Pernah melalui kehidupan yang agak senang sebelum ini, siapa menyangka situasi itu berubah, gara-gara suaminya menghilang diri sejak enam bulan lalu dengan meninggalkan hutang yang banyak.

Tiada pilihan lain, dia terpaksa mengambil alih tugas menjaga lapan anak yang berusia antara 23 tahun sehingga tiga bulan, sendirian.

Memburukkan lagi keadaan, Anita Mes, 45, dan anak-anak terpaksa menanggung ‘dosa’ suami, diburu sekumpulan ah long yang mengugut untuk merogol anak perempuannya dan membunuh mereka sekeluarga selagi hutang suami berjumlah lebih RM50,000 itu tidak diselesaikan.

“Suami hilang tanpa sebarang berita ketika saya mengandungkan anak bongsu. Bayangkan, saya hampir meroyan selepas melahirkan anak memikirkan bagaimana untuk membeli susu dan makan anak-anak yang lain kerana wang simpanan dan barang kemas sudah habis dijual untuk menyelesaikan sebahagian hutang suami.

“Paling tidak boleh dilupakan, saya pernah berjalan seharian di sekitar pusat bandar walaupun ketika itu baru beberapa hari bersalin, semata-mata untuk mencari bantuan membeli susu. Bayi saya alahan susu badan, jadi dia bergantung kepada susu formula sahaja.

“Waktu itu, saya sudah malu nak pinjam wang daripada rakan-rakan kerana sudah banyak saya pinjam daripada mereka. Jadi, saya tidak punya pilihan kecuali pergi berjumpa dengan beberapa pengurusan masjid di ibu negara untuk merayu meminta sedikit wang.

“Saya ingat mudah, rupa-rupanya proses mendapatkan wang memakan masa yang lama sampai berminggu-minggu, sedangkan ketika itu saya sangat terdesak dan tak boleh tunggu lama. Saya hampir putus asa, tidak tahu di mana lagi boleh mendapatkan bantuan segera,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Menurut Anita yang enggan wajahnya dikenali, ketika duduk memikirkan masalah diri di sekitar Masjid Negara, seorang gelandangan yang mengenalinya menegur dan menyatakan terdapat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang boleh membantunya memberi sedikit wang.

Tanpa berfikir panjang, Anita terus ke pejabat NGO tersebut. Di situ pihak pengurusan tidak bertanya banyak kepadanya melainkan apa keperluan yang diingini, malah sempat menasihati Anita supaya tidak berputus asa dalam hidup kerana mereka boleh membantu meringankan beban yang ditanggung.

Dia yang kelihatan sugul dengan nasib menimpa keluarga, kemudiannya membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi mengelak keadaan bertambah buruk tentang ugutan yang diterima.

Bersyukur, kerana PPIM telah berhubung dengan semua ah long berkenaan dan merujuk kes terbabit kepada pihak polis kerana mempunyai unsur ugutan bunuh. Anita tidak lagi diganggu mereka buat sementara ini dan dia berusaha memikirkan bagaimana menyelesaikan baki hutang yang tertunggak.

Ketika ini, Anita tidak bekerja kerana tidak boleh meninggalkan bayinya yang masih kecil tanpa penjaga. Hidup Anita sekeluarga kini bergantung kepada anak perempuan sulungnya yang bekerja di sebuah butik dan baru-baru ini juga dia mula menerima bantuan daripada Baitulmal.

Anita juga kini berdepan dengan masalah lain apabila rumah yang diduduki mempunyai tunggakan selama setahun kerana tidak mampu untuk melunaskannya ekoran tidak bekerja.

Apa yang membimbangkan, tunggakan itu akan menyebabkan Anita bakal kehilangan tempat berteduh memandangkan telah menerima notis dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Bukan tak mahu bekerja, tetapi siapa yang akan menjaga anak kecil ini kerana tak mampu menghantar anak ke pengasuh. Saya berharap ada pihak yang sudi memberi peluang pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah kerana saya perlu meneruskan hidup demi anak-anak.

“Dahulu saya pernah mengambil kursus membuat roti dan bercadang untuk berniaga tetapi saya tidak mempunyai peralatan serta modal yang boleh digunakan untuk memulakannya,” kata Anita yang turut berterima kasih kepada pengasas pertubuhan Humanity, Mohd. Nizam Wahid yang banyak membantunya selama ini.