Tangannya pula laju melakar apa sahaja, sama ada di atas kertas, buku latihan hingga ke buku teks, segalanya penuh diconteng dengan pelbagai lakaran. Apa sahaja permukaan juga menjadi kanvasnya termasuk tanah, dinding serta pinggan.

“Dulu lepas makan nasi pinggan akan licin, jadi jika ada lebihan kicap di pinggan, saya mula melakar macam-macam gambar di pinggan. Saya merasakan tidak senang melihat ruang kosong,” ujar lelaki berambut panjang mencecah bahu itu.

Dilahirkan di Johol, Negeri Sembilan, namun dibesarkan di Singapura kerana mengikut ayahnya, seorang pegawai polis yang berhijrah ke sana demi tugas, ujarnya, ketika berusia lima tahun dia telah mempunyai sebuah buku lakaran yang penuh ditampal dengan gambar-gambar yang digunting dari pelbagai majalah.

Ketika menuntut di Bukit Panjang English School Singapore dan Queensway Secondary School Singapore sudah terlalu banyak lukisan yang dihasilkan lelaki itu, malah peluangnya untuk mengasah bakat melukis ke peringkat lebih tinggi amat cerah.

Namun, potensi bakatnya seolah-olah hampir terhenti sebaik tamat pendidikan di Singapura kerana ayahnya mengambil keputusan menghantarnya ke tanah Jogjakarta, Indonesia untuk menyambung pengajian dalam bidang pertanian.

Pun begitu, ketika di Jogjakarta, dia berjaya memujuk ayahnya untuk membenarkannya berkecimpung dalam dunia seni lukis, malah bandar itu yang tidak ubah seperti kota cinta buat sang pelukis menjadikan Mohd. Yusof bertambah teruja meneruskan minatnya.

Mencuba nasib, dia berjaya menempatkan diri di Sekolah Seni Rupa Indonesia dan menyambungnya di Akademi Seni Rupa Indonesia, maka bermulalah perjalanan seninya apabila berpeluang buat pertama kali mempamerkan hasil karyanya secara berkumpulan. Malah, dia juga pernah meraih hadiah Pratika Adi Karya pada tahun 1974.

“Saya hanya berada selama lima tahun di Indonesia. Saya akui tidak banyak perkara tentang seni lukis yang saya pelajari, tetapi berada di negara itu saya belajar menjadi manusia. Bagaimana saya menyesuaikan diri di tempat orang apabila sebelum itu saya bertutur dalam bahasa Inggeris dan di sana saya perlu belajar bahasa Melayu Indonesia, selain saya mampu menguasai bahasa Jawa halus dan tulisan Jawa.

“Saya juga berjaya mengumpul ramai kawan yang saya anggap seperti keluarga dan sehingga kini kami masih berhubung. Di situlah saya katakan, lukisan bukan sekadar hasil seni tetapi sebuah kehidupan,” ujarnya.

Jangan jadi miskin kerana bakat

Sebaik sahaja pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian di Jogjakarta, Mohd. Yusof tiada tempat tujuan.

Destinasi pertamanya, Anak Alam, sebuah pertubuhan yang menggerakkan aktiviti seni dan melahirkan ramai ‘graduan’ bagi menyemarakkan dunia seni tanah air sama ada lukisan, puisi atau teater.

Berterima kasih kepada Anak Alam kerana menjadi medan buatnya menajamkan seni lukisan, malah akui Mohd. Yusof, hidupnya mungkin tidak seindah kini jika tidak kerana pertubuhan itu.

“Ketika itu saya tidak mempunyai pendapatan. Masih ingat lagi, saya tidak mempunyai almari jadi saya mengambil sebuah kotak kertas untuk dijadikan almari, malah saya terhutang budi pada bapa pelakon Fauziah Nawi kerana dia sering memberi saya makan percuma.

“Seingat saya, hanya sebuah lukisan sahaja dapat dijual dan saya tahu saya harus bekerja agar ada duit untuk meneruskan hidup. Pada saya, pelukis juga perlu hidup dan untuk hidup perlu ada duit,” katanya.

Memegang prinsip tidak mahu miskin kerana bakat yang ada, Mohd. Yusof nekad untuk bukan sahaja bergelar pelukis tetapi pelukis yang boleh membawa pulangan wang.

Dalam meniti perjalanan seninya, dia juga diuji dengan cabaran apabila diserang penyakit gout saat cuba mencari sinar dalam bidang lukisan. Jari tangan dan kakinya tidak lagi normal, namun lelaki itu sedikit pun tidak terkesan dengan keadaan itu.

Menganggap keadaan yang menimpanya itu satu hikmah daripada Allah, Mohd. Yusof tidak patah semangat dan berjuang untuk hidup termasuk menjadi tukang urut bersama isteri, Zakiah Mohd. Isa, 59.

Dalam tempoh itu, dia dilimpahkan rezeki apabila ada pelanggan yang mahu membeli karyanya yang akhirnya mengembalikan lelaki itu ke ‘dunia’ asal.

“Saya menganggap saya dilahirkan cacat dan kena berusaha untuk hidup. Pada saya, apa yang menimpa ini adalah 
satu hikmah kerana ketika saya begini saya masih mampu menghasilkan lukisan cantik dan menerima pelbagai penghargaan dalam dan luar negara. Sekurang-kurangnya saya hanya cacat fizikal dan tidak cacat hati,” jelasnya yang menggunakan Gajah-Gajah Galeri untuk mendekati masyarakat bekerjasama Yayasan Jantung Negara dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Frasa Mohd. Yusof seolah-seolah melonjak tiba-tiba dek kerana Yusof Gajah, nama gelaran yang diberi rakan-rakan ketika di Anak Alam.

Tidak ada kena mengena dengan haiwan besar itu, nama Yusof Gajah diberi bagi membezakan dengan seorang lagi pelukis bernama Yusof di Anak Alam.

Namun, bagai ada renjatan kimia di dalam dirinya setiap kali menulis nama Yusof Gajah, Mohd. Yusof merasakan haiwan itu cukup unik untuk diangkat menjadi sebuah watak dalam perjalanan seninya, malah sebelum ini pun dia sudah sering melukis haiwan itu sebagai karakter dalam karyanya.

Baginya, Yusof Gajah bukan sekadar gelaran tetapi penjenamaan hasil seninya yang terus merealisasikan impiannya untuk bergelar pelukis yang bukan riwayat karyanya berakhir di jalanan sehingga akhir hayat.

Mula popular dengan karya Tiga Ekor Gajah di mana dia mengangkat watak bernama Jaja, Jojo dan Jiji, bidang ilustrasi menjadi langkah awal buat Mohd. Yusof menterjemahkan hasil seninya ke dalam dunia kanak-kanak.

Bijak menggarap subjek gajah dalam karyanya, yang menceritakan pelbagai elemen kehidupan. Buku Tiga Ekor Gajah melonjakkan sekali lagi pentas seninya apabila nama Yusof Gajah sinonim dengan gaya karya ilustrasi baharu sehingga diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Bagi Mohd. Yusof, gajah hanya subjek karyanya, namun jika diamati lembaran yang siap dilukis itu, sebenarnya menceritakan pelbagai persoalan kehidupan yang diterjemahkan dengan begitu unik.

Pernah membuka beberapa galeri di seperti di Kompleks Kraf, Jalan Conlay dan Gajah Gajah Gallery di City Square serta di Pasar Seni, kini dia, yang dikenali dengan seni lukis naif, menguruskan galeri di kediamannya yang terletak di Batu Caves.

Menghimpunkan ratusan hasil karya lelaki itu, rumah setingkat itu bukan sahaja menjadi ruang untuk berkarya, malah tempat untuk berkongsi ilmu bersama generasi muda.

“Setiap minggu di rumah ini akan ada kelas lukisan. Isteri pula mengajar kelas batik dengan harga RM150 sahaja. Saya bukan mahu jual bakat tetapi saya mahu ilmu saya dimanfaatkan,” katanya.