Disajikan churros yang garing di luar dan lembut di dalam, apatah lagi selepas dicicah pelbagai pencicah atau dipping yang boleh dipilih seperti coklat, karamel, butter scotch, madu, strawberi, peanut butter, nutella, white chocolate dan paling istimewa sambal tumis nasi lemak.

Berbekalkan pengalaman bekerja di beberapa buah hotel di Malaysia, Nora yang baru saja tamat kontrak dengan sebuah agensi kerajaan tidak menoleh lagi tetapi menggunakan kemahiran yang ada membuka gerai churros dengan rakan kongsinya.

“Rakan kongsi saya yang gemar mengembara ke Eropah dan Australia tertarik dengan churros dan mula merealisasikannya dengan mencari gerai yang sesuai sehingga kami mendapat tempat di sini,” katanya semasa ditemui di gerainya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tapi perjalanan ini bukan mudah, jelas Nora, walaupun berpengalaman bekerja di beberapa hotel terkemuka, Nora terpaksa membuat trial and error dalam menghasilkan churros sesuai dengan selera orang Malaysia.

“Di Eropah, pelanggan gemar churros yang garing di luar dan keras di dalam tetapi berbeza di sini, pelanggan lebih gemarkan churros yang garing di luar tetapi lembut di dalam.

“Saya pernah membuang lima kilogram tepung bagi mendapatkan adunan churros yang dikehendaki tetapi berkat kesabaran, sekarang saya sudah dapat adunan terbaik,” katanya yang menggunakan minyak zaitun dalam adunannya.

Buat masa sekarang Nora menghasilkan lima kilogram adunan churros setiap hari di rumah sebelum dibawa untuk digoreng di gerainya setiap hari.

Setiap satu kilogram memerlukan masa setengah jam hingga sejam untuk diuli.

“Kami menghasilkan churros biasa di gerai tetapi semasa cuti umum dan untuk tempahan, kami mempunyai pilihan istimewa iaitu churros red velvet dan churros green tea. Kami juga sedia menerima tempahan pelbagai jenis majlis seperti hari jadi, perkahwinan atau sebarang majlis,” katanya.

Walaupun baru beberapa bulan dibuka, Churros Stall telah mempunyai pelanggan tetap yang gemarkan churros hasil air tangan Nora. Malah segala pencicah atau dipping semua dihasilkan oleh Nora sendiri.