Dikenali sebagai pakar membuat beriani asli Batu Pahat, mereka kini mengambil inisiatif membuka sebuah restoran bagi membolehkan pelanggan di sekitar Lembah Klang untuk merasai sendiri kenikmatan masakan Sri Wangsa.

Pengarah Urusannya, Azmi Khalid berkata, pihaknya mengekalkan konsep utama Sri Wangsa yang mengangkat menu nasi beriani kambing sebagai signatur restoran serta menampilkan keistimewaan dengan mewujudkan ciri-ciri asli makanan Johor yang pelbagai.

“Selain beriani kambing, Sri Wangsa juga menawarkan beriani daging, beriani ayam masak merah dan beriani lamb shank serta memilih sama ada nasi beriani atau nasi bukhari sebagai pilihan.

“Jika pelanggan merasakan hidangan nasi sebagai sajian yang berat, kami juga menawarkan sajian lain seperti laksa Johor, mi bandung Muar, soto ayam, rojak buah dan tauhu sumbat goreng,” katanya ketika ditemui previu media di Restoran Sri Wangsa Briyani Batu Pahat, Persiaran Capsquare, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, cawangan di Persiaran Capsquare merupakan cawangan pertama dibuka yang mana pemilihan ini dibuat atas dasar permintaan pelanggan yang menggemari masakan asli Johor yang mementingkan kualiti dan kepuasan pelanggan.

Ujarnya, pihaknya mengambil pendekatan dengan menggunakan bahan-bahan terbaik untuk setiap resipi seperti penggunaan beras Basmathi terpilih dan rempah ratus asli resipi turun temurun dari Batu Pahat supaya pelanggan dapat merasai keistimewaan dan kenikmatan keaslian nasi beriani yang ditawarkan.

“Bukan sekadar mementingkan nasi, kami juga memilih daging serta tulang kambing yang terbaik bagi menjamin aroma dan keenakan setiap masakan.

“Diketuai Cef Mohd. Noor Abd. Rahman di dapur utama, setiap set menu nasi beriani disertakan bersama kuah dalca dan acar jelatah bagi membangkitkan lagi selera.

“Menariknya, setiap menu makanan dihidangkan dalam kuantiti yang agak banyak dan bersesuaian dengan harga yang ditawarkan,” katanya yang mempunyai 12 pekerja termasuklah cef profesional.

Jelasnya lagi, melengkapi sajian utama, penggemar kopi juga boleh mencuba minuman kopi asli dari Muar yang popular dengan aromanya yang menyegarkan selain air sirap bandung soda yang turut menjadi pilihan warga kota,

Keselesaan pelanggan amat dititikberatkan dengan menyediakan ruang makan di bahagian luar dan dalam (berhawa dingin) yang boleh memuatkan seramai 100 orang pelanggan dalam satu-satu masa.

Restoran tersebut turut menyediakan dua bilik kenamaan (VIP) yang boleh memuatkan 10 orang kepada mereka yang inginkan privasi ketika menjamu selera.

Ujarnya, mereka juga menyediakan perkhidmatan katering di sekitar Lembah Klang dengan harga yang amat berpatutan bertepatan dengan kualiti dan kuantiti makanan yang disediakan melalui enam set menu yang berbeza mengikut pilihan pelanggan.

Terletak bersebelahan gedung tekstil terkenal, Jakel Mall, restoran ini pastinya menjadi pilihan warga kota terutama mereka yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur, untuk menikmati makan tengah hari bersama rakan-rakan sekerja dan menjadi pilihan keluarga yang barus selesai membeli-belah pada hujung minggu.