Namun apa yang memeningkan ibu mereka, Yvonne Kong, hampir setiap hari dia perlu mengutip batang-batang krayon yang patah milik dua anak perempuannya yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun itu kerana mereka tidak mahu menggunakannya lagi mungkin disebabkan rupa bentuk krayon yang tidak lagi kelihatan menarik.

Menyedari anak-anaknya tidak gemar menggunakan kembali alat tulis yang patah malah sentiasa meminta set krayon baharu, wanita berusia 39 tahun ini cuba memikirkan sesuatu untuk mengelakkan berlakunya pembaziran.

“Apabila saya melihat krayon anak-anak yang patah dibiarkan bersepah di bawah meja, saya tahu mereka tidak mahu menggunakannya lagi. Suatu hari ketika saya melayari internet, saya ada terbaca tentang penggunaan semula krayon yang sudah rosak dan saya cuba mengikuti tip yang diajar.

“Apa yang saya lakukan adalah mengumpul krayon yang patah tersebut dan cairkan di atas api untuk membentuk krayon yang baharu menggunakan bekas acuan berbentuk dinosaur. Hasilnya sangat comel dan anak-anak saya sangat gembira melihat krayon tersebut.

“Sejak itu, saya mula bereksperimen dan meneroka pelbagai elemen dalam pembuatan krayon. Asalnya saya hanya menggunakan semula krayon lama, namun saya kemudiannya mendapat idea untuk membuat sendiri krayon yang selamat dan tidak berbahaya kepada anak-anak saya dalam masa yang sama kelihatan menarik,” katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Bukit Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Mahu berkongsi ciptaan tersebut kepada ibu bapa 
yang prihatin dengan keselamatan anak kecil 
mereka, Yvonne mengambil keputusan untuk menghasilkan krayon tersebut dalam skala besar dan memperkenalkan krayon jenama ChubbyFingersPlay 
yang diasaskannya dari 
rumah.

Melakukannya secara sambilan kerana mempunyai kerjaya tetap, wanita ini tidak menyangka rekaan inovatif krayon seperti ciri-ciri tidak mudah patah, bentuk yang ergonomik lembut untuk digunakan, tahan tekanan, sifat-sifat tidak mengotorkan, dan warna yang menarik sentiasa dicari oleh ibu bapa pada hari ini.

Ujarnya, krayon yang 
ada di pasaran kebiasaannya mempunyai bau yang 
kuat dan diperbuat daripada bahan-bahan kimia seperti lilin paraffin yang boleh membahayakan kanak-kanak jika mereka termakan.

Dalam tempoh dia bereksperiman, Yvonne mencuba pelbagai kaedah untuk mencipta krayon tanpa menggunakan bahan kimia. Dalam tempoh sebulan sahaja, wanita ini akhirnya menemui ‘resipi’ yang menghasilkan krayon selamat yang tidak pernah lagi dilihatnya dijual di negara ini.

“Saya menggunakan lilin lebah (beeswax) yang biasanya digunakan dalam proses pembuatan pelembap bibir dalam inovasi krayon ini. Beberapa kali juga saya mencuba membuat krayon yang baik dengan menjadikan anak-anak saya sebagai ‘pencuba pertama’ dan mengambil kira komen dan kritikan terhadap krayon yang dihasilkan.

“Ketika mereka mewarna saya melihat sama ada krayon yang dibuat mudah dipegang, warna yang dicelupkan dalam acuan krayon cukup atau tidak, saiz yang sesuai mengikuti usia pengguna, trend terkini rekaan krayon dan sebagainya.

“Boleh dikatakan setiap 
hari ada sahaja perkara baharu yang saya pelajari sepanjang membuat krayon ini. Walaupun waktu siang saya bekerja seperti biasa, namun saya akan memastikan waktu malam saya diluangkan untuk meneroka teknik pembuatan krayon kerana saya anggap ini adalah masa untuk saya melarikan diri sebentar dari tekanan kerja,” katanya.

Walaupun harga yang diletakkan lebih dua kali ganda daripada krayon biasa, namun ChubbyFingersPlay tetap menjadi pilihan segelintir individu yang memahami pembuatan produk organik yang memakan kos yang lebih tinggi.

Buat masa ini, dia menjual krayon berdasarkan pra-tempahan yang dilakukan oleh pelanggan dan bercadang untuk mengasaskan jaringan perniagaan e-dagang melalui laman web yang lebih sistematik pada masa hadapan.

Selain dijual untuk kegunaan harian kanak-kanak, Yvonne juga memperkenalkan pek parti krayon sebagai cenderahati sesuatu majlis. Hasil kraf Yvonne boleh dilihat melalui laman Instagram, @chubbyfingersplay, Facebook : chubbyfingersplay dan tempahan boleh dilakukan menerusi emel, mychubbyfingers@gmail.com.