Di bahagian depan, terletaknya ruang dapur kecil yang mempunyai pintu khas dapat menyorokkan dapur tersebut jika tidak digunakan. Terus ke dalam rumah berkonsepkan apartment studio itu ialah ruang tamu yang di hadapannya merupakan ruang tidur. Rak televisyen yang direka khas menjadi penghadang antara ruang tersebut.

Limpahan cahaya daripada lampu yang diletakkan di sudut yang betul menambah lagi suasana eksklusif rumahnya. Menggunakan konsep moden kontemporari, ujar doktor pakar estetik di Premier Clinic ini, konsep tersebut dipilih atas sebab keluasan unitnya yang kecil selain memberi ketenangan setelah pulang bekerja.

“Saiz rumah saya hanyalah 680 kaki persegi. Ia sebenarnya merupakan rumah dengan sebuah bilik sahaja namun melihat ia kelihatan sempit, saya memilih untuk memecah dinding bilik tersebut dan menjadikannya seperti apartmen studio.

“Memandangkan ia bersaiz kecil, setiap perabot direka dengan teliti bagi menjimatkan ruang selain memastikan pencahayaan yang bagus,” ujarnya yang menghabiskan sehingga RM130,000 untuk ubah suai rumah dan perabot ketika membeli unit yang bernilai RM770,000 lima tahun lalu.

Bagi memastikan rumahnya tidak kelihatan bosan dengan penggunaan rona sekata di sekeliling rumah, Dr. Chen bermain dengan warna di setiap ruang contohnya penggunaan lukisan abstrak berwarna-warni di kepala katilnya.

Selain itu, Dr. Chen yang mencintai alam sekitar turut menghias rumahnya dengan tumbuh-tumbuhan malah turut membina taman mini di berandanya lengkap dengan air pancut kecil.

Hiasan pokok turut digunakan di dalam rumah namun ujarnya, dia meletakkan pokok plastik kerana sering ke luar negara, membuatkan dia risau ia tidak terjaga.

“Bagi memberi ilusi ia seperti pokok betul, saya menggunakan tanah yang dicampur air lalu menyapu sedikit pada pokok tersebut,” ujarnya.

Banyakkan penggunaan cermin besar bagi memberi ilusi ruang yang luas.

Banyakkan binaan kabinet atau laci yang tersembunyi bagi menyimpan barang-barang untuk kelihatan tidak serabut.

Jadikan setiap hiasan praktikal. Contohnya rak televisyen yang boleh dipusing atau meja tepi sofa yang mempunyai ruang simpanan tersembunyi.

Jangan meletakkan perabot yang besar yang menghalang pencahayaan natural.

Ceriakan setiap ruang dengan sedikit hiasan warna yang berlainan daripada skema warna rumah.