Berbeza dengan bulan lain, inilah masanya bermacam-ma­cam jenis juadah enak boleh di­nikmati tidak kira yang ditawarkan oleh hotel, restoran mahupun gerai-gerai di bazar Ramadan.

Begitu juga dengan Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur yang menyajikan kepelbagaian juadah terdiri daripada masakan kampung seperti bubur lambuk, serunding daging ayam, beriani gam, nasi kandar dan sup gearbox.

Bertemakan Halaman Haji Saad, pengunjung dapat mengubat rindu dengan masakan ibu di kampung apabila menikmati juadah yang disediakan oleh Cef Mohd. Saad Othman dan kumpulannya. Lebih istimewa, setiap sajian yang dihidangkan adalah yang terbaik dan terpelihara keasliannya.

Seperti tahun lepas, promosi bufet Ramadan kali ini juga menyediakan dua kawasan berbeza iaitu di dewan bankuet Pacific Ballroom dan Restoran Zende bagi memenuhi cita rasa pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Pacific Ballroom mengetengahkan konsep warung atau gerai dengan aturan makanannya seperti di bazar Ramadan.

Juadahnya juga beraneka jenis seperti sup ekor mamak, sup ayam, daging salai sasak lemak cili padi bersama pisang muda, udang goreng kunyit, ikan siakap kukus kuah tauchu, ayam lemak rebung santan nipah muda dan banyak lagi.

Bagi bufet Ramadan di Pacific Ballroom, ia ditawarkan dengan harga RM98 bersih untuk dewasa dan RM49 bersih bagi kanak-kanak.

Sementara itu, bagi pengunjung yang inginkan suasana lebih tenang dan eksklusif, mereka boleh memilih untuk berbuka puasa di Restoran Zende.

Restoran Zende yang terletak di lobi Hotel Seri Pacific itu menghidangkan sajian seperti gulai daging campur umbut kelapa, lemang, mee rebus, laksa Johor, mee udang, pasembor, shawarma, babaganoush, hummus, ayam mandy tandoori style, kambing panggang dan banyak lagi.

Bufet Ramadan di Restoran Zende dibuka sehingga 24 Jun dengan harga RM138 bersih untuk dewasa dan RM69 bersih bagi kanak-kanak.