Fotografi di Malaysia telah berkembang dengan pesatnya ketika ini. Jika suatu masa dulu fotografi hanya diamalkan oleh golongan bangsawan kerana faktor kewangan. Kini fotografi telah diceburi oleh semua golongan terutama mereka yang mencari sumber pendapatan sama ada tambahan atau tetap.

Ketika era analog fotografi tidaklah seperti sekarang yang mana penghantarannya agak lewat jika kita terlibat dalam industri media cetak. Gambar perlu diproses dari peringkat filem hingga ke gambar. Cuma agak cepat andainya gambar itu diproses sendiri.

Pemprosesan menggunakan bahan kimia adalah kaedah analog. Bahan kimia yang terkenal untuk memproses filem adalah D76, D72 dan D163. Manakala untuk memproses filem warna penggunaan mesin dengan bahan kimia C41 dan E6 adalah untuk memproses slide.

Kewujudan teknologi digital membantu mencepatkan proses fotografi. Bagi yang terlibat dalam industri fotografi komersial akan memakan masa sedikit kerana ia akan disunting untuk memantapkan mutu gambar. Misalnya bagi yang terlibat dalam pengiklanan model dan juga perkahwinan.

Proses pembelajaran di sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi, fotografi digital mampu memudahkan tugasan guru-guru dan juga pensyarah. Tambahan dengan wujudnya laman sesawang dan laman sosial telah menyemarakkan lagi dunia pendidikan.

Bidang sains perubatan dan kejuruteraan memperolehi faedah yang besar di era fotografi digital. Para saintis menggunakan teknologi ini untuk memperolehi keputusan penyelidikan mahupun diagnosis kepada pesakit.

Membicarakan kelebihan sama ada fotografi analog atau digital, semua ada kelebihan sendiri. Fotografi analog sebenarnya masih boleh digunakan cuma kita perlu rajin mencari bahan untuk memproses seperti filem, kertas cetak dan bahan kimia. Bahan kimia boleh dibancuh sendiri jika kita tahu formulanya.

Fotografi analog mempunyai kepuasan tersendiri seperti mana seorang pelukis yang melukis menggunakan cat air mahupun cat minyak. Walau apa pun dengan kepesatan dan kecangihan fotografi digital, kita tidak boleh abaikan etika serta tatasusila kita jika memuatkan gambar-gambar di mana jua.

Tambahan dengan kewujudan kamera pada telefon bimbit yang mampu menyaingi kamera sebenar maka etika perlu dijaga agar kita tidak terjebak dengan budaya tidak baik.