Paling sedih, pernah digelar hantu kerana mereka tidak pernah melihat manusia albino seperti saya pada masa itu. Pernah semasa kecil kami menziarahi saudara mara di sebuah negeri di Pantai Timur, budak-budak lari bertempiaran kerana takut melihat saya tambah lagi kerana penglihatan yang sangat terhad, lantas mereka anggap saya buta.

Semasa sekolah rendah, mak selalu bawa ke kebun getah. Seringkali saya jatuh tersungkur kerana tersepak akar pokok. Mak tanya, kamu nak hidup dengan menoreh macam mak? Nak menoreh tetapi mata tak dapat melihat dengan terang! Saya geleng kepala banyak kali, saya menangis. Mak kata, kalau tak mahu menoreh dan hidup susah macam mak, kamu kena belajar rajin-rajin. Mak selalu cabar dan bagi semangat.

Kadang-kadang mak minta tolong saya cucuk benang dalam jarum. Saya juga tak mampu buat. Mak kata lagi, menoreh tak boleh, cucuk jarum pun tak boleh, kalau malas belajar apa kerja pun saya tak boleh buat.

Bermula dengan cabaran mak, saya tekad untuk mengubah nasib diri kerana sedar punyai banyak kelemahan dan keterbatasan. Saya yakin jika sedia untuk berubah maka kehidupan akan berubah ke arah yang lebih baik. Saya sentiasa memanjatkan munajat agar dikurniakan kekuatan 
untuk mengubah diri.

Saya dihantar bersekolah di Sekolah Menengah Ugama Syamsul Maarif, Pulai Chondong, Kelantan dan tinggal bersama bapa saudara sebelah ayah. Walaupun hidup susah, bapa saudara menjaga saya seperti anak sendiri sebagaimana amanah yang ditagih oleh mak dan arwah ayah. Pada mulanya saya meminta berkali-kali dengan mak untuk terus sambung belajar sekolah menengah di Thailand tapi mak dan arwah ayah tetap berkeras mahu saya belajar di Kelantan.

Akhirnya saya akur walaupun pada permulaannya agak sukar kerana tidak pernah belajar dalam Bahasa Melayu. Mak hantar saya kali pertama dan jarang menjenguk kerana keluarga kami agak miskin.

Alhamdulillah, ramai rakan di sekolah baharu ini yang sudi berkawan dan banyak membantu dalam pelajaran serta sering memberi semangat. Saya cabar diri untuk menggandakan usaha lantaran pandangan mata yang cukup terbatas. Saya terpaksa merapatkan mata ke buku untuk membaca. Saya menahan malu dengan bertanya rakan apa yang ditulis guru di papan hitam. Saya yakin, perasaan rendah diri dan malu harus dikikis untuk menguatkan tekad mencapai cita-cita.

Saya mula berani balik sendirian ke kampung halaman semasa berada di tingkatan tiga. Mula-mula kawan diajak untuk menemani tetapi lama kelamaan saya berfikir sampai bila harus bergantung kepada orang lain. Seringkali saya tersilap menahan kereta sewa sehingga tersalah tempat yang hendak dituju. Perjalanan dari Pulai Chondong menuju ke kampung, harus beberapa kali bertukar bas dari Machang, Tanah Merah, Bukit Bunga seterusnya ke Buketa dan menyeberangi Sungai Golok.

Saya selalu mengadu kepada mak, tapi sekadar mengadu dan berkongsi pilu sahaja, saya tau mak tidak akan hantar saya lantaran kemiskinan keluarga pada masa itu. Sekarang saya yakin, ibrah daripada terpaksa berdikari itulah yang menjadi sumber kekuatan yang dicari dalam hidup ini. Terima kasih buat mak dan arwah ayah. Seterusnya saya mencapai kejayaan demi kejayaan dalam peperiksaan dan berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pertama kali bertugas, saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Ali, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Untuk ke sekolah saya harus menaiki dua buah bas. Keterbatasan dalam pandangan menyebabkan saya diperakui sebagai pemegang kad orang kurang upaya (OKU) penglihatan. Oleh itu saya tidak dapat memandu seperti orang normal.

Suami tidak dapat hantar ke sekolah kerana beliau mengajar sesi pagi manakala saya pula mengajar pada sesi petang. Tersalah nombor bas adalah lumrah namun saya tak pernah berputus asa. Saya yakin Allah sentiasa ada dan pertolongan-Nya selalu tiba.

Saya mengajar di beberapa buah sekolah sehinggalah pada tahun 2003 saya berpindah ke sekolah sekarang. Pentadbir dan semua rakan sejawat cukup memahami keadaan diri. Saya tidak dibebani dengan tugas berkaitan sistem fail kerana masalah penglihatan terhad. Saya diberi tugasan berkaitan ceramah motivasi dan tazkirah. Walaupun pada mulanya merasakan tugasan ini agak berat, namun saya mencuba untuk menguasai kebolehan dalam pengucapan awam, menyampaikan tazkirah dan perkongsian yang berguna. Alhamdulillah, kemahiran ini dapat dipertingkatkan sedikit demi sedikit dengan menambah pembacaan, berkongsi maklumat dan menghadiri majlis ilmu. Dengan secebis kelebihan ini saya turut mengendalikan usrah untuk jiran-jiran wanita di taman perumahan.