Lina pasrah sekalipun tahu tidak punya apa-apa untuk membesarkan anaknya yang berusia tiga tahun waktu itu. Tanpa memiliki sijil yang tinggi untuk melayakkannya mendapat pekerjaan terbaik, Lina dihalau suaminya, Azhar semata-mata kerana rumah yang didiami selama ini adalah milik suaminya yang dibeli sebelum mereka berkahwin. Tanpa ada pilihan, Lina melangkah kaki keluar pulang ke kampung halamannya.

Anak? Azhar tidak memerlukannya. Katanya, membesarkan dan memelihara anak yang terhasil daripada perkahwinan mereka hanya akan menyimpan kenangan hidup bersama Lina.

Berbekalkan kekuatan diri, Lina sedaya upaya membesarkan anaknya Zia dengan pelbagai pekerjaan. Dia enggan menyusahkan orang tuanya. Bagi Lina, dia sudah cukup beruntung kerana Zia dapat menumpang kasih datuk dan neneknya.

Kini, Zia sudah menjadi anak dara sunti dan bakal menamatkan pengajiannya di sebuah pusat pengajian tinggi awam. Tapi dalam masa yang sama, Zia juga sudah dilamar oleh pemuda yang satu pengajian dengannya. Lina tak mampu menolak kerana mungkin jodoh anaknya sudah sampai.

Namun masalah timbul kerana mahu atau tidak, Zia perlu bertemu ayahnya untuk menjadi wali pernikahannya. Berbekalkan alamat yang diberi, Zia berkunjung buat pertama kali ke rumah ayah yang selama ini tidak ambil kisah langsung tentang dirinya.

Syukur, ayahnya sudi menjadi wali pernikahannya tapi dengan syarat, iaitu majlis pernikahan Zia perlu diadakan di rumah si ayah dan Lina berserta datuk dan neneknya tidak boleh hadir menyaksikan perkahwinan tersebut. Zia tersepit antara kasih seorang ibu dan kehendak seorang ayah yang akan menjadi wali pernikahannya. Apa yang harus dilakukan kerana ayahnya begitu berdendam dengan ibunya yang tidak mahu bermadu?

TIP KAUNSELOR

Buruk atau baiknya seseorang, selagi dia bergelar ayah atau ibu, kedua-duanya perlu dihormati oleh si anak. Ia adalah tanggungjawab anak sekalipun si ayah atau ibu pernah melalaikan tanggungjawab mereka.

Ingat, lahirnya kita di dunia ini atas asbab mereka dan dengan izin Allah SWT.

Justeru, selagi ada nyawa pada badan, selagi itulah mereka perlu dihormati.

Allah berfirman dalam Surah al-Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud, “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan menerima (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan menerima (balasan)nya.”

Firman Allah ini secara tidak langsung mengingatkan kepada kita bahawa setiap perbuatan itu pasti ada balasannya di sisi Allah SWT. Sebagai manusia, kita tidak layak untuk menghukum seseorang sekalipun kejahatan demi kejahatan dilakukan. Hanya Allah yang berhak menilai dan menghukumnya.

Sememangnya dalam isu pernikahan, si ayah punya hak untuk menjadi wali pernikahan. Hal ini sama sekali tidak boleh dinafikan kerana pernikahan tanpa wali akan menyebabkan rosaknya sesebuah perkahwinan. Justeru, selagi si ayah bersetuju untuk menikahkan, maka turutlah kehendaknya asalkan si ayah tidak menetapkan syarat yang jelas dilarang oleh Islam.

Tiada istilah kecil hati dalam isu di atas. Si ibu hakikatnya telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Membesar dan mendidik anak hingga berjaya adalah satu kemuliaan buat para ibu. Namun bagi si anak, jangan pula mengabaikan si ibu hanya kerana menurut perintah si ayah.

Berlapang dada dengan ketentuan Allah SWT adalah sebaik-baik tindakan. Jangan sesekali menjadikan sesuatu perkara itu sebagai penghalang untuk membuat kebaikan. Hakikatnya, manusia itu diuji oleh Allah dengan pelbagai cara. Dan ingatlah bahawa Allah tidak akan menguji seseorang itu melainkan mengikut kemampuan diri masing-masing.

PANDANGAN KAUNSELOR

Bahagianya sebuah kehidupan apabila dalamnya wujud kasih sayang. Terbitnya kasih sayang itu apabila masing-masing mampu menjaga hubungan baik antara satu sama lain. Bahkan dalam masa yang sama tidak pula melalaikan hubungan dengan Allah SWT.

Kedua-dua faktor ini akan menentukan kejayaan dalam kehidupan seseorang.

Kebahagiaan itu juga hadir apabila masing-masing punya rasa kebertanggungjawaban. Suami bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak dan begitulah sebaliknya.

Semuanya terhasil apabila masing-masing menjaga hubungan mereka dengan Allah SWT. Apabila hubungan ini dijaga dengan baik, maka tiada istilah melanggar hak sesama manusia apatah lagi dengan Allah.

Firman-Nya, yang bermaksud, “Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala urusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (daripada segala urusan)....” (Surah Ali Imran, ayat 112)

Sekalipun ayat di atas menceritakan kisah Bani Israel yang derhaka kepada Allah dan para nabi serta akhirnya ditimpa kecelakaan, namun ia berkait rapat dengan persoalan kehidupan manusia.

Berbalik kepada kisah di atas, lari daripada tanggungjawab memberi nafkah dan menyimpan dendam berlarutan, menyebabkan hati si ayah tidak pernah mencapai ketenangan. Ada sahaja kesusahan yang direka bagi memastikan bekas isteri dan anak berada dalam kesulitan.

Manusia dalam kategori ini tidak akan puas selagi orang yang dimusuhi tidak disakiti. Jiwanya tidak pernah tenang sebaliknya sentiasa mencari ruang dan peluang agar dendam di hatinya dapat dilunaskan. Bahkan dia juga tidak akan bahagia apabila melihat orang lain bahagia.

Justeru, berhadapan dengan golongan ini memerlukan kesabaran tinggi. Berupaya mengawal diri, mental dan emosi adalah satu tindakan yang bijak. Jangan terlalu menurut kata hati kerana api dengan api, tidak akan pernah padam.

Sebaliknya hadapi dengan tenang. Serahkan segala urusan kepada Allah SWT. Mengalah tidak bermakna kalah. Mengalah untuk menang, hakikatnya bukan satu kerugian. Apatah lagi dalam menjaga hubungan darah antara anak dan ayah, sememangnya amat dituntut.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya rahmat Allah SWT amat dekat kepada orang yang berbuat baik.” (Al-A’raf: 56)