Bukan itu sahaja, ibu-ibu turut disaran untuk meneruskan penyusuan sehingga anak mereka mencapai umur dua tahun.

Ini kerana susu ibu adalah unik dan mengandungi nutrien yang mencukupi bagi pertumbuhan bayi.

Bagaimanapun amalan ini dilihat gagal apabila ibu-ibu yang bekerja kembali bekerja dan kebanyakan ibu hanya berjaya mengamalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif pada tiga bulan pertama.

Di Malaysia, statistik kadar penyusuan eksklusif bagi bayi berumur enam bulan meningkat daripada 30.5 peratus pada 2012 kepada 44.0 peratus pada 2014.

Walaupun angka itu masih rendah, tetapi menunjukkan trend peningkatan dan perlu meneruskan usaha serta sokongan supaya lebih ramai wanita atau bakal-bakal ibu mengamal penyusuan susu ibu seperti yang disyorkan.

Menurut Pengarah Urusan Fonterra Brands Malaysia dan Singapura, Jose Miguel Porraz Lando, masalah ini berlaku kerana tuntutan kerja yang membuatkan kebanyakan ibu mengambil keputusan bertukar kepada susu formula.

Tambahnya, apabila ini terjadi, perbincangan bersama majikan adalah diperlukan bagi menjayakan penyusuan susu ibu, kerana ibu perlu keluar mengepam dan keadaan ini mungkin mengambil waktu bekerja.

“Dengan gaya hidup masa kini yang sentiasa sibuk, ramai ibu bekerja menghadapi masalah untuk menyusukan bayi mereka dan ditambah pula tidak mendapat sokongan daripada majikan.

“Namun, banyak majikan semakin menyedari kepentingan penyusuan susu ibu dengan menyediakan bilik penyusuan khas untuk ibu,” ujarnya.

Katanya, kemudahan yang harus disediakan oleh majikan kepada ibu-ibu yang menyusukan bayi harus meliputi bilik penyusuan yang selesa dan selamat dengan kelengkapan tempat penyimpanan susu.

Menerusi usaha ini, mampu menggalak dan menyokong wanita mengamalkan penyusuan susu ibu, di samping meneruskan kerjaya mereka.

Dalam pada itu, Porraz Lando berkata, golongan wanita harus diberikan cuti rehat dan pengurangan waktu jam bekerja bagi memberi ruang kepada mereka untuk menyusukan bayi dengan susu ibu.

“Waktu kerja yang fleksibel seperti jadual waktu kerja sambil menyusukan atau mengepam susu badan atau pun masa rehat tengah hari yang panjang juga membantu.

“Secara umumnya, masyarakat hari ini dilihat telah mula menerima konsep penyusuan susu ibu setelah mereka menyedari tentang pelbagai manfaat yang diperoleh daripada penyusuan susu ibu, khususnya terhadap ibu dan bayi.

“Kunci kepada kejayaan amalan penyusuan susu ibu adalah memastikan wujudnya sistem sokongan secara berterusan hari ke hari tidak kira sama ada untuk ibu yang bekerja atau pun tidak,” katanya.