Sebagai wanita berhijab, sejauh mana pentingnya menjaga kecantikan dan penampilan?

Tidak kira berhijab atau tidak, kecantikan amat penting bagi diri seseorang wanita. Islam pun ada menyebut ‘seindah-indah hiasan ialah wanita yang solehah’, yang menjelaskan tentang perkataan indah, iaitu yang membawa kepada perkara elok dan manis dipandang.

Islam sendiri memberi penekanan tentang konsep menjaga kecantikan. Mengaitkan pemakaian hijab dengan penjagaan kecantikan juga dapat membawa pandangan positif terhadap Islam itu.

Adakah hijab perlu dijadikan ‘alasan’ untuk mempunyai perilaku yang baik?

Apabila mengenakan hijab, semestinya kita perlu menjaga bukan sahaja dari segi luaran tetapi juga dalaman. Perkataan cantik merupakan sesuatu yang abstrak kerana cantik boleh dinilai dari luaran dan dalaman.

Lebih indah sekiranya si pemakai hijab tampil anggun bergaya diserikan dengan tutur kata yang sopan dan manis didengar. Hijab bukan sahaja sebagai menutup aurat wanita tetapi perlu diserikan dengan lambang kesopanan.

Apabila kita menggayakan hijab dengan kemas dan cantik, diri akan menjadi lebih yakin dan positif.

Secara tidak langsung ini memberi tanggapan yang sebenar tentang agama Islam yang mementingkan kecantikan dan peribadi yang mulia.

Pada pandangan anda apakah kekangan kepada wanita berhijab?

Saya lihat kekangan dihadapi wanita berhijab ialah dari sudut pemilihan kerjaya dan pergaulan sosial.

Malangnya, masih ada lagi majikan mensyaratkan wanita tidak berhijab dalam pengambilan kerja. Sebagai contoh, ada syarikat di negara ini hanya mengambil pramugari tidak berhijab dan bagi yang berhijab hanya mengambil posisi pentadbiran.

Apapun, saya tidak nafikan masih terdapat banyak bidang kerjaya lain terbuka luas untuk wanita berhijab. Malah, kini ramai wanita berhijab yang lebih berjaya menjadi ahli korporat, pemimpin, ahli profesional dan ikon masyarakat. Sesungguhnya pintu rezeki Allah di muka bumi ini terbuka luas.

Jangan jadikan alasan berhijab untuk tidak maju ke hadapan. Sesungguhnya, hidup dalam bersyariat lebih mulia dan lebih diberkati oleh Allah SWT.

Sebagai seorang yang banyak terlibat dalam industri fesyen tanah air (model, duta, dan selebriti), bagaimana meletakkan syariat sebagai keutamaan dalam konteks penetapan stail fesyen semasa?

Jujur saya katakan, terlalu banyak lagi kelemahan saya dari segi pemakaian yang benar-benar mengikut syariat Islam, namun saya berazam untuk terus memperbaiki diri.

Saya berusaha istiqamah dan mengetahui batas-batas yang perlu dijaga kerana apa yang penting bukan saham di dunia, tapi di akhirat kelak.

Jangan kita menyusahkan sesuatu yang ternyata mudah dan indah dalam Islam. Saya percaya dengan melakukan ‘pelaburan’ sebegitu untuk kesenangan di akhirat nanti.

Anda sentiasa kelihatan cantik di luar atau di media sosial. Tidakkah berasa terbeban untuk kekal bergaya?

Secara peribadi saya tidak pernah berasa terbeban menjadi rujukan orang lain dari segi pemakaian, cara membawa diri, aura positif, karier dan sebagainya. Malah saya sangat menghargai dan berterima kasih kerana sudi menjadikan saya sebagai role model.

Mengenai soal kecantikan, sebenarnya sejak dahulu lagi saya mementingkan penampilan diri jadi saya tidak pernah rasa terbeban dan itu memang adalah diri saya yang sebenar.