‘Saudagar keria’ atau ‘jutawan keria’. Tidak kisah apa pun gelarannya, yang nyata percaturan warga emas tersebut mengubah resipi asal kuih tradisional Melayu itu membuahkan hasil begitu lumayan.

Dia bukanlah seorang penggemar tegar keria apatah lagi mahu mengambil tahu tentang proses pembuatannya. Dia mengenali keria dek dahulu ibunya sering kali menyediakan juadah tersebut sebagai hidangan minum petang,

Perlu menyara enam orang anak, Jalil seakan terdesak mahu keluar dari kesusahan hidup memandangkan hasil dari laut tidak menjamin pendapatan tetap. Buntu memikirkan tanggungjawab yang semakin besar, suatu hari semasa ibunya menghidangkan keria tiba-tiba tercetus ilham untuk menjual kuih tersebut.

“Sedikit demi sedikit saya mula belajar dari emak cara membuat keria. Seminggu selepas itu, saya memberanikan diri menjual keria di hadapan rumah bermula dengan 20 biji sehinggalah mencecah 100 biji sehari pada harga 5 sen sahaja ketika itu. Dapatlah untung RM4, tapi waktu itu nilainya macam RM600 sekarang.

“Selepas dua tahun berniaga, saya melihat ada sambutan tetapi saya tidak pasti akan kelangsungan perniagaan tersebut. Yalah, kalau difikirkan mana ada orang jual kuih di tepi jalan jadi kaya-raya. Lagipun, bukan saya seorang sahaja yang berniaga kuih.

“Dari situ, saya mula berfikir untuk mencari kelainan pada kuih keria yang dihasilkan,” katanya ketika ditemui di gerai Kuih Keria Antarabangsa Hj. Jalil di Jalan Klebang, Kampung Limbongan, Melaka, baru-baru ini.

Mengekalkan resipi yang sama, namun rahsianya terletak pada campuran unik sira gula Melaka dan keempukan ubi keledek yang digunakan.

Jika kuih keria biasa menggunakan gula putih sebagai sira, sebagai anak jati Melaka, Jalil berasa dia perlu ‘mengangkat’ bahan tempatan, iaitu gula Melaka.

Ternyata keunikan tersebut membuahkan hasil sehinggakan ada pelanggan yang sanggup datang dari Singapura semata-mata untuk mendapatkan kuih keria tersebut. - Gambar: JEFFRI IRAN

1,000 biji keria sehari

Hampir setengah abad mengusahakan keria yang sama, dalam usia 72 tahun Jalil masih lagi menggunakan kudrat empat keratnya menghasilkan kira-kira 1,000 biji kuih sehari.

Jumlah tersebut mencecah dua kali ganda pada hari minggu demi memenuhi kehendak pelanggan yang sanggup beratur panjang bagi menikmati kuih yang mendapat jolokan ‘keria antarabangsa’ itu.

“Setiap hari, saya akan mula mengupas keledek, merebus dan menguli seawal pukul 7 pagi. Kemudian, saya akan menggoreng dan menyira. Saya perlu pastikan sebelum pukul 1 petang, kuih sudah sedia untuk dijual kerana pada waktu itu pelanggan sudah mula menunggu.

“Saya dibantu oleh menantu, Azura (Noor Azura Baba) dan empat orang pekerja untuk mempercepat proses penyediaan. Saya akan berada di dapur sehingga pukul 5.30 petang dan penyeliaan di gerai akan dilakukan oleh Azura. Saya di belakang akan bersiap sedia untuk menambah kuantiti pada bila-bila masa,” katanya yang mengekalkan harga keria, iaitu 50 sen sebiji sejak 13 tahun lalu.

Dalam perniagaan, Jalil turut memegang prinsip bahawa apa yang dihasilkan perlu diri sendiri menyukainya terlebih dahulu sebelum orang lain.

“Bagi saya kalau nak berniaga dengan orang, kita perlu berniaga dengan diri sendiri terlebih dahulu. Sebagai contoh, sebelum saya memulakan perniagaan ini saya akan pastikan saya mampu makan 10 biji keria tanpa rasa bosan barulah saya yakin keria ini mampu membuatkan pelanggan tercari-cari.

“Di situ barulah ada kelangsungan pelanggan meskipun sudah bertahun-tahun kita berniaga produk yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, sudah menjadi adat berniaga ada hari tertentu dia terpaksa menanggung kerugian.

Bagi Jalil, semua itu sedikit pun tidak mematahkan semangat malah  menganggap peluang untuknya bersedekah.

Menurutnya, jika jualan kuih keria tidak habis, dia akan menyedekahkan di masjid atau rumah anak yatim dan tahfiz.

“Saya  turut berpesan pada menantu dan pekerja-pekerja supaya tidak menyimpan atau menjual semula kuih tersebut, sebaliknya bersedekah kerana kita tidak tahu rezeki lain yang akan menanti pada kemudian hari,” katanya.

Disebabkan gerainya tidak pernah putus dengan pelanggan tanpa mengira masa dan menjadi buah mulut masyarakat setempat mahupun dari luar, kerajaan negeri Melaka mengiktiraf keria antarabangsa sebagai salah satu produk pelancongan negeri itu.