Itu adalah antara yang didikan dibawa oleh di Tadika Aktif, Bijak, Santun (ABS), yang mahu ‘anak-anaknya’ bukan bersikap bersaing tetapi berlumba-lumba membantu satu sama lain supaya setiap orang berjaya ke garisan penamat.

Pada masa yang sama, setiap bakat dan kemahiran yang ada dirai supaya nilai percaya diri anak-anak meningkat.

Anak-anak di tadika tersebut juga diterap memahami nilai duit, tidak digalakkan meminta-minta, sebaliknya sedar bahawa pada setiap duit yang mereka terima, ada bahagiannya untuk disimpan, disedekahkan dan dilabur.

Kaedah didikan tersebut juga yang membantu membawa kejayaan kepada tadika tersebut. Buktinya, walaupun baharu ditubuhkan pada 2013, dalam tempoh tersebut Tadika ABS telah berkembang kepada 75 buah dengan sejumlah 2,491 murid di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif, ABS Education Sdn. Bhd., Suhaili Ikhsan, misi kewujudan tadika tersebut adalah untuk membawakan kebaikan kepada kanak-kanak menerusi tiga ‘peralatan’ unik iaitu, Teknik Nabi, Teknik Bahasa dan Budaya Melayu Tinggi, dan Modul Keusahawanan Abd. Rahman Auf (ARAF).

Beliau menegaskan, biarpun menggunakan pendekatan Teknik Nabi sebagai salah satu cara atau peralatan bantu mengajar dalam proses pelajaran dan pembelajaran, namun Tadika ABS bukan dikategorikan sebagai tadika Islam, tetapi lebih kepada tadika bercorak universal yang menjadikan misi membawakan kebaikan sebagai sasaran utama tadika.

Namun, pendekatan dan sumber rujukan tetap disandarkan pada ilmu serta ajaran-ajaran yang terdapat dalam al-Quran dan sunah.

“Memandangkan tadika ini bersifat universal, jadi sudah semestinya kami mengalu-alukan kedatangan semua kanak-kanak berlainan bangsa dan budaya.

“Tujuannya sudah tentu bagi menggalakkan pencampuran sosial, terutamanya dalam usia yang mudah melentur peribadi anak-anak. Tadika ABS sangat terpanggil untuk menjayakan gerakan membawa kebaikan kepada semua lapisan masyarakat.

“Kami ingin kanak-kanak di sini merasai pelbagai pengalaman yang baik, bermula dengan mengajar dan memanggil anak-anak dengan gelaran yang baik-baik sahaja.

“Sebab itu di sini kita memanggil semua pelajar kita sebagai ‘cik puan muda’ bagi kanak-kanak perempuan dan ‘cik tuan muda’ bagi yang lelaki. Fungsinya mudah, iaitu apabila anak-anak dipanggil dengan baik maka perilaku yang datang juga baik-baik sahaja. Amat sukar untuk melenting dan marah apabila kita mulakan perbualan dengan panggilan ‘cik tuan muda’ atau ‘cik puan muda’. Ia turut memberi gambaran yang terbaik kepada kanak-kanak berkenaan dan membentuk persepsi positif mereka terhadap orang lain.

“Bukan itu sahaja, guru-guru di sini juga menggunakan bahasa dan budaya yang tinggi kerana kita percaya untuk melahirkan generasi yang berbudaya tinggi, kita perlu mendidik mereka di peringkat awal lagi berdasarkan pengalaman yang kita salurkan ketika berbicara dan berinteraksi,” katanya ketika ditemui di premis tadika berkenaan di Rangkaian Tadika ABS, No. 14, Jalan TC2A/2, Taman Cemerlang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berbalik kepada tiga jenis alatan yang digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran, Suhaili menjelaskan, Teknik Nabi digunakan di keseluruhan persekitaran pembelajaran dan pengurusan supaya masing-masing terdorong membuat perkara yang baik-baik sahaja.

Teknik ini katanya, merupakan kaedah psikologi dalam mendorong pelajar secara khusus dan manusia amnya, dengan cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis-hadis sahih.

Guru-guru adalah sumber dorongan utama kepada anak-anak, mereka akan dilatih sebagai pengamal Teknik Nabi bagi mewujudkan persekitaran yang saling mendorong.

Sikap anak-anak tidak dikritik dan guru tiada beban emosi menghasilkan persekitaran positif yang membuatkan anak-anak suka belajar.

Bagi teknik Keunikan Bahasa dan Budaya Melayu Tinggi pula, Suhailli berpendapat, bahasa Melayu tinggi dalam perbualan seharian di Tadika ABS membuahkan praktis budaya yang tinggi dalam usaha melahirkan generasi masyarakat yang penuh santun, tinggi akhlak dan adabnya.

Antara sub modul yang dipelajari dalam teknik ini ialah taat kepada ibu bapa, baik kepada jiran, kasih kepada alam sekitar, dan taat kepada guru.

Peralatan ketiga adalah Modul Keusahawanan ARAF yang mana teknik ini diterapkan melalui Kelab ARAF bagi melentur generasi celik wang yang hartawan dan dermawan.

Misi kelab ini ialah untuk mendedahkan bijak wang dari umur awal, menggunakan teknik mengajar bijak wang yang interaktif dengan mendedahkan dunia niaga pada anak-anak.

Anak-anak juga diberi penerangan mengenai kepentingan membahagikan wang dengan mengagihkan perbelanjaan untuk orang ramai dalam bentuk derma dan menyediakan tabungan untuk diri sendiri.

“Jadi di sini kita lihat, Tadika ABS, tidak menekankan pembelajaran menerusi pensel, pen dan buku sahaja. Tumpuan kami adalah pembelajaran melalui pengalaman. Apabila anak-anak memahami dan mendalami konsep yang kami sampaikan, mereka sendiri akan terdorong membuat keputusan dengan sendiri untuk membuat kebaikan.

“Contohnya, anak-anak kita banyak mengajak ibu bapa untuk berbelanja kerana keperluan dan bukan kerana kehendak. Ada juga yang meminta ibu bapa menukar program yang ditonton kerana bahasa yang digunakan kasar dan tidak menuruti budaya tinggi yang telah dipelajari,” katanya.

Dalam pada itu Suhaili juga menjemput kepada semua ibu bapa yang berminat untuk mengetahui secara lebih terperinci mengenai Tadika ABS, hadir pada majlis pra pelancaran 25 Oktober ini di Dewan Yayasan Restu, Shah Alam, Selangor.

“Acara akan bermula pada pukul 2 petang, pra pelancaran tadika ini dilakukan atas dasar kapasiti ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai modul kami dan mengetahui lebih lanjut mengenai Tadika ABS,” katanya.

Kepada yang berminat boleh hubungi talian 018-968 8434 ( Farah Diyana) untuk pertanyaan lanjut, atau layari www.tadikaabs.com