Ada sebab kenapa ibu bapa tidak bersetuju dengan calon pilihan anak-anak mereka, antaranya sikap dan budi bahasa bakal menantu. Ini yang kadang-kadang anak tidak faham dan meletakkan kesalahan kepada ibu bapa yang tidak berkenan dengan pilihan mereka.

Azlin (bukan nama sebenar), antara mentua yang diuji dengan kerenah menantu yang mencabar kesabarannya. Akan tetapi demi anak, dia bertahan sehinggalah anaknya sendiri mengaku bahawa isterinya bukan wanita yang sesuai dijadikan isteri.

Ini kisah Azlin seperti diceritakan kepada saya.

“Saya seorang pesara kerajaan, sudah lima tahun bersara. Mempunyai tiga orang anak. Yang sulung lelaki, kedua perempuan dan bongsu, lelaki. Suami pesara tentera. Yang sulung sudah bekerja, manakala yang kedua dan bongsu masih belajar di universiti.

“Anak sulung saya, Amin (bukan nama sebenar) telah berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata. Isterinya, Mimi (bukan nama sebenar) bekerja dengan sebuah syarikat swasta. Orangnya boleh tahan cantik, bergaya dan sangat bijak bercakap.

“Pertama kali diperkenalkan dengan saya dan suami, hati saya tidak begitu berkenan dengan perangainya. Hati saya berdetik mengatakan dia tidak serasi dengan Amin. Tetapi sebab Amin minta saya masuk meminang, saya turutkan juga, sebab tidak mahu Amin kecewa.

“Walaupun hati tidak berkenan, saya berusaha menerima jodoh Amin. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah. Tahun pertama mereka tinggal bersama saya, sebab saya mahu Amin betul-betul bersedia untuk membawa isterinya tinggal berasingan.

“Sepanjang tinggal bersama, saya mula nampak perangai Mimi. Pergi kerja, balik kerja, makan, menonton TV, masuk bilik. Kerja rumah langsung tidak menolong. Hujung minggu sentiasa ada urusan kerja, tidak pernah lekat di rumah. Amin yang buat semua kerja. Kutip kain dari bilik yang dia longgok dalam bakul, kemudian masuk mesin, sidai dan angkat.

“Sakit mata saya melihat Amin diperbodohkan seperti itu. Saya selalu nasihatkan Amin supaya menegur Mimi. Tetapi biasalah, bila sayangkan isteri, cakap kita sudah tidak bermakna lagi pada hal untuk kebaikan masa depan. Mungkin dia sedar, saya tidak mesra dengan dia dan asyik berleter, jadi Mimi ajak Amin pindah. Disebabkan dia mengandung, saya minta dia tunggu sampai lepas bersalin.

“Saya harapkan Mimi akan berubah sebab mengandung dan bakal ada anak. Namun, tetap macam itu juga. Sampaikan saya selalu bergaduh dengan Amin kerana dia tidak suka saya mengawal isterinya. Akhirnya mereka berpindah setelah habis pantang. Bagaimanapun, anak hantar ke rumah saya.

“Kadang-kadang, anak tidak diambil dari rumah saya, sebab mereka selalu balik malam. Keadaan berterusan sampai anak kedua mereka lahir.

“Saya tidak lagi campur dalam urusan rumah tangga mereka sebab tidak mahu bergaduh dengan anak sendiri. Saya nekad tidak mahu lagi menjaga anak-anak mereka. Saya suruh mereka cari pengasuh atau hantar ke nurseri sahaja.

“Ketika inilah, baru Amin sedar keadaan rumah tangganya. Anak terbiar, diusung ke sana dan sini. Mimi langsung tidak ambil kisah, sibuk dengan kerjanya. Amin pula selalu balik lewat kerana kerja lebih masa. Keadaan mula kucar-kacir, sehingga Amin merayu saya jaga anak-anaknya yang berusia setahun dan tiga tahun itu. Kita orang tua, tidak sampai hati melihat keadaan cucu yang dibuat macam bola.

“Saya berterus terang dengan Amin, tidak selindung lagi yang saya tidak suka cara Mimi yang tidak mengutamakan rumah tangga, suami dan anak-anak. Dia mengabaikan tanggungjawabnya. Isteri apa, kalau makan minum suami, pakaian tidak dijaga. Anak pula tak cukup kasih sayang kerana selalu ditinggalkan.

“Orang lain pun kerja juga, tapi rumah tangga, elok sahaja. Ini tak lekat di rumah. Dapur tidak pernah berasap. Anak-anak lebih rapat dengan saya dan suami daripada mak ayahnya. Sampai bila nak biarkan perkara ini berlaku? Sakit demam saya dan suami, keluarga di kampung, kenduri-kendara, langsung tidak mahu datang. Menantu jenis apa begitu?.

“Sampailah satu hari Amin bagi tahu saya Mimi sudah menfailkan perceraian. Saya tidak terkejut. Sebab memang sudah menjangka perkara ini akan berlaku. Firasat saya, sebagai ibu sangat kuat. Bukan saya berdoa supaya mereka berpisah, tetapi Allah lebih mengetahui segala-galanya.

“Amin juga reda dengan apa yang berlaku. Katanya, dia sangat terkejut apabila Mimi memberitahu pejabat agama, dia tidak bertanggungjawab dan selalu balik lewat malam. Alasan yang dia reka sendiri untuk menutup kelemahannya.

“Sekali lagi saya tidak campur tangan dalam perkara ini. Saya serahkan kepada Amin untuk buat keputusan. Dia yang lebih tahu segala-galanya apa yang berlaku dalam rumah tangganya. Dia yang pilih, sekarang biar dia rasa. Sebagai ibu, saya sangat sedih dan berharap masalah mereka akan selesai dengan baik.

“Saya bercerita bukan untuk memburukkan menantu tetapi sebagai peringatan kepada anak-anak muda di luar sana termasuk anak saya juga, supaya berhati-hati memilih bakal teman hidup, tidak kiralah suami atau isteri. Kenali hati budi, latar belakang dan ambil masa untuk buat keputusan berkahwin.

“Jangan hanya bersandarkan kepada cinta sahaja. Cinta tidak membawa kita ke mana, kasih sayang dan akhlak mulia itu yang kekal membimbing kita sampai ke jannah. Apa pun saya mendoakan yang terbaik untuk Amin dan Mimi. Sekurang-kurangnya saya berharap mereka dapat pengajaran dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

“Sebagai ibu, saya harap mereka tidak berpisah, saya masih boleh menerima Mimi sebagai menantu demi cucu-cucu saya. Semoga ada jalan penyelesaian buat mereka, insya-Allah,” kata Azlin menutup ceritanya.

Begitulah lumrah rumah tangga. Biasanya kita mendengar kisah mentua dan menantu tidak serasi tetapi ini pula luahan hati mentua dengan perangai menantu. Semoga kisah ini menjadi teladan kepada bakal pengantin baharu dan bakal mentua.

Benar soal jodoh, maut dan pertemuan, itu rahsia Allah tetapi kita disuruh memilih calon suami atau isteri berlandaskan agama, berakhlak dan dari keturunan baik-baik. Semoga Allah permudahkan urusan Amin dan Mimi dan semoga rumah tangga mereka dapat diselamatkan.

Menamatkan catatan, pesanan saya, bertolak ansur adalah satu-satunya cara membina keharmonian rumah tangga. Jadikan sifat bertolak ansur itu sebagai panduan ke arah kebahagiaan dalam meniti hidup suami isteri agar segala yang diimpikan menjadi kenyataan.

Salam.