Bagi mereka yang amat mementingkan soal dekorasi, meja solekan juga perlu dititikberatkan memandangkan gabungan pelbagai elemen mampu menciptakan karakter tersendiri pada ruang bersolek anda.

Sejak kebelakangan ini, meja solekan yang dilengkapi dengan cermin berlampu mula mendapat perhatian masyarakat di negara ini selepas diperkenalkan oleh sebuah gedung perabot dari Sweden untuk dipasang sendiri.

Dikenali sebagai vanity mirror yang membawa konsep klasik Hollywood, kebiasaannya ia digunakan untuk menghiasi studio fotografi dengan tujuan penggambaran atau digunakan oleh jurusolek sebagai prop solekan untuk aksesori ruang.

Melihat adanya sambutan terhadap perhiasan tersebut, jenama Tiffany Kate Design cuba membawa trend dekorasi tersebut ke pasaran dengan menggunakan kepakaran anak tempatan.

Dimiliki oleh pasangan muda suami isteri, Khairie Kassan dan Nurmikalthum Julai, ternyata cermin yang dihiasi dengan susunan mentol lampu LED mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya daripada gadis-gadis muda yang mahukan dekorasi berbeza di kamar tidur mereka.

Ujar Khairie, pada awalnya cermin solekan tersebut dibawa masuk dari China.

“Tidak dinafikan ketika itu kami mendapat tempahan yang banyak kerana vanity mirror mula menjadi trend selepas digunakan oleh beberapa jurusolek selebriti sebagai prop ketika membuat tutorial solekan.

“Ramai yang mahukan rekaan yang sama tetapi tidak tahu di mana mereka boleh mendapatkannya. Ketika itu tidak ramai peniaga yang menawarkan cermin ini dan kami adalah antara yang terawal memperkenalkan vanity mirror.

“Walaupun harganya agak mahal kerana perlu menanggung kos penghantaran, kebanyakan pelanggan kami tidak keberatan untuk berbelanja besar demi kepuasan mereka.

“Namun, kami menghadapi beberapa masalah berkaitan dengan pembekal apabila sering mendapat barangan yang rosak dan kadang-kala tempahan memakan masa yang agak lama.

“Saya tidak mahu pelanggan tertunggu-tunggu tempahan mereka, jadi saya berbincang dengan isteri untuk membuat sendiri cermin ini.

“Memandangkan saya mempunyai latar belakang kejuruteraan dan pernah bekerja dalam industri ini, sedikit sebanyak boleh membantu saya menghasilkan produk yang baik, saya yakin saya mampu melakukannya,” katanya ketika ditemui di bengkel miliknya di Subang Bestari, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Apabila mereka memperkenalkan kembali vanity mirror kepada pelanggan, mulanya ramai yang ragu-ragu dengan kemampuan produk keluaran tempatan.

Apapun Khairie yakin cermin hiasan yang dihasilkannya lebih baik daripada pembekal di China.

Katanya, pembekal di China menggunakan papan melamin yang mudah reput serta berat, sedangkan Tiffany Kate Design menggunakan papan blok dan ply laminate yang kalis air dan api, ringan serta tidak mudah calar.

Lebih menarik, pihaknya juga menawarkan set meja solekan lengkap bersama vanity mirror bagi pelanggan yang mahukan cita rasa lebih mewah dan mengimpikan ruang solekan lebih elegan serta tampak kemas.

Dalam pada itu, isterinya yang mesra disapa sebagai Naomie berkata, pihaknya berjaya meluaskan rangkaian perniagaan mereka ke segmen perabot berdasarkan tempahan setelah memperkenalkan set meja solekan lengkap selepas 10 bulan bertapak dalam industri.

“Alat mekap dan barangan kecantikan seperti krim muka sering membuatkan bilik kelihatan berselerak, walaupun hanya dalam kuantiti kecil.

“Memahami dilema yang dialami oleh ramai wanita ini, kami kongsikan gambaran idea untuk mengemaskan barang-barang ini supaya ruang dan meja solek nampak kemas serta cantik.

“Rekaan perabot yang ditawarkan juga berdasarkan apa yang pelanggan mahukan sama ada bersaiz besar atau kecil mengikut bajet mereka.

“Vanity mirror bermula pada harga RM290 hingga RM490 manakala set meja solekan bermula pada harga RM499,” ujarnya yang juga seorang penulis blog kecantikan.

Katanya, jika dahulu mereka hanya mampu menjual satu hingga dua unit sahaja sehari, namun kini mereka mampu menerima tempahan sebanyak 10 hingga 20 unit sehari.

Koleksi vanity mirror dan set perabot Tiffany Kate Design boleh dilihat melalui laman Instagram, @makeupmurahbynaomie.