Kita mungkin tidak bercita-cita terlalu tinggi namun janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan dan boleh diceritakan kepada anak cucu nanti.

Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah untuk menjadi pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah dari majikan.

Kalau kita seorang usahawan binalah empayar perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau kita sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai ke peringkat yang tertinggi.

Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetapkan olehnya. Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri.

Bagi seseorang usahawan, memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati sasaran awalnya dan baginya ia adalah satu kejayaan. Tetapi RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang pada kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa.

Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju.

Sebab itulah setelah mencapai satu sasaran, maka cabar diri untuk maju ke tahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.

1 Letakkan Sasaran Yang Tinggi - Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu.

Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor satu pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengem­bangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja.

Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula.

Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.

2Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain - Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain.

Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya.

Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak.

Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan iri hati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.

3 Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati - Sikap cepat berpuas hati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan.

Sekurang-kurangnya sudah ada rumah sendiri, berapa ramai lagi orang yang tidak mampu memiliki rumah.” Sikap puas hati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita?

Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, menjadi jutawan, yang berkereta mewah, memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK!

Jadi, usah lagi berpuas hati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.

4 Soal Diri Dengan Soalan Positif - Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya: Kenapalah aku gagal? Mengapa nasib aku sentiasa malang? Kenapa orang semua tak suka aku? Apalah nak jadi dengan aku ni?

Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan. Apa yang belum aku lakukan lagi? Bagaimana aku nak tingkatkan 20 peratus lagi pendapatan aku bulan depan?

Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi? Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini? Siapa yang boleh bantu aku?

Rupanya kita tidak berjaya selama ini disebabkan kita bertanya soalan-soalan yang salah pada diri. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5Tingkatkan Taraf Diri Anda - Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan taraf hidup dan pencapaian diri. Misalnya, kita berkata pada diri sendiri seperi berikut:

  • Tidak mungkin selama-lamanya jadi kerani, lima tahun dari sekarang mesti jadi pengurus pula.
  • Tidak mungkin selama-lamanya mahu bekerja dengan orang, sepuluh tahun dari sekarang mahu juga jadi bos.
  • Tidak mungkin asyik dapat markah ‘C’ sahaja, tiga bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula.
  • Tidak seronoklah asyik bawa kereta Jepun sahaja, lima tahun dari sekarang aku mahu bawa kereta Jerman pula.
  • Tidak mungkin mahu berumah teres sahaja, sepuluh tahun dari sekarang aku mesti memiliki rumah banglo pula.
  • Tidak mungkin selamanya mahu hidup kais pagi makan pagi, tiga tahun daripada sekarang aku mahu menjadi seorang tidak lagi bergantung hidup dengan gaji dan bebas wang.