitan yang dialami.

Sumbangan bekalan perubatan tersebut akan diagihkan kepada pesakit-pesakit ichthyosis yang berada di Kedah, Pahang dan Kelantan.