Mengejutkan lagi apabila antara punca daftar penceraian yang disenaraikan adalah masalah komunikasi, campur tangan orang ketiga, pasangan yang tidak bertanggungjawab, masalah sosial atau akhlak, dan penggunaan media sosial seperti Whatsapp, Facebook dan Instagram.

Kebanyakan kes penceraian yang direkodkan itu melibatkan usia perkahwinan lima tahun ke bawah dan memberikan satu gambaran bahawa tempoh masa lima tahun pertama perkahwinan sangat kritikal dan penting.

Apa kata, kita lupakan sebentar fakta tersebut dan menyelami isu ini dengan melihat apakah sebenarnya yang mungkin berlaku dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan.

Selain itu, bagaimana seorang isteri masih boleh mencari jalan penyelesaian alternatif kepada cabaran dihadapi ini.

Fasa Persaingan

Anda akui atau tidak, sewaktu mula-mula mengenali pasangan, sebolehnya anda ingin tampilkan versi diri yang terbaik bagi memikat hati si dia.

Setiap pilihan pakaian dititikberatkan, penampilan secara keseluruhan menjadi keutamaan, segala-galanya menarik dan sedap mata memandang. Apatah lagi, semburan haruman sudah sebatu jauh pun masih boleh terbayang siapa pemiliknya. Anda bersaing secara tidak langsung, untuk mempersembah diri anda yang terbaik ketika itu.

Zon selesa

Sebaik usia perkahwinan menginjak ke tahun kedua dan seterusnya, diserikan pula dengan kehadiran si kecil – secara tidak langsung – si ibu akan lebih banyak menumpukan perhatian kepadanya.

Berada pada fasa zon selesa, keperluan penjagaan dan penampilan diri sudah tidak lagi dititikberatkan kerana fokus dan tanggungjawab sudah beralih kepada si kecil itu tadi.

Percaya atau tidak, antara alasan yang biasa diberi oleh mereka adalah tiada masa untuk diri sendiri, menjaga imej itu tidak penting, malas untuk bersolek dan menjaga penampilan, barangan kelengkapan solekan yang agak mahal, tiada masa untuk membeli-belah, malah kedudukan kewangan yang tidak stabil.

Sebagai perunding imej yang sudah mengadakan bengkel bimbingan imej secara peribadi dan berkumpulan kepada ribuan peserta program daripada golongan wanita bekerjaya , usahawan, selebriti sehinggalah suri rumah tangga sepenuh masa, alasan dan pemilihan perkataan seperti saya malas, saya tiada masa, imej diri tidak penting - beginilah yang sedikit sebanyak telah mensabotaj imej mereka secara tidak langsung.

Fasa Memikat

Saya boleh membayangkan senyuman anda di sini. Adakah anda hanya patut memikat suami sebelum kahwin sahaja? Oh, tentulah tidak. Lupakan ‘tabu’ bahawa wanita tidak elok memikat, ibarat hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong. Berpegang lama-lama kepada pantang larang sebegini tidak menjanjikan kebahagiaan juga jika tidak mencari, berusahalah dan terus mencuba.

Dan fasa memikat ini tidak seharusnya berhenti, walaupun sudah sedekad atau separuh abad berumah tangga. Setuju?

Perlukah cantik pada mata suami?

Ramai yang mungkin tidak ketahui bahawa menjaga imej , bukan sahaja tertumpu kepada penampilan dan penjagaan diri, tetapi juga tingkah laku dan cara kita berkomunikasi.

Cantik luaran dan dalaman itu sangat perlu kerana ia memberikan gambaran yang positif kepada personaliti individu tersebut.

Seawal perkahwinan, terapkan komunikasi yang lebih terbuka dan telus, sentiasa bertanya khabar walaupun pasangan di tempat kerja, penggunaan intonasi suara yang baik ketika berbicara dan jadikan mereka sebagai kawan rapat di mana anda berdua sering saling memerlukan.

Menariknya baru-baru ini , saya terpanggil untuk membuat kaji selidik secara terbuka kepada rakan-rakan di media sosial, dan melontarkan soalan seperti, berapa kerapkah perkataan magik ‘Saya sayang kamu (I love you)’ ini diucapkan kepada pasangan masing-masing.

Agak memeranjatkan juga, bila didapati ungkapan penting sebegini hanya diucapkan setahun sekali sama ada ketika ulang tahun perkahwinan atau sambutan hari jadi, malah ada yang tidak pernah sama sekali.

Jawapan yang diberi itu tadi , benar-benar buat saya termangu seketika. Menganalisis kembali statistik yang dikeluarkan setiap tahun oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Di mana silapnya?

Mungkin ada yang akan berasa jengkel dengan tajuk ini, perlukah kita cantik untuk suami? Sedangkan rata-rata akan menjawab, si suami patut dipertanggungjawabkan, bukanlah si isteri.

Suami tidak lagi menunjukkan minat, takkan pula si isteri hendak beriya-iya pula. Ya benar, tetapi persoalannya, adakah anda sudah lakukan yang sebaik mungkin untuk si dia?

Selain penampilan yang menarik dan sedap mata memandang, pilihan kata-kata, sentuhan kasih sayang dan peranan mengambil berat harus menjadi tanggungjawab bersama sedari awal perkahwinan lagi.

Cantik bukan hanya pada pandangan mata, tetapi komunikasi lisan dan bukan lisan bahasa tubuh belaian sentuhan, seperti semudah berpegangan tangan dengan pasangan.

Lakukan sebagaimana anda mula-mula bercinta dahulu. Usah malu untuk memulakan sesuatu yang baik untuk diri sendiri dan pasangan. Malu jika segalanya sudah berakhir dan tiada apa lagi yang dapat diselamatkan.