Betapa anggun gaya gadis yang mengenakan busana putih sama ada dibuat daripada sutera, fabrik atau songket. Jelas terpancar keserian wajah yang dioles dengan solekan bak seorang ratu. Ditambah layah panjang atau sanggul berhias tiara, membuat yang memandang tidak berkedip mata.

Dzullea, label busana pengantin yang dikenali dengan rekaan yang sederhana, berciri tradisional namun ada sedikit elemen moden kontemporari kini menghasilkan rekaan busana putih yang sudah tentu dapat memikat bakal pengantin yang masih mencari-cari busana putih bagi hari yang indah itu.

Terdapat beberapa rekaan dan potongan busana yang sesuai dipakai untuk majlis-majlis penyatuan dua hati. Bermula dari majlis pertunangan dan membawa ke majlis akad nikah, persandingan, memotong kek dan bertandang.

Baju kurung moden dan dres menjadi pilihan perekanya, Zulkifli Rahmat kerana rekaan dan potongan sedemikian cantik dipakai oleh ratu sehari.

Menggunakan beberapa jenis fabrik yang nampak mewah dan cantik seperti songket India, songket Terengganu, fabrik renda yang diimport, broked dan sebagainya, dia turut menggabungkan fabrik tersebut dengan fabrik lain seperti syifon dan satin supaya sesuatu rekaan itu nampak lebih menyerlah.

Perincian manik dan tampalan renda atau potongan kuntum-kuntum bunga daripada fabrik renda turut ditambah bagi menghasilkan sesuatu rekaan yang eksklusif dan elegan.

Bakal pengantin boleh memilih daripada rekaan yang ringkas namun manis dengan sepasang kurung moden daripada songket putih hinggalah kepada dres yang lebih elegan dengan gaun syifon yang kembang yang sesuai dipakai semasa acara memotong kek.

Gambar NOOR AZLINA JAAFAR
Baju pengantin DZULLEA, 
Lot no. 39, tingkat bawah, jalan besar, kajang, selangor (019-3804663)
Solekan dan dandanan 
ZULFAZLI SUHADI (019-6106969)