Drama bersiri popular ini bukan sahaja menambat hati penonton, malah tidak kurang juga ada yang memasang angan-angan untuk bekerja di lapangan sama gara-gara terkesan dengan drama itu.

Namun tahukah anda, tidak mudah bergelar doktor yang menjalankan tugas di medan pertempuran kerana bukan sedikit cabaran yang perlu dilalui.

Mereka berdepan dengan suasana bekerja yang berubah hampir 360 darjah daripada tugas hakiki seorang doktor perubatan biasa.

Itu belum lagi cerita bermalam di dalam hutan, memikul beg berat, menggunakan senjata, kekangan peralatan serta kemungkinan-kemungkinan lain seperti ditembak, dijadikan tebusan, diserang pihak musuh serta keperluan untuk memandu kenderaan berat jika terpaksa.

Mungkin tidak ramai doktor perubatan yang berminat meneruskan perkhidmatan mereka di lapangan perang, namun bagi pasangan suami isteri ini, mereka tidak menjadikan kesukaran itu sebagai penghalang meneruskan kerjaya.

Keputusan suami, Mejar Dr. Hanisyam Hanafi, 33, sebaik tamat pengajian di International Medical University (IMU), Kuala Lumpur kira-kira sembilan tahun lalu, mengubah fasa kerjaya Mejar Dr. Nurul Huda Ibrahim, 33, yang berpengalaman luas sebagai doktor bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kini dia bertugas pula bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak Disember 2015.

Akui Dr. Nurul Huda, semuanya bermula apabila ‘terpaksa’ menerima cadangan suami selepas tamat pengajian.

“Pada awalnya saya merasakan keputusan untuk meneruskan kerjaya sebagai doktor perubatan di kem tentera satu kesilapan. Memang saya gemarkan cabaran, tetapi saya tidak sukakan sesuatu yang lasak.

“Selepas dua tahun saya berkhidmat di kem askar, saya rasa hendak berhenti kerja kerana merasakan ketika itu tugas saya lebih banyak menjadi askar berbanding doktor.

“Saya perlu berlatih seperti askar, berkawad, menjalani latihan kecergasan, masuk hutan, pikul beg mencecah 15 kilogram sehari dan sebagainya.

“Waktu itu, saya sedikit berputus asa, namun entah macam mana saya mampu bertahan. Mungkin juga kerana saya sangat sukakan cabaran dan merasakan kerjaya sebagai doktor tentera akan membawa saya berdepan dengan pelbagai cabaran. Jadi saya bertahan sehingga kini,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, paling tidak boleh dilupakan apabila terpaksa mengikuti latihan ketenteraan selama 20 hari di dalam hutan sekitar Mersing, Johor, termasuk latihan berkawad, menembak serta latihan kecergasan.

“Memang terlalu banyak pengalaman yang saya lalui ketika berada di Kem Majidee, Johor selama dua tahun dan Kem Syed Putra, Perak selama empat tahun. Sudah pasti bertugas di dalam hutan tidak sama di hospital, malah ada beberapa kali saya tidak mandi kerana segan memandangkan tiada wanita di tapak perkhemahan, malah dua paramedik yang bersama saya juga lelaki.

“Saya berbadan kecil dan bayangkan saya kena berlari di tepi pantai dengan memikul beg seberat 15 kilogram. Mengikuti latihan ini bukan wajib, bagaimanapun saya mahu merasai sendiri keadaan di lapangan kerana jika saya sendiri tidak tahu tentang tugas mereka dan bagaimana risiko-risiko kecederaan boleh berlaku di lapangan, bagaimana saya boleh bekerja,” ujarnya.

Siapa sangka daripada hampir meletakkan jawatan, selepas lima tahun bertugas bersama tentera darat, wanita itu diberi pula peluang bertugas bersama TUDM sebagai doktor perubatan penerbangan (Aviation Medical Officer).

Skop tugasnya sebagai pegawai perubatan penerbangan dan pegawai latih penerbangan yang melibatkan kerjasama secara terus dengan juruterbang-juruterbang pesawat pejuang seperti FA-18, menyebabkan dia sendiri harus menjalani latihan-latihan khas khusus untuk anak-anak kapal. Ini termasuk terjunan bebas dari ketinggian 3,048 meter (10,000 kaki) dan latihan dengan daya tekanan G (G-force).

“Tugas saya adalah memastikan kesihatan juruterbang dalam keadaan baik sebelum membuat penerbangan, selain merawat anak-anak kapal yang cedera, sebab itu, saya perlu mengikuti latihan penerbangan walaupun tidak ramai yang mahu melakukannya.

“Malah, berkhidmat dalam kalangan anggota lelaki juga tidak mudah, namun disebabkan saya pernah mengikuti pelbagai misi dan latihan, mereka mudah menghormati kerana kita seorang doktor serba boleh,” jelasnya.