Dicubanya nasib menghantar surat kepada gadis tersebut, Hong Ngan Hoo yang ketika itu berumur 22 tahun dan tinggal di Sarikei, Sarawak. Untung, suratnya itu berbalas beberapa minggu kemudian.

Itu cerita 28 tahun yang lalu mengenai bagaimana merpati dua sejoli ini bertemu. Hari ini, usia perkahwinan mereka sudah pun menjengah 21 tahun dan dikurniakan sepasang anak, Tan Jia Wei, 20, serta Tan Wai Hwa, 15.

Bercerita lanjut, Khim Peng yang pernah diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Kulim Bandar Baharu 1433 memberitahu, demi cinta hatinya itu, beliau pernah mencuba nasib untuk bekerja di sebuah pusat membeli- belah di Miri, Sarawak.

“Tindakan itu dilakukan tiga tahun selepas kami berbalas surat. Mengambil peluang keberadaan saya di sana, kami bertemu buat kali pertama pada 1990.

“Namun pekerjaan itu seakan tidak serasi dengan saya menyebabkan saya kembali ke Kulim selepas dua bulan ‘berhijrah’ ke Miri. Perhubungan kami bagaimanapun diteruskan dengan cara berbalas surat sehinggalah kami berkahwin pada 1994,” katanya yang kini menjalankan perniagaan runcit.

Mengulas lanjut katanya, sepanjang berhubung selama tujuh tahun secara jarak jauh sebelum berkahwin, mereka hanya bertemu empat kali yang mana kesemuanya memerlukan beliau terbang ke Bumi Kenyalang.

“Sebenarnya ada satu ketika, kami sudahpun mempunyai kekasih yang tinggal berhampiran. Ditakdirkan jodoh kami kuat dan berakhir di jenjang pelamin. Hingga kini, kami bahagia menjalani kehidupan berumahtangga,” katanya.

Hakikatnya, Khim Peng yang mesra dipanggil ‘Ah Pheng’ dalam kalangan penduduk di sekitar bandar Kulim cukup terkenal dengan kerja-kerja kebajikan.

Kisahnya mendermakan 20 sen untuk setiap beras dibeli di kedainya kepada salah sebuah masjid di situ sehingga mencecah jumlah belasan ribu ringgit menyebabkan dirinya cukup dikenali ramai.

Mengulas perkara itu, Ah Pheng berkata, apa yang dilakukannya itu semata-mata bagi membuktikan betapa perbezaan agama tidak menjadi penghalang untuk rakyat negara ini saling bantu membantu.

“Dahulu hidup saya susah. Saya merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik sementara ayah hanya menyara keluarga sebagai pemborong sayur.

“Ketika susah dahulu, ramai orang yang datang cakap mahu bantu. Biasanya, mereka cakap sahaja tanpa melakukan apa-apa. Disebabkan itu, saya tekad untuk membantu sesiapa yang memerlukan sedaya mampu tanpa mengira latar belakang seseorang,” ujarnya.

Dalam pada itu, isterinya, Ngan Hoo mengakui pada awalnya ketika Ah Pheng mula melakukan kerja-kerja kebajikan, beliau pernah menyuarakan rasa kurang senang memandangkan kehidupan mereka sekeluarga bukanlah orang berada.

“Sedikit demi sedikit, beliau menerangkan kepentingan berbuat kebajikan dan akhirnya saya mengerti. Rupa-rupanya, banyak faedah yang diperolehi apabila kita membantu orang lain.

“Salah satu rezeki kami adalah dalam bidang perniagaan. Dari sehari ke sehari, rezeki semakin bertambah. Perhubungan bersama masyarakat juga kian baik,” ujarnya yang agak pemalu.

Sementara itu, Ah Pheng mengakui sikap lemah lembut dan sabar yang ditunjukkan isterinya menjadi antara faktor yang menyebabkan rumah tangga mereka terus berbahagia.

“Biasanya kalau saya marah, isteri akan senyap dan tidak memberontak. Ngan Hoo sentiasa memahami keadaan saya yang sibuk dengan perniagaan serta kerja-kerja kebajikan, selain tahu menjaga rumah tangga.

“Apabila ada semua itu, maka apa lagi yang boleh diharapkan daripada seorang isteri? Saya fikir, itu merupakan resipi kebahagiaan kami selama ini,” katanya.

jodoh kita