Bergantung pada jadual, ada masanya beliau perlu merawat pesakit di klinik atau berada di bilik bersalin untuk menyambut kelahiran bayi.

Tugas menyambut kelahiran yang berlaku tidak menentu menuntut Dr. Sharifah bersedia sepanjang masa, sama ada di luar waktu pejabat, hujung minggu atau ketika tidur nyenyak pada tengah malam.

“Beginilah kerja saya. Walaupun telah membuat temu janji dengan anda, tetapi bayi ‘tidak bercuti’. Bila-bila masa saja mereka akan lahir,” jelas Dr. Sharifah.

Pulang ke rumah bukan bererti berehat bagi Dr. Sharifah. Di rumah, tugasnya disambung dengan membaca e-mel, menyediakan bahan-bahan untuk ceramah atau menulis rencana. Pendek kata, tiada ruang untuk beliau berehat kecuali tidur selama lima hingga enam jam.

Bercerita tentang tanggungjawabnya, beliau sangat seronok dengan kerjaya sebagai ‘bidan moden’ dan pakar sakit puan sepanjang 16 tahun ini.

“Sukar untuk saya gambarkan betapa gembiranya saya setiap kali menyambut kelahiran bayi. Macam mana penat sekalipun kerana terpaksa bangun tidur pada pukul dua atau tiga pagi dan berdepan pula dengan pesakit yang mengerang kesakitan, suasana cemas di bilik bersalin akan berubah sekelip mata sejurus bayi dilahirkan,” ujarnya.

Mengimbas perjalanan kerjayanya dalam dunia perubatan, Dr. Sharifah berkata, beliau suka untuk menjadi pakar puan yang bukan sahaja mampu merawat dan menjaga pesakit tetapi pada masa sama menjadi rakan pesakit yang boleh menceritakan segala-galanya.

“Jadi, kita tidak hanya bercakap tentang masalah penyakit wanita mereka tetapi juga boleh berbual tentang apa yang berlaku di rumah, mengenai keadaan suami dan anak-anak, di tempat kerja, hobi, tentang kebimbangan kulit mereka dan sebagainya,” katanya.

Mengakui sangat sukar membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga, beliau cuba membuat yang terbaik untuk kedua-duanya.

Dr. Sharifah bersyukur kerana keluarganya sangat memahami kerjayanya terutama suami yang juga pakar perubatan kanak-kanak di Hospital Fatimah, Ipoh, Dr. Lee Kim Seng.

“Kini, apabila anak-anak saya sudah meningkat remaja, saya sibukkan diri dengan perniagaan kosmetik. Anak saya yang bongsu, Jesselynn, 12, masih bersekolah, Jeffrey, 26, mempunyai perniagaan sendiri iaitu jam tangan Jeffrey Sawyer yang dijual di Amerika Syarikat dan Kanada dan Jasmine, 27 seorang doktor di Hospital Sibu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Sharifah turut menggalakkan generasi muda menceburi kerjaya kedoktoran tetapi dengan keazaman yang kuat. Katanya, bidang ini boleh menjadi wadah bagi memula atau membuat perubahan dalam masyarakat untuk menjadi sebuah negara yang lebih baik.

Mempunyai minat membantu wanita lain kekal cantik dan sihat, Dr. Sharifah turut menghasilkan jenama kosmetik sendiri.

“Saya mempunyai sedikit pengalaman sebagai usahawan. Kebanyakan pesakit saya sering berkongsi masalah kulit mereka. Ia bukanlah dihasilkan untuk merawat masalah kulit tetapi membantu mengurangkan dan mencegah daripada awal.

“Mengapa bidang kecantikan? Kerana kecantikan dan kesihatan wanita berkait rapat. Seperti masalah melasma dan berjeragat dalam kalangan wanita, sebenarnya berkait dengan hormon (itulah sebabnya mengapa lelaki tidak mempunyai penjagaan melasma) dan berpunca daripada kesihatan. Ia tidak boleh dirawat dengan penjagaan kulit semata-mata (seperti apa yang didakwa oleh banyak produk).

Ini ialah sejenis penyakit kulit yang memerlukan rawatan. Jadi, saya rasa doktor mempunyai tugas untuk memberitahu pesakit maklumat yang betul, apa mereka benar-benar perlukan dan memastikan mereka tidak tertarik untuk membeli produk penjagaan kulit mengandungi unsur yang berbahaya.

“Dengan memberi maklumat tepat dan pendidikan berterusan, saya harap boleh membuat perubahan minda dan penjagaan kulit. Jadi mereka boleh membeli produk-produk berdasarkan keperluan dan kesesuaian kulit mereka. Bukan semata-mata mahu cantik atau putih segera,” jelasnya.

Dr. Sharifah juga menyedari tanggungjawabnya tidak terbatas sebagai seorang doktor dan ingin berkongsi ilmu dengan masyarakat.