Wan Akhmal Alif Wan Zaini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim (2), Pasir Mas Kelantan menceritakan semula kisah hidupnya kepada penulis. Ikutilah kisahnya untuk menjadi ibrah kepada semua.

“Tiba-tiba perasaan berbaur syukur kepada Ilahi, gembira, terharu dan pilu. Segera wajah-wajah orang tersayang bermain di minda silih berganti.

Selepas pencapaian agak cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lalu, saya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke sebuah pusat pengajian tinggi.

Pada mulanya hati agak berbelah bahagi antara meneruskan pelajaran di peringkat diploma atau menjaga ibu yang sakit.

Namun setelah solat istikharah dan menimbangkan keperluan menjaga ibu yang baharu menjalani pembedahan tapak kaki akibat komplikasi kencing manis, saya menolak tawaran itu dan tekad menyambung pelajaran di tingkatan enam. Saya yakin peluang kedua akan muncul selagi belajar dan berusaha bersungguh-sungguh.

Selepas pembedahan tapak kaki, keadaan ibu Noorma Ghazalli, 56, agak menyedihkan. Ibu menahan sakit untuk bangun dan berjalan.

Pergerakannya terhad di atas rumah sahaja. Oleh kerana adik-beradik lain masih belajar di universiti, sebagai anak bongsu saya mesti memikul tanggungjawab menjaga kebajikannya.

Menyorong kerusi roda dan menemani ke hospital, menyediakan makan minum, memastikan ubat diambil pada waktu ditetapkan, menguruskan pakaian serta memenuhi segala keperluan ibu.

Ayah juga sering keuzuran kerana gastrik. Kerjanya sebagai buruh dengan berpendapatan sekitar RM800 sebulan sering terganggu.

Namun saya tidak menjadikan segala cabaran tersebut sebagai penghalang sebaliknya dijadikan perangsang untuk belajar dengan lebih bersemangat.

Melihat wajah ibu dan merenung tubuh kurus ayah membangkitan jiwa yang kadang-kadang lemah. Sekiranya mengalami sedikit tekanan, zikir dan solat hajat menjadi sumber kekuatan dalaman.

Tanggungjawab diamanahkan sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar memerlukan mengimbangi antara tugas dan pelajaran.

Tugasan untuk membaca doa, menguruskan perhimpunan, membaca lafaz ikrar, memberi ucapan dalam sesuatu majlis dan penyertaan dalam bidang kokurikulum harus disempurnakan.

Penumpuan dalam kelas, pembentangan dan bengkel, kerja kursus, latih tubi dan ujian harus diutamakan.

‘Dijemput Wan Akhmal Alif Wan Zaini untuk naik ke pentas. Tahniah dengan pencapaian Purata Gred Kumulatif (PNGK) 4.0. Mencapai A dalam semua mata pelajaran.’

Pengumuman pengacara majlis, Norliza Hamzah menyedarkannya daripada lamunan. Tepukan gemuruh dan ucapan tahniah daripada guru-guru dan teman-teman seperjuangan menyemarakkan lagi suasana majlis itu. Menambahkan lagi kegembiraan apabila lima orang sahabat turut mencapai PNGK 4.0.

Saya yakin, menunaikan ibadah kepada Allah setulusnya, berbakti kepada ibu bapa seikhlas hati dan fokus dalam pelajaran merupakan kunci kejayaan.

Doa restu daripada mereka membawa renjisan rahmat Ilahi. Hubungan baik bersama guru dan kesediaan membantu rakan-rakan dalam pelajaran menambahkan lagi keberkatan.”