Usah terburu-buru membuang baju-baju lama jika sudah tidak mahu memakainya lagi.

Ini kerana, Carousell, sebuah platform menjual serta membeli pelbagai barangan baharu dan terpakai dalam talian, membuka ruang buat pelanggan memperoleh keuntungan daripada hasil jualan selain pada masa sama mendapatkan apa yang dikehendaki dengan harga yang berpatutan.

Selain barangan elektronik, solekan, keperluan dapur, alat ganti kenderaan dan koleksi-koleksi mainan terhad, terdapat pelbagai pilihan pakaian yang dijual sama ada yang baharu mahu pun terpakai buat mereka yang gemarkan fesyen.

Menyedari tentang kepentingan fesyen dalam hidup masyarakat ketika ini, Carousell baru-baru ini menjalankan kempen dan bengkel Waste To Wear Fashion bersama-sama penata gaya popular, Min Luna.

Menurut Pengurus Besar Carousell Malaysia dan Singapura, Winnie Khoo, bengkel berkenaan diadakan bagi menggalakkan masyarakat lebih bijak menggayakan fesyen dengan kaedah suai padan daripada koleksi-koleksi yang boleh didapatkan di platform jual beli tersebut bagi mengelakkan ‘pembaziran’ dalam penggayaan.

Katanya, terdapat pelbagai pilihan fesyen yang boleh didapati dengan harga yang berpatutan serta kualiti yang masih baik, selain koleksi fesyen terkini.

“Hampir kebanyakan pakaian yang dijual di Carousell masih dalam keadaan baik dan banyak jenama mewah yang terdapat di laman jual beli ini.

“Jika pembeli bijak, mereka boleh suai padan koleksi yang dibeli dengan koleksi-koleksi sedia ada,” katanya.

Pada bengkel itu, Min Luna turut berkongsi idea dan tip-tip memadankan koleksi-koleksi yang dibeli bagi mewujudkan penampilan lebih segar walaupun menggunakan sesetengahnya pakaian terpakai.

Min Luna memperkenal empat gaya iaitu menggunakan warna merah sebagai tona utama, sentuhan chic 70-an, penggunaan warna perak serta gaya fesyen 90-an yang menggabungkan pelbagai jenis material.

Ujar Min Luna, terdapat pelbagai jenis pakaian di laman jual beli tersebut yang boleh disuai padan dengan koleksi sedia ada, cuma wanita harus bijak menonjolkan sesuatu imej yang diingini.

“Harga bukanlah penentu cantik atau tidak penampilan itu. Jika wanita bijak menggabungkan idea-idea fesyen, tetap akan membantu mereka menonjolkan penampilan.

“Misalnya gaya chic 70-an, gabungan seluar bell bottoms dengan blaus berbunga dan sedikit mainan warna menyerlahkan penampilan pemakai.

“Untuk gaya yang menggunakan warna berkilau seperti perak, jika tidak mahu nampak keterlaluan boleh gayakan dengan tudung warna-warna lembut atau neutral seperti biru pudar dan coklat lembut,” jelasnya.