Alhamdulillah, proses pengambilan anak angkat berjalan mudah. Bayi perempuan berusia dua bulan itu cukup comel. Ramlah mengambil keputusan untuk menyusui sendiri bayi tersebut supaya hubungan mahram dengan suaminya tidak bermasalah.

Tahun bersilih ganti. Bayi yang diberi nama Fatimah itu kini berusia tiga tahun. Namun entah kenapa Ramlah merasakan ada sesuatu tidak kena dengan anak itu. Setiap kali nama Fatimah dipanggil, dia sering tidak menunjukkan tindak balas.

Bahkan apabila Ramlah berkomunikasi dengannya, Fatimah tidak memandang tepat wajahnya. Dengan kata lain, tidak berlaku eye contact.

Fatimah tidak sedikit pun membalas senyumannya! “Ya, Allah, ujian apa yang mahu Engkau berikan kepadaku,” naluri Ramlah berkata-kata.

Perasaan bimbang Ramlah disuarakan kepada Azlan. Sesuatu yang ketara, apabila Fatimah mengamuk, dia akan menghantukkan kepalanya sama ada ke dinding mahupun lantai. Semua ini sudah tentu merunsingkan Ramlah.

Tidak mahu keadaan menjadi teruk, Ramlah dan Azlan mengambil keputusan membawa Fatimah berjumpa doktor. Ternyata, apa yang menjadi sangkaan hati kecil Ramlah selama ini benar-benar terjadi. Anaknya menghidap autisme.

Sejujurnya, saat berita itu disampaikan, Ramlah sukar untuk menerima takdir tersebut. Puas Azlan memujuk agar Ramlah reda seterusnya berdoa kepada Allah agar urusan anak tersebut menjadi mudah.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 285 yang bermaksud: “Allah SWT tidak memberati seseorang melainkan apa terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya. Dan dia juga menanggung dosa kejahatan diusahakannya….”

Dapat difahami daripada ayat itu bahawa setiap ujian daripada Allah bersesuaian dengan kemampuan hamba-hamba-Nya. Allah tidak bersifat zalim apatah lagi ‘menganiayai’ hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu dihadapi.

Perlu difahami, saat Allah memilih seseorang untuk menjalani ujian-Nya, ada sesuatu yang akan diberikan. Cuma sebagai manusia, kita tidak mampu untuk menjangkau perancangan Allah.

Sebaliknya, apa yang dituntut daripada hamba-hamba-Nya ialah sifat reda, sabar dan tawakal. Benarlah firman Allah dalam surah yang sama ayat 216 bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

Hakikatnya, ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk.

Namun yang pasti, kekuatan seseorang menghadapi ujian itu akan menjadi kayu ukur keimanan seseorang kepada Pencipta-Nya.

Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: “Janganlah kamu bersifat lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang beriman.” (al-Imran: 139)

Allah menjelaskan lagi, “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang Mukmin diri, harta mereka dengan memberikan jannah (syurga) untuk mereka.” (at-Taubah: 111)

Justeru, dalam menghadapi ujian Allah, jangan sesekali berputus asa. Sikap ini membuka ruang untuk syaitan menyesatkan manusia, sekali gus menyalahkan Allah dalam banyak perkara.

Sebaliknya, serahkan kembali segala urusan itu kepada Allah kerana di situ ada jalan penyelesaiannya. Ingatlah, pertolongan Allah datang dalam pelbagai cara.