Ternyata pemilik rumah iaitu Mohd. Safie Fozi, 36, dan isterinya Noraisyah Zulkawi, 36, punya citarasa yang menarik apabila menggabungkan konsep elegan dengan moden kontemporari.

Warna putih dan kuning air yang menguasai hampir keseluruhan ruang bawah rumah disulami dengan warna hijau pucuk pisang berbeza dengan kebanyakan dekorasi rumah yang penulis pernah singgah.

Cermin juga banyak digunakan sebagai hiasan rumah yang bukan sahaja memberi ilusi keluasan, ia juga mencipta rasa mewah. Hampir setiap sudut diceriakan dengan kehadiran pokok bunga yang kebanyakannya bertemakan hijau dan putih juga, mencipta suasana mendamaikan dalam kediaman lot tepi ini.

Namun Noraisyah bijak mengehadkan penggunaan warna pokok kepada hijau dan putih sahaja yang mana kebanyakannya merupakan pokok orkid hiasan berwarna putih bagi mengelakkan suasana berserabut.

Gabungan unsur alam semula jadi dan moden itu kerana Safie yang mencintakan kedamaian suka elemen natural dengan penggunaan kayu-kayan dan warna hijau manakala Noraishah pula suka sesuatu yang sederhana dan moden.

“Ikutkan hati, saya mahu banyak menggunakan hiasan bercirikan kristal dan kaca bagi melengkapkan lagi tema elegan, tetapi saya punya anak kecil dan ia kurang sesuai kerana membahayakan mereka.

“Dalam menghias rumah perlu juga praktikal. Mungkin bila anak sudah membesar bolehlah saya mencapai impian itu. Lagipun saya menghias rumah ini untuk anak-anak melalui suasana yang selesa.

“Asas dalam menghias rumah ialah perlu menetapkan konsep yang diingini, praktikal dengan gaya hidup dan bajet yang mampu dikeluarkan,” terang Noraisyah ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Ceritanya, pada awalnya dia menghias rumah secara suka-suka bersama suami, kemudian mendapat permintaan dari kawan baik untuk menghias rumah mereka walaupun kedua-duanya tidak mempunyai latar belakang seni.

Apabila berkongsi di laman

Facebook hasil tangan Noraisyan dan Safie yang suka bertukang, tak disangka ia menarik minat ramai untuk mendapatkan perkhidmatan mereka dan dari situ muncullah idea menjalankan perniagaan AZS Decor yang menyediakan perkhidmatan menghias rumah.

Ujar Noraisyah, buat masa ini mereka mengehadkan untuk satu rumah sebulan kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya iaitu Noraisyah sebagai pengurus penyelidikan dan pembangunan manakala Safie pula merupakan seorang pengurus bank.