Melihat pada dekorasi tersebut dan namanya, Mama San, saya sangka ia satu lagi restoran makanan Cina dengan sajian-sajian mewah autentik.

Namun, telahan itu nyata meleset kerana apa yang ditawarkan lebih ‘besar’, iaitu gabungan tujuh cita rasa utama Asia - Melayu, Cina, India, Thailand, Indonesia, Kemboja, dan Vietnam - di bawah ‘satu bumbung’

Malah, tidak perlu ‘gentar’ dengan harga makanannya kerana ditawarkan daripada serendah RM14 hingga RM80, berbaloi dengan kualiti dan kuantiti yang diperoleh.

Menurut Pengurus Daerahnya, Gurpal Singh, pihaknya memang tidak akan berkompromi mengenai kualiti masakan dengan menggunakan bahan-bahan segar sahaja.

“Semua sajian di sini sebenarnya ilham Cef Will Meyrick, salah seorang cef bertaraf antarabangsa dari Indonesia.

“Minat yang mendalam dalam bidang kulinari telah membawanya merantau dari London ke Sydney, serta mengembara ke rantau Asia bagi mengenali kekayaan rempah-ratus yang menjadikan makanan serta budaya masyarakatnya unik.

“Dia bermula dengan mempelajari masakan Thailand sebelum jatuh hati dengan kulinari Indonesia, Malaysia, serta negara Asia lain.

“Sebab itu, di Mama San kami tidak hanya menawarkan menu, tetapi mempersembahkan ‘pasport masakan’ Cef Meyrick yang membawa pelanggan melalui satu perjalanan melalui makanan popular dari benua Asia,” ujarnya ketika ditemui di restoran tersebut baru-baru ini.

Antara hidangan istimewa yang boleh dinikmati di sini ialah dendeng belado, sajian rusuk lembu yang dimasak dengan pelbagai rempah ratus serta daun limau purut, ayam panggang Padang, ikan siakap bakar Bali, ayam mentega dengan sos krim kacang gajus, rendang daging, itik panggang, phad Thai, pho bo Vietnam, tom yam, dan shank kambing Rogan Josh, serta pelbagai makanan laut dengan resipi istimewa Nyonya.

Sementara itu, bagi melayani suasana pagi atau petang untuk bersantai bersama-sama rakan atau keluarga, boleh memesan bites little tapas dengan aneka pilihan makanan Asia.

Antaranya, ayam goreng berempah dengan daun kari serta cili, murtabak kambing, roti nan keju, sotong goreng, cekodok pisang dan samosa berinti ayam serta kentang.

Bagi penggemar pencuci mulut pula, apa kata mencuba pencuci mulut yang unik seperti ban nutella pak boi, pau kukus nutella disajikan dengan ais krim affogato vanila dan espresso.

Selain itu, terdapat juga durian pannacotta yang kaya dengan rasa durian sebenar, serta tat Indonesia bersama kelapa muda dan badam, serta cendol.

Bagi menghilangkan dahaga pula, nikmati rasa dingin minuman ginger flower, iaitu campuran bunga kantan segar bersama limau yang cukup popular di Mama San, selain air kelapa serta soda, mojito air kelapa dan pelbagai pilihan kopi, teh serta jus buah-buahan tropika.

Restoran berkapasiti 160 orang itu, menyediakan lebih daripada 50 jenis masakan yang pasti memberikan pelbagai rasa yang berbeza.

Turut menyediakan perkhidmatan untuk penganjuran pelbagai majlis, restoran ini terletak di hab yang mempunyai rangkaian sistem pengangkutan awam serta tempat letak kereta yang luas dan selamat.

Dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, terkini ia memperkenalkan pakej promosi Little Bites untuk dua orang pada harga RM48++.

Sempena sambutan tahun baharu pula, Mama San menjual baucer makan malam pada harga RM250 yang boleh ditebus bermula pukul 6 petang pada 31 Disember.

mariatul qatiah zakaria

[email protected]

pix mohd farizwan hasbullah