Mohd. Syahbuddin yang juga Yang DiPertua Majlis Belia Kelantan (MBK) mengenali suri hatinya, ketika mereka sama-sama menuntut ilmu di Universiti Sains Malaysia (USM).

S2 menerusi ruangan Jodoh Kita minggu ini menyingkap kembali kisah cinta pasangan ini yang kini telah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohamad Mukhrizuddin, 10; Nor Airini Aisyah, 7; Nur Qistina Ayu, 5, dan Nor Fatima Zahra, 2, hasil perkongsian hidup selama kira-kira 10 tahun.

Menceritakan detik pertemuan mereka, Mohd. Syahbuddin berkata, sebelum bertemu dengan isteri tercinta, beliau ada merancang untuk mencari calon isteri pada tahun akhir pengajiannya dan tanpa disangka mereka telah dipertemukan seperti yang dirancang.

“Masa itu, tahun 2001, saya sedang belajar dalam kuliah semester akhir, manakala isteri saya pula baru semester pertama.

“Pertemuan pertama kami adalah ketika di dalam kelas. Waktu itu, saya sudah terpandang isteri saya dan tanpa diduga, kami ditakdirkan untuk berada dalam satu kumpulan untuk tugasan subjek berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sejak detik itu, mereka mula berkawan dan kedua-duanya mendapati ada keserasian di antara mereka sehingga mengambil keputusan untuk bertunang pada tahun 2003.

“Setelah setahun bertunang, akhirnya kami disatukan pada 16 April 2004 dan bermulalah fasa baharu sebagai suami isteri,”ujarnya.

Tambah Mohd. Syahbuddin, ketika berada di alam percintaan, mereka tidak selalu berjumpa seperti pasangan lain memandangkan beliau seorang yang aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta menjadi presiden beberapa persatuan mahupun kelab semasa menuntut di USM.

“Begitu juga ketika berada dalam fasa pertunangan. Pada waktu itu, saya mula bekerja dan saya sangat komited dengan tugas yang dipertanggungjawabkan. Kami jarang berjumpa dan hanya berhubung melalui telefon sehingga kadang-kadang sebulan sekali, baru dapat berjumpa.

“Di situ juga, saya dapat melihat pengorbanan isteri saya yang begitu memahami kerjaya saya dan sentiasa memberi sokongan. Bukan itu sahaja, sepanjang tempoh pertunangan juga, isteri saya turut diuji dengan pelbagai cara oleh ibu saya dari segi masakan, serta mengemas rumah,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, cinta jarak jauh pasangan ini tidak terhenti di situ. Ini kerana selepas berkahwin, kedua-duanya masih tinggal berjauhan disebabkan faktor kerjaya masing-masing.

“Sebelum ini, isteri saya bertugas sebagai guru di Jerantut, Pahang. Sekarang pula mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Wangi 2, Gua Musang.

“Walaupun berada dalam satu negeri, kami terpaksa berjauhan memandangkan saya bertugas di Kota Bharu.

“Sama seperti pasangan lain yang tidak mahu berjauhan dengan isteri dan anak-anak, jadi setiap minggu, saya akan ke sana untuk meluangkan masa bersama isteri serta anak-anak,” katanya.

Katanya, bila berjauhan, hubungan mereka sekeluarga menjadi lebih erat apabila bertemu dan ketika itulah mereka akan memanfaatkan sebaik-baiknya masa berkualiti bersama.

“Isteri saya adalah seorang insan yang begitu memahami diri saya. Dia banyak memberi sokongan serta semangat untuk kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, berkongsi rahsia kebahagiaan rumah tangga, Nor Azila berkata, mereka sentiasa mengamalkan sikap toleransi bagi mengekalkan keutuhan mahligai yang dibina.

“Tinggal berasingan adalah satu cabaran besar buat pasangan yang berkahwin kerana terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak-anak. Oleh sebab itu, setiap kali bercuti, kami sekeluarga akan penuhi masa bersama,” katanya.

Menurutnya, dalam berumah tangga, sikap saling memahami antara satu sama lain amat penting kerana ia adalah salah satu resipi kebahagiaan.

“Saya akui ada sedikit sifat cemburu terhadap suami yang dikelilingi golongan muda, ditambah pula dengan jawatan tinggi dan dikenali ramai.

“Namun, itu tidak menjadi masalah kerana apa yang penting adalah kepercayaan,” katanya.