Berita yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan pada pengumuman Bajet 2018, baru-baru ini, memang disambut baik oleh semua pihak.

Mungkin ada pihak yang berpendapat cadangan cuti yang diberikan itu agak lama berbanding dua bulan yang telah diguna pakai selama ini.

Majikan-majikan di sektor swasta pula mungkin melihat perkara ini sebagai satu kesukaran bagi mereka untuk mencari pengganti pekerja berkenaan bagi sementara waktu atau terpaksa melatih pekerja lain bagi melunaskan kerja.

Lupakan seketika percanggahan pendapat mengenai hal itu kerana pemberian cuti bersalin kepada wanita-wanita bagi jangka masa lama sebenarnya sudah banyak dipelopori oleh negara-negara maju lain.

Ada negara yang mengimplementasikan cuti bersalin sehingga 13 setengah bulan demi kesejahteraan ibu dan bayi yang dilahirkan terutama dalam soal kesihatan dan ikatan kekeluargaan.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr. D. Premitha, pihaknya sendiri teruja dengan pengumuman berkenaan yang dilihat bertepatan dengan masa untuk memberikan rehat secukupnya kepada ibu-ibu terutama yang bekerja.

“Sebenarnya cuti dua bulan itu agak pendek.

“Ibu-ibu ini memerlukan masa antara enam hingga lapan minggu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal, emosi dan hormon yang dialami sewaktu kelahiran anak dan kembali pulih.

“Lazimnya pada bulan pertama, dalam tempoh dua minggu terawal, ibu-ibu ini baru mula untuk menyesuaikan diri dengan keadaan bayi,” katanya.

Jelas Dr. Premitha, ketika ini mungkin ada sedikit masalah dari segi penyusuan anak dan ibu-ibu pula sedang berpantang dan sepatutnya berehat, tetapi masih tiada masa untuk diri sendiri kerana sibuk menjaga bayi.

Ketika ini jelasnya, keadaan agak meletihkan bagi ibu itu kerana tidak dapat tidur yang cukup, bayi pula meragam dan enggan tidur malam, menyebabkan mereka keletihan dan berhadapan tekanan perasaan.

“Apatah lagi sekiranya ibu-ibu itu baharu kali pertama melahirkan bayi dan terpaksa pula berhadapan dengan situasi itu, menyebabkan mereka stres,” katanya.

Kemurungan katanya, senang dialami ibu-ibu selepas bersalin, kerana ketika ini hormon estrogen dalam tubuh wanita adalah rendah bagi memberi peluang pengeluaran susu.

Masa ini dinamakan pheudumenopause iaitu masa antara wanita-wanita ini tidak didatangi haid.

Ibu-ibu ini juga mungkin tidak didatangi haid selagi mana mereka menyusukan anak, sehingga anak itu mula makan makanan lain.

“Pada peringkat ini, seolah-olah wanita itu mengalami menopaus.

“Fikiran mereka akan mula terganggu, kulit menjadi kering, rasa tekanan emosi dan sebagainya untuk satu tempoh tertentu kadang-kadang sehingga enam bulan.

“Lazimnya, selepas enam hingga lapan minggu, barulah ibu dapat menyesuaikan diri dengan situasi anak dan diri.

Sekiranya cuti bersalin dua bulan, belum lagi pulih secara emosi, mereka harus keluar bekerja semula, sedangkan mereka tidak mempunyai masa rehat untuk diri,” jelasnya.

Di tempat kerja, emosi ibu-ibu ini lebih terganggu kerana kepenatan menguruskan bayi, kesibukan kerja, perjalanan ke tempat kerja yang sesak dan panjang, menyebabkan wanita ini bakal berhadapan dengan tekanan demi tekanan.

“Dalam hal ini perlunya sokongan daripada keluarga terutama suami untuk membantu ibu baru bersalin, terutama pada fasa pertama bulan-bulan terawal selepas kelahiran.

“Mereka boleh membantu menguruskan rumah tangga, menjaga bayi sementara si ibu tidur dan juga memberikan sokongan psikologi,” jelasnya.

Menurut Dr. Premitha, biarpun pihak suami sudah menerima cuti ihsan dari tempat kerja masing-masing untuk menguruskan isteri, namun wanita ini memberi cadangan agar pihak suami perlu diberi cuti yang panjang sekurang-kurangnya dua minggu untuk mengurus dan membantu isteri mereka yang baru bersalin.