Alif Shahriman (kiri) dan Alif Shahzuan menjadikan tong drumTak siapa sangka, idea kreatifnya itu telah membuka ruang perniagaan yang besar kepada Alif Shahriman Sulaiman, 30, dan Aliff Shahzuan Sulaiman, 29, untuk terus melakukan eksperimentasi dengan bahan terpakai tersebut sehingga mampu menjadikannya sebagai rekaan perabot di rumah, kafe dan butik.

Pada awalnya, kedua-duanya sekadar mencari idea untuk menghias rumah mereka menggunakan bahan terpakai yang boleh dibuat sendiri. Carian mereka di Internet membawa kepada penghasilan rekaan perabot DIY (buatan sendiri) yang menggunakan tong drum yang banyak diguna pakai di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Dua beradik kelahiran Ipoh, Perak itu, menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan kerusi sofa tanpa mengeluarkan kos yang tinggi.

Hasilnya rekaan tersebut mendapat pujian daripada kenalan yang datang berkunjung ke rumah dan meminta mereka membuka tempahan memandangkan konsep dekorasi minimalis, ‘hipster’, dan industri semakin diminati ramai.

“Saya dan adik, Alif Shahzuan sekadar suka-suka sahaja membuat rekaan sofa ini dan ketika itu saya tidak pernah lagi melihat orang menjual perabot berasaskan besi terpakai ini selain kayu palet sahaja.

“Apabila rakan tidak putus-putus memuji idea kreatif tong drum, saya dan Shahzuan memberanikan diri untuk mengambil tempahan daripada kenalan dengan hanya menumpang bengkel orang di Ipoh,” kata Alif Shariman ketika ditemui di bengkel miliknya di Kampung Kerdas, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Merupakan perintis kepada penciptaan perabot tong drum di Malaysia secara besar-besaran, membuatkan mereka tidak menang tangan menyiapkan tempahan daripada pelanggan sehingga mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia kejuruteraan dan berpindah ke Kuala Lumpur untuk fokus kepada perniagaan.

Dalam tempoh sembilan bulan sahaja, mereka telah menyiapkan tempahan kira-kira 70 set yang berharga antara RM599 sehingga RM1,400 (set) dan harga turut bergantung kepada rekaan daripada pelanggan. 

Tidak kisah ada pesaing

Bangku sofa yang dikitar semula.Hasil daripada kreativiti dua anak muda ini, membuatkan perabot dan perhiasan rumah daripada tong drum kini menjadi satu fenomena luar biasa sehingga mengundang peniaga-peniaga lain untuk turut menjual produk yang sama.

Memandangkan memilih perniagaan berasaskan trend, mereka perlu berusaha lebih untuk kekal di dalam industri dan sentiasa menampilkan idea-idea yang lebih segar supaya lebih ke hadapan berbanding usahawan perabot yang lain.

“Kami tidak menolak kehadiran pesaing kerana mereka yang akan menjadikan kami mahu bekerja lebih kuat.

“Walaupun produk kami ditiru, situasi tersebutlah yang akan membuatkan kami sentiasa menaiktaraf produk yang dihasilkan supaya lebih baik, memenuhi citarasa pelanggan, dan lebih kreatif dalam berkarya,” katanya yang kini dalam proses menyediakan kerusi untuk bilik muzik sebuah sekolah.

Minat bertukang

Sejak kecil gemar melakukan kerja-kerja pertukangan termasuk mengubah suai basikalnya, Alif Shahriman nyata sukar untuk membuang tabiat tersebut hinggalah dewasa.

Apabila meningkat remaja, dia beralih pula kepada pengubahsuaian motosikal skuter sehingga pernah digelar sebagai ‘budak skuter’ dek kerana gemar menukar warna skuter dan membuat pengubahsuaian dengan cara yang kreatif.

Apabila tamat pengajian di universiti pula, dia menceburi bidang teknikal, iaitu kejuruteraan telekomunikasi yang mendedahkannya pada kerja-kerja teknikal yang terperinci.

Segala pengalaman tersebut sedikit sebanyak membantu mengilhamkan pelbagai perabot seperti rak kasut, almari pakaian, kerusi rehat, sofa, meja kopi, kabinet, dan katil bayi.

KUALA LUMPUR 28 SEPTEMBER 2016 - Sesi temubual bersama perekaMeskipun pernah dikritik kerana membuat rekaan yang tidak masuk akal, Alif Shahriman kekal dengan prinsipnya iaitu mengubah barangan terpakai untuk dimanfaatkan kepada sesuatu yang bukan sahaja unik dan kreatif, tetapi mempunyai kegunaan kepada individu.

Tidak mahu mendabik dada dengan keupayaannya menghasilkan idea di luar, dia dan adiknya juga tidak terlepas daripada cabaran.

“Untuk set sofa pertama yang dihasilkan, kami masih tidak mahir untuk membuat ukuran kerana setiap tong mempunyai saiz yang berbeza dan hasilnya kurang memuaskan hati kerana kerusi tidak kukuh dan sedikit senget.

“Kami mengambil masa untuk menghasilkan kerusi yang benar-benar sempurna dan memastikan ciri-ciri keselamatan terjamin memandangkan perabot ini menggunakan bahan daripada besi terpakai.

“Memandangkan kami berdua pernah bertugas sebagai jurutera, soal keselamatan amat dititikberatkan dan kami juga tidak mahu pelanggan merasakan produk yang dikeluarkan syarikat kami boleh mengundang bahaya,” kata lulusan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ini.

Tong drum yang digunakan adalah tong bersaiz 200 liter untuk mengisi minyak dan dibeli dari kedai-kedai bahan terpakai di seluruh negara.

Bagi memastikan ia bebas sisa minyak, kerja pembersihan perlu dilakukan terlebih dahulu sebaik mendapat bekalan dari pembekal tong drum.

Menurut Alif Shahzuan, proses pemotongan akan dilakukan menggunakan grinder dengan berhati-hati dan dalam masa yang sama, terus membuat ukuran untuk menyiapkan rangka perabot yang diletakkan di dalam tong drum yang siap dipotong.

-Ujar Alif Shahzuan, mereka memilih cat semburan kereta bagi memastikan warna lebih tahan lama dan tekstur perabot menjadi licin dan berkilat.

“Bagi individu yang menempah sofa yang kebanyakan dalam kalangan orang kenamaan, mereka lebih suka rekaan sofa mereka mempunyai pelekat jenama fesyen antarabangsa seperti Chanel dan Louis Vuitton atau jenama kenderaan mewah seperti Ducati.

“Bagi pemilik butik, kafe, dan salun rambut, mereka akan mengetengahkan logo syarikat bagi mencuri tumpuan pelanggan mereka dengan keunikan perabot yang dimiliki di premis mereka,” katanya.

Lazimnya, dua anak muda ini akan mengambil masa tiga hingga empat hari untuk menyiapkan tempahan.

Pelanggan akan diberi peluang untuk mengutarakan idea perabot yang diinginkan supaya mereka rasa berbaloi dengan wang yang dikeluarkan.

Gambar : FAISOL MUSTAFA/ALIF PUZI (Pelatih UiTM)