“Tetapi daripada pengalaman saya sebagai anak satu masa dulu walaupun kini sudah kahwin, anak-anak mesti diberitahu masalah ibu bapa mereka supaya mereka tahu dan boleh bantu ringankan bebanan fikiran emak, selain melengkapkan diri setelah berkahwin nanti.’’ Itu pendirian Zahiratun ketika menghubungi penulis untuk melahirkan pandangannya tentang kisah suami gila kahwin wanita Indonesia yang dibacanya di ruangan ini beberapa minggu lalu, kerana ceritanya ada persamaan dengan kisah ayahnya.

“Saya bercakap daripada pengalaman sendiri, ketika saya dalam tingkatan tiga, saya tahu yang ayah suka cakap bohong habiskan duit gajinya untuk diri sendiri. Nasib emak berniaga maka kami tak adalah masalah tak dapat makan, tetapi bila hati emak dilanda masalah, kadangkala dia tidak dapat berniaga sehari dua.

“Emak tak dapat berniaga bukan sahaja kerana fikiran emak terganggu tetapi juga duit modal untuk berniaga diambil ayah. Bila tak berniaga sehari dua, bukan sahaja emak tak ada duit, kami pun tak dapat duit saku ke sekolah. Dan bila sering tak berniaga pelanggan lari ke gerai lain. Ini sudah tentu rugikan emak bila buka gerai semula.

“Sebenarnya buka dan tutup gerai ini sudah berlaku beberapa kali. Terutama bila emak dan ayah bertengkar dan bergaduh. Puncanya, kerana ayah ambil duit emak berniaga. Bila emak tak bagi bergaduhlah. Kata emak dia berniaga sebab nak tolong ayah, nak bagi anak-anak makan, tetapi sedihnya, ayah ambil duit emak. Kalau selalu minta duit, bukan sahaja simpanan tak ada, modal pun tak cukup. Sebab itu emak bergaduh.

“Berniaga makan, kena banyak modal untuk siapkan lauk pauk. Tapi kalau dah selalu tutup buka kedai, dan pelanggan lari tentu emak rugi. Lagi pun emak bukan berniaga besar, cuma kecil kecilan sewa tapak di depan rumah jiran.

“Saya selalu dengar mereka bertengkar pasal duit, emak tak bagi ayah duit sebab nak buat modal, tetapi kalau ayah bersuara tinggi menjerit-jerit emak malu pada jiran dan dia terpaksa beri juga duit pada ayah. Memang saya tak patut dengar apa lagi masuk campur urusan mereka. Tetapi perbuatan ayah mengganggu saya nak belajar.

“Pernah beberapa kali saya tak pergi sekolah kerana adik-adik nak ke sekolah juga. Saya ada tiga orang adik, dua lelaki dan seorang perempuan yang bongsu. Sebenarnya saya boleh pergi sekolah jalan kaki, tetapi kerana sakit hati, saya tak mahu ke sekolah. Oleh sebab saya dalam tingkatan 3 mak paksa sekolah juga, kata emak kalau tak sekolah mahukah saya nak jadi macam dia, berniaga pun ‘suam-suam kuku’, tapi kena berniaga juga, duit itulah dapat tampung makan minum kami.

“Nak jadikan cerita hari itu saya bertekak dengan emak. Emak terkejut saya melawan sebab selama ini kalau saya marah saya hanya diamkan diri, lari masuk bilik. Tapi hari itu saya marah emak. Saya sendiri tak sangka saya boleh keluarkan perkataan emak bodoh. Memang saya berdosa, tetapi saya terlalu sakit hati.

“Sebabnya dah terang-terang emak tahu ayah ada kekasih, tetapi emak masih beri ayah duit. Saya kata emak bodoh. Kalau tak ada duit jangan bagi. Takkan emak tak boleh sorokkan duit tempat lain, kenapa bagi juga pada ayah. Emak menangis, saya pun menangis. Bila dah reda, pelan-pelan saya cakap kalau emak ada duit lebih beri pada saya, untuk saya simpan, saya boleh sorok daripada ayah. Ayah takkan berani minta pada saya. Sebab saya memang tak suka berbual dengan ayah, sebab ayah suka ambil duit emak.

Mengamuk

“Hairannya emak boleh ikut cakap saya esoknya, dia suruh saya simpan sedikit duit keuntungan berniaga. Pesan saya pada emak jangan cakap pada ayah saya yang simpan duit emak. Oleh sebab emak selalu kata tak ada duit pada ayah, pastilah ayah mengamuk. Akhirnya ayah duduk tunggu tempat mak berniaga. Tapi takkan setiap hari, tentu dia pun nak kerja juga.

“Rahsia saya dengan emak berjaya. Dan saya lihat emak ada perubahan sejak dia tahu saya simpan banyak duit emak. Jelas duit beri emak kekuatan dirinya.

“Sejak tak dapat duit emak, ayah langsung tak mahu lagi bayar bil air dan letrik, sewa rumah pun ayah tak bayar. Walaupun kami duduk ‘seting garden’ sewanya pun mahal juga. Tetapi saya dan emak boleh bereskan, dengan sedikit simpanan yang ada.

“Sebelum berniaga hidup dulu kami memang susah. Dengan sedikit duit yang nenek beri, emak mula berniaga nasi lemak bungkus. Kebetulan tak jauh di belakang rumah ‘seting garden’ kami ada syarikat nak buat projek rumah, ramailah pekerja kontrak, di situ mulanya emak berniaga. Memang maju. Ayah suka. Kami apa lagi, kalau ada nasi berlebihan kamilah kenyang. Dari situ kemudiannya emak berniaga nasi di gerai yang ayah buat, kecil aja tempatnya, jadilah asalkan boleh berniaga cari duit pasar.

“Pendek kata, dengan berniagalah kami senang nak pergi sekolah dan ada duit saku. Tetapi ayah pulak buat hal. Tak sangka sungguh ayah berubah kerana ayah dapat sedikit duit daripada emak. Keadaan berterusan seolah-olah emak berniaga cari duit untuk ayah bercintan-cinton.

“Dipendekkan cerita selepas saya naik tingkatan empat dengan keputusan SRP yang tak memuaskan, tetapi saya berazam untuk lulus terbaik dalam SPM. Kadangkala saya malu dengan sepupu di kampung, mereka sekolah kampung, tetapi keputusan SRP mereka lebih baik. Saya salahkan kehidupan keluarga kami yang tidak aman dengan ayah kaki jolilah punca peperiksaan saya kurang baik. Berbanding sepupu saya kerana ayah mereka bertanggungjawab.

“Keputusan SPM saya juga tak memuaskan, saya ditakdirkan kerja kilang. Saya duduk KL kerja kilang, sepupu saya duduk kampung dapat naik tingkatan enam dan akhirnya mereka masuk universiti. Tetapi saya hancur! Kata emak itu rezeki mereka. Jangan kalut, mungkin saya ada rezeki yang lebih baik Allah nak beri pada masa akan datang.

“Tak lama kerja kilang saya berhenti sebab nak tolong emak berniaga. Nak jadikan cerita salah seorang pelanggan emak agaknya kerana kesiankan emak dia cadangkan saya jadi kerani di pejabat milik bosnya, kebetulan ada kerja kosong. Alhamdulillah, bos pun baik, dia suruh saya ambil periksa lagi manalah tahu saya boleh dapat masuk kolej atau universiti satu hari nanti. Saya senyum sinis, kerana saya tahu itu cuma angan-angan kosong. Dah dapat kerja jadi kerani ini pun dah bagus.

“Sedang adik-beradik sibuk periksa tetiba saya dapat cerita ayah saya bercinta dengan warga Indonesia. Lebih teruk si dia ni yang bekerja bantu emak memasak, masa bila dia boleh bercinta dengan ayah, dan dengar cerita nak kahwin. Tembelangnya pecah bila si cewek ini beritahu dia nak berhenti kerja dan nak balik kampung, emaknya sakit.

“Emak punya baik, bagi RM300 untuk buat belanja. Janjinya akan balik bila emaknya baik. Tiga hari lepas dia balik, ayah pulak beritahu emak dia pergi kerja luar lima hari baru balik. Tetiba je ada kerja luar. Emak percayalah. Rupanya dia pergi nikah kat Indonesia.

“Bila ayah balik kemudiannya. Reaksi ayah berbeza, setiap malam balik lewat, kalau hari Jumaat memanjang ada kerja banyak dan sering tak balik.

Tetapi berapa lama boleh bohong. Satu hari terbuka rahsia bila pembantu Indonesia yang lain bercerita ayah pergi Indonesia nikah dengan pekerja emak dulu. Apa lagi berlakulah ‘peperangan.’ Ayah mati-mati tak mengaku. Akhirnya emak jumpa juga bekas pekerja Indonesia itu yang dah buka gerai berniaga nasi macam emak buat. Dia mengaku dah nikah dengan ayah. Terkejut berok emak.

“Lagi menyakitkan hati emak, modal berniaga dia - ayah yang bagi, termasuk sewa gerai, beli pinggan mangkuk dan peralatan memasak. Emak tak percaya ayah bagi sebab kata emak ayah selalu kata tak ada duit.

“Jawapan saya senang, dengan emak ayah kata tak ada duit, selalu mintak duit emak, sedangkan gajinya dia simpan, malah bil letrik dan air pun ayah tak mahu bayar, sewa rumah ada kalanya ayah tak bayar. Ayah makan tanggung, jadi duit gajinya selama ini dia simpan sebab dia dah lama berhajat nak kahwin lagi, susah nak dapat orang Malaysia yang mahukan ayah kerana sudah ada keluarga, maka dia ambil Indonesia yang boleh berniaga dan cari duit untuk ayah.

“Emak punyalah baik sabar dengan perangai ayah, katanya satu hari Indon tu pasti balik negaranya. Tapi saya kata kalau dah kahwin dengan orang Malaysia, takkan dia nak balik negaranya, lagi ramai dia bawak sedara maranya datang ke negara ini lagi ada. Memang benar sekarang dah lima tahun ayah nikah, dah ada anak lagi. Ramai saudara maranya duduk rumah si Indonesia tu. Takkan dia nak balik negaranya. Di sini senang cari duit, boleh berniaga. Siapa berani halau kalau suaminya orang Malaysia. Begitulah mudahnya orang luar masuk ke negara ini.

“Masa saya kahwin, ayah datang waktu nikah aja. Semua perbelanjaan kahwin emak tanggung. Tapi emak masih sabar. Masih berniaga. Doa saya supaya emak cepat sedar, saya tak suruh emak bercerai, tapi apa gunanya, nama aja ada suami, tetapi tak pernah dipedulikan. Saya simpati dengan emak, doa saya supaya saya tak jadi seperti emak. Saya tak boleh sabar dan saya tidak bersedia dijadikan ‘hamba’ untuk kesenangan orang lain.” Itu cerita Zahiratun tentang ayahnya yang menyusahkan isterinya demi kebahagian diri sendiri.