Kekangan seperti beban kewangan dan tinggal di luar bandar menyebabkan ramai lepasan sekolah memilih untuk bekerja di kampung tanpa berusaha untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik, meskipun memiliki kecenderungan terhadap sesuatu bidang yang boleh menjana pendapatan lebih tinggi.

Menyedari wujudnya masalah seperti ini, L’Oreal Malaysia dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Pusat Peluang Latihan Vokasional (VTOC) Persatuan Wanita Muda Kristian (YWCA), telah melatih 10 wanita dari keluarga kurang bernasib baik menjalani latihan dandanan rambut (hairdressing) selama enam bulan sebagai langkah pertama mengubah hidup ke arah yang lebih baik.

Kursus jangka pendek itu dijalankan bertujuan membolehkan kumpulan wanita ini menjana pendapatan sendiri melalui perniagaan salon, mahupun mencari peluang pekerjaan dalam bidang kecantikan.

Pengarah Komunikasi Korporat Zon APAC L’Oreal, Mai-Linh Dao Ferguson berkata, inisiatif tersebut dicetuskan oleh Yayasan L’oreal di bawah program Beauty For A Better Life sejak tahun 2015 lagi.

Setakat ini, usaha itu telah membantu wanita kurang bernasib baik di seluruh dunia termasuk negara-negara di Amerika Latin, Asia, Asia Barat, Afrika, dan Eropah.

“Di Malaysia, L’Oreal mahu mendidik wanita muda yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan akses pendidikan melalui persijilan yang diiktiraf dalam bidang penataan gaya rambut.

“Kami mahu mereka memecah tembok kemiskinan yang membelenggu keluarga walaupun hanya melalui bidang kecantikan. Ramai yang tidak tahu sebenarnya, peluang kerjaya dalam bidang ini sangat luas dengan dianggarkan nilai perniagaan sebanyak RM10 bilion setahun.

“Apabila sudah mempunyai kemahiran ini, mereka boleh melalui kehidupan yang lebih baik dan mampu menyediakan kemahiran sama kepada anak-anak mereka,” katanya dalam majlis penganugerahan sijil Beauty For A Better Life di YWCA, Jalan Hang Jebat, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, 10 pelajar ini berjaya mempelajari dua silibus utama dengan 1000 jam pembelajaran serta latihan industri selama sebulan.

Selepas menamatkan kursus, wanita-wanita ini akan diberi peluang oleh beberapa salon kecantikan yang telah bekerjasama dalam program ini untuk bekerja dengan mereka.

Seorang pelajar, Senia Anak Engkamat, 20, dianugerahkan pelajar terbaik dan berjaya membawa pulang alat dandanan rambut dan produk L’Oreal Malaysia bernilai RM2,000.

Dia yang berasal dari Sibu, Sarawak berkata, sudah lama berminat untuk bekerja dalam bidang dandanan rambut, namun keluarga tidak mampu untuk menghantarnya ke kursus.

“Ibu saya seorang ibu tunggal dan saya melihat sendiri dia bekerja keras untuk kami adik-beradik menjalani kehidupan yang lebih baik meskipun dia tidak mampu untuk menyara pembelajaran kami ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan peluang yang diberikan oleh L’Oreal Malaysia ini, saya dapat melihat masa depan saya suatu hari nanti apabila bergelar sebagai pendandan rambut di salon kecantikan.

“Disebabkan itu jugalah saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar terbaik kerana impian ini sudah lama saya nantikan dan tibalah masa saya pula membantu menyara keluarga saya,” katanya.

Baru sahaja tamat kursus, buat sementara ini Senia bercadang untuk mencari pekerjaan di salon kecantikan di Sarawak untuk mengumpul wang bagi membolehkan dia menyambung pengajian ke peringkat lebih baik dalam bidang tersebut dan seterusnya membuka salon kecantikan sendiri.

Sementara itu, Farah Mahfuza Muklas, 19, tidak menyangka dia yang tidak mempunyai kelulusan pendidikan tinggi dapat membentuk kemahiran baharu yang langsung tidak difikirkannya selama ini.

Ujarnya, dia yang menyedari tentang kursus tersebut selepas majikan ibunya memberitahu tentang peluang tersebut.

“Saya terus mendaftarkan diri dan menjalani kursus selama enam bulan di bawah program VTOC di YWCA yang menyediakan latihan vokasional kepada komuniti yang tidak berkemampuan.

“Saya berasa sangat bertuah menjadi salah seorang pelajar dalam program ini. Bukan semua orang berpeluang dapat belajar bersama pendandan rambut terkemuka negara seperti, Albert Nico.

“Saya akan menggunakan sepenuhnya kemahiran itu untuk menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Pada tahun hadapan, L’Oreal Malaysia mensasarkan seramai 20 pelajar untuk menyertai program tersebut dan silibus kursus diperluas kepada kurikulum kecantikan serta solekan bagi mendedahkan wanita muda kemahiran yang lebih holistik. - Nursyamimi Saidi