“Kata Ira, dia dah lama tahu tentang perangai abang iparnya itu, tapi tak beritahu Iman sebab tak mahu dituduh campur tangan keluarga mereka. Dia diamkan namun dalam diam dia menyelidik dan tahu hubungan abang iparnya itu sudah jauh. Sebab itulah juga Ira mahu pertunangannya dilewatkan, sebab dia perlu fikir panjang tentang perkahwinan apakah perkahwinan itu benar-benar baik untuknya atau sebaliknya.’’ Itu cerita Puan Kushimah ketika menghubungi penulis bertanyakan tentang KSIT.

“Saya tak mahu bercerita panjang tentang Iman dan suaminya, sebab saya rasa masih baru diperingkat awal, kerana sehingga kini Iman belum bercerita dan saya tidak mahu masuk campur. Biarlah Iman berfikir tentang masa depannya.

“Sebagai ibu memang saya kesiankan Iman dah ada dua orang anak masih kecil, suami pulak buat hal, tetapi saya rasa nasib Iman lebih baik sebab dia bekerja, ada pendapatan tetap, tentu dia boleh berfikir dan menentukan masa depan dia dan anak-anaknya. Tidak seperti saya dahulu, sudahlah tidak bekerja, bila mengadu pada emak tentang masalah saya dengan suami, emak suruh sabar, kata emak satu hari nanti suami saya Ikram akan berubah. Tetapi malangnya tidak, akhirnya saya terpaksa minta cerai kerana bertahun ditinggalkan, setelah Ikram kahwin lagi.

“Malangnya sudah ditinggalkan pun emak masih nasihatkan saya jangan minta cerai, manalah tahu satu hari nanti Ikram akan balik pada saya juga, malangnya hidup saya semakin kucar kacir, dan hidup anak-anak terseksa tanpa nafkah.

“Saya tak mahu masuk campur dalam masalah Iman sebab saya tak mahu dia jadi macam saya. Dulu saya sentiasa dengar nasihat emak. Emak suruh sabar dengan perangai Ikram, alasannya kalau sabar Ikram akan kembali pada saya juga. Tetapi akhirnya saya ditinggalkan juga kerana desakan isteri barunya tak mahu bermadu.

“Umur saya sekarang sudah 60 tahun, ketika Ikram bercinta dan gila nak kahwin lagi, umur saya baru 34 tahun, suami 37 tahun. Kekasihnya 30 tahun, dia andartu. Ketika itu saya ada empat orang anak masih bersekolah rendah cuma Iman sekolah menengah. Awalnya kami memang bahagia tetapi entah apa yang terjadi di luar pengetahuan saya, maklumlah saya tak bekerja duduk di rumah sementara Ikram sibuk bekerja siang malam. Rupanya dia ada hal lebih penting, mengusung kekasihnya pergi dan balik kerja. Sementara saya sibuk uruskan anak-anak yang masih kecil ke sekolah dan ke tuisyen.

“Satu hari tanpa angin ribut taufan, Ikram beritahu dia mahu kahwin lagi, dan dia minta saya terima isteri barunya. Memang saya terkejut, terkedu dan tak terkata-kata, Ikram beritahu lagi dia bukan tak sayangkan saya dan anak-anak, tetapi katanya dia mampu kahwin lagi.

“Betapa mudahnya Ikram meminta saya terima kenyataan dia hendak kahwin lagi, alasannya dia mampu dan Islam benarkan lelaki kahwin lebih daripada satu. Menitis air mata bila Ikram minta saya terima qada dan qadar Allah semata-mata kerana dia hendak kahwin lagi.

“Hati mana dan isteri mana dapat merestui permintaan seperti ini. Kalau puan pun tentu terkejut dan menangis. Saya tanya Ikram tak kesiankan anak-anak dan saya ke? Katanya kesian malah sayang. Tetapi dia ingin kahwin lagi kerana selama ini dia hidup cuma beri kesenangan kepada saya sahaja, maka sampailah masanya saya mesti berkorban membalas budi dan jasa yang dia telah korbankan kepada saya dan anak-anak selama ini.

Alasan

“Masalah anak-anak jangan bimbang katanya, makan minum, rumah dan persekolahan mereka dia akan tanggung seperti biasa. Termasuk saya. Tidak ada satupun yang kurang. Namun amarannya jangan hasut anak-anak membencinya. Dia suruh saya tanda tangan borang perkahwinan. Tetapi saya minta tempoh.

“Kerana berita itu bagaikan bom meletup saya tak banyak cakap selain menangis. Emaklah tempat saya mengadu dan minta nasihat. Kata emak sabarlah. Oleh kerana suami janji nak tanggung semuanya, biarkan dia kahwin. Nasihat emak lagi, jika saya sabar mungkin satu hari nanti Ikram akan kembali kepada saya.

“Namun saya kurang yakin dan borang tidak saya tandatangan. Empat bulan saya bertangguh, akhirnya Ikram kahwin juga di sempadan. Apa yang saya bimbangkan kami sudah kahwin lebih 13 tahun, rumah pun tak ada. Masih menyewa. Setiap bulan duit yang Ikram beri memang tak cukup untuk uruskan anak-anak.

“Jadi kalau dia kahwin lagi, tentu kehidupa kami lebih teruk lagi, sebab Ikram tak mampu. Tetapi Ikram janji dia akan beri lebih, sebab dia duduk rumah milik isteri baruya. Tambahnya lagi gajinya lebih besar daripada gaji Ikram.

“Saya tak percaya, awalnya memang gunung emas boleh diberikan, tetapi kenyataannya takkan isteri barunya nak tanggung semua. Benar seperti dijangka empat tahun lamanya saya bersabar, akhirnya saya terpaksa pindah ke rumah lebih kecil yang Ikram carikan, yang sewanya lebih rumah. Dan saya terpaksa bekerja ambil upah memasak di rumah jiran yang buka gerai. Upah tak sebanyak mana, tetapi lepas makan minum anak beranak.

“Bila saya bekerja duit pemberian Ikram semakin kurang. Alasannya dia pun sudah ada anak. Tetapi bagaimana dengan empat orang anak yang sedang belajar? Hidup bermadu tidak seindah seperti yang Ikram janjikan. Sebaliknya amat pahit ditelan. Kesabaran yang emak janjikan kebahagiaan untuk saya, tidak pernah datang, sebaliknya setiap hari hati dan jiwa hancur berderai.

“Anak-anak boleh makan, tetapi kehidupan mereka sempit, pakaian sekolah terhad, terpaksa naik bas awam untuk ke sekolah. Tidak ada bas sekolah, sebab saya tak mampu. Jadi di mana kebahagiaan yang Ikram janjikan untuk saya dan anak-anak?

“Kalau Ikram sayangkan anak-anak dan saya, sudah pasti hidup kami tak susah dan terhimpit. Namun saya sabar. Itu nasihat emak. Malangnya apabila lima bulan berturut-turut Ikram tak beri nafkah lagi, saya terpaksa buat tuntutan cerai. Dan Ikram ceraikan saya dengan sukarela. Saya rasa Ikram tak mampu berpoligami. Itu sebabnya dia tak beri nafkah supaya saya tuntut cerai.

“Ketika saya tuntut cerai, emak sudah meninggal dunia, harapan arwah agar Ikram kembali kepada saya dan anak-anak cuma angan-angan sahaja. Selepas bercerai saya tuntut nafkah, tetapi biasalah, Ikram beri bila dia rasa nak beri, dan ketika anak-anak meminta.

“Namun saya bersyukur tiga orang anak perempuan melanjut pelajaran walaupun setakat kolej sahaja. Kini kesemua empat orang anak saya sudah bekerja. Nasihat saya pada anak-anak perempuan jangan berhenti kerja walaupun sudah berkahwin.

“Kerana kita tidak kenal hati budi suami kita, cukuplah saya seorang menderita bukan mereka. Saya minta mereka lihat kesusahan saya membesar dan beri mereka makan minum dahulu. Dan fikirkan betapa susahnya mereka meminta duit dari ayahnya yang sudah beristeri baru.

“Kini bila memikirkan masalah Iman, saya jadi tak tenteram, saya bimbang dia juga akan mengalami nasib yang sama seperti saya. Saya harap satu hari nanti dia akan bercerita dengan saya tentang masalahnya. Jika itu terjadi nasihat saya jika mampu janganlah bermadu, kerana terlalu banyak pengorbanan dan dosa akan berlaku. Tidak ada kedamaian jauh lagi kebahagiaan yang dijanjikan suami.

“Sebaliknya bermadu penuh penderitaan kepada isteri dan anak-anak. Terutama masalah ekonomi. Suami memang tak akan cukup duit. Cuma wanita yang merasa dimadukan sahaja yang layak bercerita masalah hidup bermadu. Lainlah kalau suami anda kaya raya, wang bukan masalah. Tentu tak ada masalah bermadu. Tetapi soal hati itu hak individu.

“Kepada perempuan yang berpendapat kahwin dengan suami orang satu takdir, anda tidak harus berbangga. Sebaliknya cermin diri. Sudah cukupkah kesabaran dalam diri anda dan bolehkah anda berkorban? Jika tidak lupakan! Hidup bermadu tidak semudah yang didengar atau dilihat. Setiap rancangan tidak berjalan seperti diharapkan.

“Kerana dugaan bermadu amat berat. Sanggupkan isteri baru berkorban wang ringgit untuk tanggung keluarga suami? Kerana ada suami sentiasa laparkan duit anda untuk kesenangannya sendiri. Dia akan gunakan anda untuk kebahagiaan dan keselesaan hidupnya sendiri.

“Lagi satu, suami yang sanggup melupakan isteri dan anak-anaknya yang terdahulu kerana mencintai wanita kedua, sebenarnya bukanlah suami yang baik, apa lagi untuk berlaku adil dan boleh menjadi ketua keluarga yang baik disisi Allah.

“Dia cuma pandai berjanji untuk dirinya sendiri, kerana itu mereka cari bakal isteri yang mampu tanggung diri sendiri. Dia lepas tangan. Lebih malang dia akan suruh isteri baru tanggung dirinya.

“Nasihat saya kepada gadis-gadis atau janda yang ingin berkahwin dengan suami orang, fikirlah 100 kali. Malah lebih baik anda tidak kahwin daripada melibatkan diri menyusahkan kehidupan wanita sejenis dan anak anak-anak mereka. Ingatlah, walaupun anda tidak berkahwin di muka bumi ini, Allah berjanji akan menemui jodoh yang lebih baik di akhirat nanti.

“Sekiranya anda ada rezeki lebih, bergaji besar atau pun bertaraf ‘anak dara emas’ dahulukan ibu bapa anda, bahagiakan hidup mereka, berikan mereka kesenangan sebelum mereka menutup mata. Atau bersedekahlah kepada anak-anak yatim piatu, itu adalah lebih baik untuk anda daripada berkahwin dengan suami orang.

Jangan bazirkan duit anda kepada lelaki yang belum tentu boleh membahagiakan hidup anda. Kerana jika berkahwin juga dengan suami orang perbuatan anda itu sama seperti menempah kesengsaraan hidup semata-mata’’ Itu nasihat Kushimah panjang lebar berdasarkan pengalaman pahitnya hidup bermadu.