“Saya kesal kerana curang,” katanya sambil mengongoi hiba. Seketika dia terhenti sebentar sebelum menyambung cerita.

Nita merupakan rakan lama. Bekerja sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta dan mempunyai sepasang cahaya mata, manakala suaminya bertugas sebagai pegawai dalam unit beruniform.

Pada dasarnya apabila melihat keadaan rumah tangga yang dibina sejak 10 tahun lalu, pasti tidak menjangka bahawa selama ini rumah tangga mereka itu berdasarkan lakonan semata.

Menurut Nita, dia dan suaminya sudah lama tidak sehaluan kerana kesibukan tugas lelaki itu di luar sehingga dia kekurangan masa untuk dihabiskan bersama isteri dan anak-anak.

Nita pula yang memang gemar dengan keadaan kehidupan yang agak sosial bersama kawan-kawan. Pada awal hidup berumah tangga lebih senang berada di rumah menguruskan anak-anak. Ketika hujung minggu dia keluar berjalan biarpun tanpa ditemani suami.

Namun pertemuannya dengan 
seorang kenalan lama di laman sosial akhirnya mencetuskan suatu perasaan baharu kepada Nita. Perhubungan yang setakat bersembang pada mulanya itu tidak terduga melarat ke perjumpaan di luar.

“Asalnya saya keluar pun ditemani rakan-rakan satu sekolah dahulu. Namun memandangkan saya memang telah mula jatuh hati pada dia, akhirnya kami kerap keluar berdua. Rakan lama saya ini sebenarnya seorang duda beranak dua yang baru sahaja berpisah dengan isterinya.

“Memang pada awalnya saya cuba mengawal perasaan dan masih lagi tahu batas-batas kedudukan sebagai seorang isteri. Namun akhirnya saya terjebak juga apabila jatuh hati kepada lelaki ini yang saya anggap layanannya amat mempesonakan. Apatah lagi dengan cara dia menjaga hati, menyebabkan saya rasa terbuai-buai.

“Terlalu alpa dengan perasaan membuatkan anak-anak terbiar. Banyak daripada masa mereka diuruskan oleh pengasuh yang telah mula bertanya kenapa pada hari minggu pun dia perlu menjaga kedua-dua anak anak itu. Alasan yang diberikan ialah saya perlu kerja lebih masa.

“Apatah lagi dengan keadaan suami yang tidak kisah dengan apa yang saya lakukan, menyebabkan perangai saya semakin menjadi-jadi,” kata Nita.

Nita menambah, hubungan dia dan lelaki itu akhirnya sampai ke tahap yang memerangkapnya ke belenggu maksiat.

Pada suatu hari kedua-duanya bercadang ke sebuah resort untuk memadu kasih. Mereka mengambil keputusan menyewa sebuah bilik. Sambil ditemani air laut membiru Nita dan teman lelakinya asyik mahsyuk menyulam cinta.

“Apabila tinggal dalam bilik yang sama, syaitan mana yang tidak menghasut. Saya dan dia hampir melakukan zina. Entah macam mana apabila mula membuka baju dan dia yang telah bersedia untuk saya... tiba-tiba terdengar sayup-sayup laungan azan Maghrib menyebabkan tersedar dari dosa zina yang hampir saya lakukan. Saya terus teringatkan suami dan anak-anak serta ibu bapa.

“Saya beristigfar beberapa kali dan kemudian menangis. Pada teman lelaki, saya mengatakan tidak mahu lagi mencemar diri dengan melakukan dosa lebih teruk. Cukuplah dengan apa yang telah dilakukan bersamanya selama ini, setakat bersentuhan, berpegangan tangan dan berciuman adalah perkara biasa bagi kami.

“Saya mendesaknya untuk menghantar saya pulang dan memintanya memutuskan hubungan.

“Teman lelaki saya marah-marah dalam kereta kerana apa yang dihajati tidak menjadi. Saya hanya bungkam dan berdoa untuk cepat sampai ke rumah kerana mahu meminta maaf kepada suami dan memohon untuk memulakan perhubungan baharu yang lebih baik.

“Malang tidak berbau, apabila saya 
dan teman lelaki menemui kemalangan dalam perjalanan pulang itu. Kami dikejarkan ke hospital dan saya mengalami kecederaan agak parah dan koma untuk beberapa hari.

“Alhamdulillah, nyawa saya masih panjang. Saya tersedar dan mendapati telah dipindahkan ke hospital yang berdekatan dengan rumah. Ibu dan bapa melawat saya hampir setiap hari membawa bersama anak-anak. Suami saya sesekali ada juga datang menjenguk. Sekejap cuma.

“Saya juga terkejut apabila dimaklumkan, teman lelaki saya meninggal dunia dalam kemalangan berkenaan. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana masih diberikan peluang untuk hidup untuk menebus dosa-dosa yang diakukan.

“Mujur saya tidak meninggal dalam kemalangan itu. Bayangkan sekiranya saya mati dengan dosa zina pasti balasan yang saya dapat di akhirat nanti sangat buruk. Zina satu dosa yang amat besar di sisi Tuhan, malah dosa kepada suami,” kata Nita.

Seterusnya Nita memberitahu, apabila dirinya bertambah sihat, dia dibenarkan keluar dari hospital.

“Biarpun dalam keadaan tertanya-tanya, ibu dan bapa saya tidak pernah sesekali bertanyakan siapakah lelaki bersama saya yang ditemui ketika kemalangan. Ibu dan bapa berfikiran agak terbuka dan enggan memberikan saya tekanan kerana masih belum sihat,” jelasnya.

Tetapi Nita perasan, suaminya seolah-olah dapat menghidu apa yang terjadi sehinggakan pandangannya kelihatan seperti satu ancaman kepada perempuan itu.

“Dek kerana ingin berubah, menyesal dan bertaubat, akhirnya saya mengaku kepada suami atas segala kesalahan yang dilakukan bersama teman lelaki itu. Saya meminta maaf dan kemudian meminta agar diberikan peluang kedua dan mencipta kehidupan yang lebih baik bersamanya dan anak-anak.

“Selesai membuat pengakuan itu, saya menyangka dia akan marah, namun peliknya, suami saya tidak bercakap sepatah pun. Dia berlalu dari bilik dan terus keluar rumah. Kehidupan kami diteruskan seperti biasa. Dia tidak melayan saya bercakap, masih dingin dan acuh tak acuh ketika melihat saya,” katanya.

Menurut Nita biarpun tertekan dengan sikap suami, namun dia cuba untuk meneruskan kehidupan atas dasar ingin memperbetulkan keadaan.

“Selepas peristiwa kemalangan itu, saya lagi terkejut apabila ‘menangkap’ sendiri suami sedang bercumbu dengan wanita lain di ruang tamu.

“Ketika itu saya terpaksa balik awal dari kerja kerana kurang sihat. Apabila sampai di rumah sebaik menguak pintu, saya melihat dia bercumbu dengan wanita lain.

“Peristiwa itu amat memberi kesan kepada saya. Kejadian itu umpama disengajakan. Itukah cara dia menghukum atas kesalahan yang saya lakukan? Mengapa cara itu yang dia pilih untuk menghukum saya? Apa yang saya kesalkan perhubungan suami isteri kami sudah tersasar jauh daripada ajaran Islam.

“Selepas ini saya tekad memohon fasakh. Hendak harapkan dia menceraikan saya sudah tentu dia tidak akan berbuat demikian.

“Tujuan dia berbuat begitu adalah untuk menghukum, tetapi dia sendiri tidak pernah mengakui semua kesilapan ini berpunca daripada sikapnya yang dingin, sedang saya sendiri tidak tahu apa kesalahan saya sehinggakan saya perlu mencari teman di luar. Semoga kami diampun Tuhan,” katanya.