Diasaskan oleh Liyana Abdul Samad bersama dua sahabatnya, Muhammad Afiq Md Shahid dan Intan Norhana Ahmad, mereka begitu yakin untuk menubuhkan rumah jagaan bagi menempatkan anak-anak asnaf bawah Baitulmal yang tidak bersekolah akibat kesempitan hidup keluarga.

Keyakinan itu timbul berdasarkan pengalaman selepas empat tahun terlibat dalam kerja-kerja kebajikan.

Liyana, yang sebelum ini dikenali sebagai pengasas kepada projek amal Preloved4Charity, berkata, penubuhan rumah tersebut dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang membantu mencari anak-anak golongan tidak berkemampuan untuk diletakkan di bawah satu bumbung.

Ini bagi memberi peluang kepada anak-anak tersebut mendapat pendidikan demi masa depan yang lebih baik.

Buat masa ini, rumah tersebut dihuni oleh 12 kanak-kanak dan remaja berusia tiga hingga 15 tahun bersama dua orang penjaga.

Namun, katanya, mereka hanya mengambil kanak-kanak dan remaja yang pernah bersekolah tetapi berhenti separuh jalan disebabkan oleh kemiskinan.

Ini kerana, kanak-kanak tersebut sudah mempunyai dokumen yang diperlukan untuk menyambung persekolahan di mana-mana sekolah.

“Dengan inisiatif ini, kami mahu beri mereka kehidupan yang lebih baik, kerana hanya dengan pendidikan mampu mengubah hidup anak-anak ini.

“Amat rugi jika mereka yang sudah mempunyai keinginan untuk bersekolah tetapi tidak mendapat peluang hanya disebabkan hidup dalam kemiskinan.

“Mereka tidak akan selamanya berada di rumah kebajikan, kerana suatu hari nanti akan keluar dari sini dan dengan berbekalkan pendidikan, mereka boleh mencari kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui Mega Rona di Pusat Jagaan As Samad, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Mesra disapa sebagai mommy oleh anak-anak di pusat jagaan tersebut, ikatan perhubungannya dengan penghuni tidak kelihatan janggal atau kekok walaupun baru mengenali antara satu sama lain.

Ujar Liyana, yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak, dia tidak membezakan kasih sayang antara anak sendiri dan anak-anak di situ, kerana baginya semua adalah anak-anak yang perlu disayangi.

Dia tidak mahu disebabkan berjauhan dengan ibu bapa sendiri, mereka kekurangan kasih sayang.

Dengan kemesraan yang terjalin, anak-anak Pusat Jagaan As Samad berasa lebih selesa, malah Liyana tidak menetapkan peraturan ketat untuk setiap anak yang menghuni.

Dia mahukan anak-anak ini berasa seperti tinggal di rumah ibu bapa sendiri, namun masih di bawah pemantauan.

Memandangkan Liyana baru sahaja mengambil anak-anak ini bawah jagaannya, mereka hanya akan mula bersekolah pada tahun hadapan. Dalam tempoh itu, dia bersama Muhammad Afiq dan Intan Norhana menganjurkan kelas intensif dengan membawa tiga orang guru mengajar anak-anak di situ.

“Kami mahu mempersiap anak-anak ini dahulu dengan pelajaran supaya apabila mereka kembali ke sekolah, tidak jauh ketinggalan.

“Untuk anak-anak bawah usia tujuh tahun, mereka akan bersekolah di Tadika Ummi Sabizah, Gombak, milik saya secara percuma,” katanya yang sudah mendapat tajaan sewa rumah bulanan sebanyak RM2,000.

Katanya, mereka memperuntuk sebanyak RM5,000 sebulan untuk keperluan rumah seperti makanan basah, perubatan, pengangkutan, tuisyen dan gaji penjaga.

Pihaknya kini masih mencari dana untuk membantu menyokong keperluan lain terutama menjelang penggal persekolahan baharu tahun depan.

Untuk itu dia mengalu-alukan mana-mana individu atau NGO menghulurkan sumbangan kepada Pusat Jagaan As Samad.