Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Duit raya beli baju adik

Zahrina Mohd. Saat berhari raya bersama keluarga besarnya di Raudhatul 4
Zahrina Mohd. Saat berhari raya bersama keluarga besarnya di Raudhatul Al-Faeez.

Hidup serba kekurangan tanpa ibu bapa di sisi tidak bermakna kemeriahan hari raya mereka dinafikan.

Seperti insan lain, 30 penghuni rumah Raudhatul Al-Faeez juga mahu merasai kegembiraan dan kemeriahan menyambut Syawal.

Shahrul Amri Samsudin, 17, yang sudah hampir lima tahun berteduh di rumah berkenaan berkata, dia tidak pernah berasa sedih tinggal berjauhan dengan keluarga bahkan selesa dan seronok menjalani hidup dalam sebuah keluarga besar.

Membesar dalam keluarga kurang berkemampuan, katanya, bulan Ramadan lalu cukup bermakna buat mereka semua kerana ketika ini rezeki datang melimpah ruah sama ada tajaan berbuka puasa, mahupun pemberian sumbangan baju dan duit raya daripada pelbagai pihak.

Dia juga mengambil peluang menabung sebahagian duit raya yang diperoleh dalam majlis-majlis berbuka puasa yang mereka hadiri.

Sebahagiannya pula telah digunakan untuk membeli keperluan hari raya keluarganya di kampung.

“Saya di sini setiap tahun akan menerima baju raya yang disumbangkan pelbagai pihak tetapi adik-adik terpaksa mengharapkan ibu bapa saya di kampung. Kalau wang mereka tidak mencukupi, tak merasalah mereka baju baharu.

“Umi (pengasas Raudhatul Al-Faeez, Zahrina Mohd. Saat) memberi pelepasan kepada kami untuk pulang beraya ke kampung selama beberapa hari. Waktu itu, saya mengambil kesempatan meluangkan masa bersama adik-adik keluar membelikan mereka baju baharu,” katanya anak sulung enam beradik itu.

Sementara itu rakannya, Muhd. Arif Fikri Zulkefli, 17, berkata, walaupun sekadar menumpang kasih di rumah kebajikan, hatinya begitu berat untuk meninggalkan rumah tersebut pada tahun depan memandangkan usianya sudah memasuki 18 tahun.

Katanya, Umi menganggap mereka seperti anak-anak sendiri dan tidak pernah membezakan kasih sayang supaya tiada antara penghuni yang rasa tersisih.

“Sama ada kami anak yatim atau orang miskin, kegembiraan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri adalah sama sahaja. Walaupun sambutan raya di rumah perlindungan ini tidak sama dengan sambutan di rumah, apabila beramai-ramai, kesedihan seperti tidak terasa dan Umi akan memastikan kami semua gembira,” katanya.

Rumah Raudhatul Al-Faeez diasaskan oleh Zahrina, 56, pada 2010 selepas kediaman tersebut diwakafkan oleh seorang individu kepadanya. Bermula dengan lima orang penghuni, rumah kebajikan tersebut kini mempunyai seramai 30 orang penghuni lelaki yang berusia antara lima hingga 19 tahun

Merupakan seorang yang gemarkan kanak-kanak, peluang tersebut digunakan sebaik mungkin oleh Zahrina untuk membantu anak-anak terbiar yang berasal dari keluarga susah dan anak yatim dengan memberi kehidupan yang lebih baik.

“Sebelum ini saya aktif dalam kerja kemasyarakatan dan kesukarelawan dengan berkunjung ke rumah-rumah kebajikan.

“Saya akui perbelanjaan sesuatu rumah kebajikan amat besar, namun mereka perlu bijak mencari dana bukan dengan cara mengambil wang mereka yang diberikan secara perseorangan.

“Sejak itu saya tekad untuk mengasaskan sebuah rumah kebajikan dan berusaha memenuhi keperluan mereka sepenuhnya.

“Yang penting mereka dapat menjadi manusia yang berguna kelak kepada keluarga, agama dan bangsa,” katanya ketika ditemui di Raudhatul Al-Faeez yang terletak di Kampung Sungai Salak, Batu 9 1/2, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Zahrina berkata, bukan senang untuk membentuk anak-anak dari pelbagai latar belakang yang kebanyakannya berasal dari keluarga bermasalah, namun itulah cabaran yang perlu ditempuh untuk mendidik mereka mengikut acuan yang sepatutnya.

“Tahun ini saya mempunyai tujuh orang ‘anak’ yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi dari tahun lepas lagi subjek Sejarah tidak pernah lulus. Saya tanya, apa yang mereka nak untuk luluskan subjek ini.

“Mereka mahukan tuisyen di sini dan saya tunaikan. Walaupun saya tak dapat tajaan untuk menanggung tuisyen mereka, saya sanggup mengeluarkan duit sendiri asalkan mereka lulus.

“Bahkan saya sendiri menanggung kos pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk rumah ini supaya bagi tujuan pemantauan agar tidak ada kejadian mencuri, buli, bergaduh dan sebagainya,” katanya yang banyak dibantu dari segi tenaga dan kewangan olah Syazwan Zanini, yang menjadi sukarelawan di rumah tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Ditanya tentang sambutan Syawal, rumah tersebut dikosongkan selama beberapa hari kerana penghuninya dibenarkan untuk beraya bersama keluarga.

Bagi anak-anak yatim yang tiada keluarga, mereka beraya bersamanya di kampung halaman di Johor.

Tidak ada istilah anak sendiri atau anak kebajikan kerana bagi Zahrina mereka semua adalah anaknya dan berharap Syawal tahun ini menjadi yang paling bermakna buat mereka.

Bantuan boleh dihulurkan ke akaun

  • Maybank 
562508510350 atas nama Pengurusan Raudhatul Al-Faeez.

 

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan