Amalan ini dilihat tidak hanya mampu melunaskan tugasan, malah boleh mengeratkan lagi hubungan antara ibu dan anak.

Ini merupakan suatu pengalaman yang tidak ternilai dan mungkin tidak dapat dirasai sekiranya anak disorong menggunakan kereta sorong (stroller).

Pada masa sama, suhu badan, bau yang dikenali dan corak pernafasan ibu atau bapa mampu mewujudkan rasa selamat, tenang dan bahagia kepada bayi.

Biarpun amalan menggendong bayi dianggap ketinggalan zaman dan hanya dilakukan oleh ibu-ibu di kampung, hari ini amalan itu kembali menjadi ikutan dalam dunia pengasuhan moden apabila lebih ramai ibu bapa mula melihat manfaat mendukung anak bagi ikatan hubungan dan membantu perkembangan sihat bayi.

Menurut Konsultan penggendong bayi bertauliah dari Malaysian Babywearers (MBW), Siti Arina Raihana Abdul Rashid, 31, alat penggendong yang diperbuat daripada kain mampu membaluti keseluruhan belakang bayi dan menyokongnya dalam keadaan semula jadi.

Katanya, sokongan yang sihat diperlukan pada sesuatu alat kendong sama ada berbentuk kendong (carrier) atau selempang (sling) kerana perkembangan tulang belakang seiring dengan pembesaran bayi.

“Kebiasaannya, bayi akan diletakkan di bahagian hadapan dan belakang penggendong. Ia selesa dipakai dan selamat untuk bayi serta si penggendong.

“Alat ini boleh digunakan oleh bayi baru lahir sehingga berusia empat tahun bergantung pada saiz tubuh dan ibu bapa harus mengelak daripada membeli kendong kelangkang yang menyebabkan kaki dan pinggul anak-anak mereka terjuntai dan menghalang pinggul berada dalam soketnya.

“Kendong yang baik harus mempunyai tapak yang luas agar bayi selesa dan kedudukan pinggulnya dalam keadaan yang betul malah melalui kendong juga, tulang belakang ibu bapa dapat disokong dengan mengagihkan berat daripada pinggul dan bahu seiring dengan pembesaran bayi mereka,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen #InMyErgo di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Tambahnya, dengan adanya alat penggendong bayi, membuatkan ibu-ibu berasa lebih selesa dan mudah untuk melakukan sekarang kerja rumah atau pun aktiviti.

Malah manfaat mendukung bayi pernah dilaporkan dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Pediatrics mendedahkan bahawa bayi yang didukung kurang menangis.

Bagaimanapun seiring dengan kemajuan teknologi hari ini, kaedah atau alat mendukung bayi turut mengalami perubahan di mana sekiranya dahulu sesetengah ibu bapa menggunakan kain sarung untuk menggendong, kini terdapat pelbagai bentuk dan rekaan alat kendong menawarkan pelbagai kelebihan.

Terbaharu, jenama pereka alat penggendong bayi terkenal, Ergobaby telah melancarkan Ergobaby Omni 360.

Menawarkan pelbagai posisi gendongan bagi membolehkan ibu bapa menukar kedudukan bayi dari menghadap ke depan atau menghadap ibu bapa dengan mudah.

Bukan itu sahaja, alat penggendong ini juga membolehkan bayi atau pun kanak-kanak diletakkan di posisi belakang dan juga pada pinggul.

Memandangkan penggendong ini boleh dilaraskan untuk kegunaan bayi yang baru lahir sehingga yang sedang bertatih (3.2 hingga 20 kilogram), ia tidak memerlukan pelapik.

Pengurus Jualan Bloom & Grow Malaysia, Calvin Wong memberitahu, Ergobaby Omni 360 yang serba baharu ini turut menyokong bayi dalam posisi berbentuk ‘M’ yang baik untuk pinggul, pada semua peringkat dan dalam semua posisi termasuk menghadap ke depan.

Ciri-ciri tambahan yang terdapat pada alat penggendong itu termasuk tali pinggang yang menyokong bahagian lumbar ibu yang menggendong, kusyen tambahan untuk bayi, tali bahu boleh silang, dan sebuah kantung penyimpan besar yang boleh ditanggalkan.

“Kami ingin membantu ibu bapa tidak kira di mana sahaja dengan menyediakan produk berinovasi tinggi yang sesuai digunakan dalam kehidupan seharian.

“Penggendong ini juga membolehkan ibu menyusukan anak dengan mudah dan secara terlindung, mempunyai kantung penyimpanan yang besar, dan hud penutup kepala bayi yang boleh disimpan untuk menghalang sinaran matahari dan lebih privasi.

“Diperbuat daripada seratus peratus kapas premium, penggendong ini boleh dibersihkan menggunakan mesin cuci dan boleh didapati dalam empat warna iaitu hitam, kelabu mutiara, biru gelap dan hijau khaki,” katanya.

Sementara itu, sempena Bulan Alat Penggendong Bayi, Ergobaby memperkasa ibu bapa untuk melakukan pelbagai aktiviti yang mereka inginkan dengan bantuan penggendong bayi.

Kempen media sosial bertemakan I Can Do Anything #InMyErgo adalah kempen pemerkasaan global, yang mana pengisian kempen diperoleh hasil daripada perkongsian pengalaman ibu bapa yang telah menggunakan penggendong bayi.