Tidak semua pandangan itu boleh diterima, malah sesetengahnya dikecam masyarakat.

Enggan terlalu emosi saat berdepan dengan kecaman netizen dan masyarakat, pendakwah baharu yang semakin dikenali, Wan Dazrin Wan Din, 24, atau lebih popular disapa sebagai Da’i Wan, bersedia menyambut ketibaan tahun 2018 dengan lebih banyak tanggungjawab sebagai seorang individu yang menyampaikan dakwah kepada masyarakat terutama di pentas media sosial.

Dia yang merupakan finalis rancangan realiti TV, Dai’ Pendakwah Milenia Musim Kedua, mengakui bergelar pendakwah muda dengan mengambil tanggungjawab mengulas isu-isu atau permasalahan masyarakat yang tular di laman media sosial, bukan satu tugas yang ringan.

Pernah teruk dikecam di awal kemunculannya kerana menulis ‘surat’ kepada pelakon cantik, Uqasha Senrose dalam menegur perlakuan artis itu membuka tudung setelah tiga tahun berhijab, Da’i Wan, yang juga terkesan dengan pelbagai kutukan dan kecaman netizen, tidak mengalah begitu sahaja.

Terbaharu, dia menegur pula segolongan lelaki yang sering melakukan video parodi dengan memakai pakaian wanita, yang semakin dibuat secara terbuka tanpa rasa bersalah sedangkan jelas hukumnya berdosa besar.

Belum reda teguran itu yang mendapat pelbagai komen, Da’i Wan sekali lagi menjadi buah mulut netizen apabila menegur peminat K-Pop beragama Islam yang agak keterlaluan meratapi kematian seorang artis lelaki Korea popular yang membunuh diri.

Ujar Da’i Wan, semua teguran dan nasihat yang dilakukan tidak sama sekali untuk mencari populariti, sebaliknya demi menyampaikan dakwah dan ilmu kepada masyarakat yang dilihat terlalu emosi ketika menerima apa sahaja teguran dan nasihat.

“Ketika ini, terlalu banyak isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang memerlukan teguran dan nasihat daripada golongan ilmuwan dan agamawan.

“Jadi, saya berpendapat pendakwah muda lebih dekat dengan masyarakat di laman media dan seharusnya lebih berani mengemukakan pandangan agar dapat memberi ilmu pengetahuan kepada masyarakat dalam konteks laman media.

“Misalnya, saya sendiri menggunakan pendekatan teguran atau nasihat yang lebih lembut dan penggunaan cara penulisan yang betul agar benar-benar dapat menarik minat golongan muda menerima dakwah yang disampaikan,” katanya yang merupakan lulusan Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM).

Mengakui setiap kali berlaku sesuatu isu, dia menerima beribu permintaan daripada pengikutnya di laman media agar menegur atau mengulas isu berkenaan.

Da’i Wan mengambil pendekatan menegur mengikut persekitaran masyarakat ketika ini agar mereka tidak ‘melawan’ dan sentiasa menerima secara positif.

Baginya, kaedah berkenaan lebih berkesan kerana setiap kali menegur atau memberi nasihat, dia menerima lebih banyak komen positif daripada netizen selain tegurannya diterima dengan baik golongan yang melakukan kesalahan.

Dia juga berharap masyarakat dan netizen tidak terlalu ghairah memberi komen negatif atau mengutuk mereka yang melakukan kesalahan kerana setiap kesalahan masih boleh diperbetulkan.

Selain berdakwah secara terbuka serta melalui laman media sosial, Da’i Wan turut berkongsi ilmunya melalui penulisan buku dengan memilih tajuk-tajuk yang dekat dengan masyarakat.

“Buku pertama saya bertajuk Dangsin Jasin (bahasa Korea) yang bermaksud Diri Sendiri dan buku kedua pula bertajuk Bertunang yang saya garap mudah agar dapat menyentuh jiwa golongan muda dalam isu-isu yang sering dianggap remeh,” jelasnya yang merupakan pendakwah bertauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor. -  Gambar FARIZWAN HASBULLAH