Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bergelut kejar impian

Nur Afifah Rasol 4

Kenangan menjalankan perniagaan kecil-kecilan ketika di sekolah rendah masih segar dalam ingatan Nur Afifah Rasol.

“Sejak kecil lagi, saya sudah minat berniaga. Ketika rakan-rakan sekolah sibuk main batu seremban, saya mengambil peluang menjual batu seremban bersama beg kantung dengan harga RM5.

“Memang pulangannya tidak banyak, tetapi jumlah itu sudah besar bagi seorang kanak-kanak yang berusia sembilan tahun.

“Menginjak usia belasan tahun, saya meneruskan minat tersebut bagi mengisi waktu cuti apatah lagi apabila melihat adik-beradik saya kesemuanya aktif berniaga.

“Mulanya saya menjual 45 helai baju kurung moden di laman sosial. Apa yang mengejutkan, semua habis dijual dalam tempoh 12 hari sahaja.

“Sejak itu saya tidak memandang ke belakang lagi dan meneruskan apa yang saya impikan dalam dunia perniagaan. Saya berazam mengembangkan perniagaan tersebut menjadi sebuah jenama yang boleh dibanggakan,” katanya.

Kepakaran Nur Afifah terletak pada penghasilan pakaian wanita yang mempunyai nilai-nilai eksklusif dan unik dalam masa sama patuh syariah.

Mengasaskan jenama yang dinamakan fifa.rasol, dia mahu semua wanita bergaya dan kelihatan cantik walaupun menutup aurat.

Gadis kecil molek berusia 22 tahun ini, sebenarnya merupakan pelajar jurusan kedoktoran di Universiti Sains dan Teknologi Jordan.

Pelajarannya kini berbaki dua tahun lagi sebelum layak bergelar doktor.

“Berniaga adalah minat saya tetapi bergelar doktor adalah cita-cita saya. Keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melayakkan saya untuk meneruskan pengajian dalam bidang kedoktoran.

“Sejak awal emak dan ayah mahu saya menjadi doktor. Saya tidak keberatan memenuhi hasrat mereka memandangkan saya juga meminati subjek Biologi ketika di sekolah dahulu.

“Saya tidak melihat minat saya dalam dunia perniagaan menghalang cita-cita saya ini asalkan saya tahu membahagi masa,” katanya anak bongsu daripada empat beradik itu.

Mengakui agak sukar menguruskan perniagaan dari Jordan memandangkan perbezaan waktu enam jam, selain kini sudah memasuki tahun klinikal yang agak mencabar dan dibimbangi sukar untuk memperuntuk masa.

Begitupun, Nur Afifah tidak berhasrat menamatkan perniagaan dalam taliannya, apatah lagi apabila abang sulungnya, Muhammad Nur Adli menawarkan diri menjadi rakan kongsi menguruskan perniagaan dari Malaysia.

Ibu bapanya juga sentiasa membantu dalam bentuk sokongan moral dan bantuan kewangan untuk melihat dia dapat pergi.

Namun, adat perniagaan pasti ada sahaja cabaran dan rintangan.

Nur Afifah pernah ditipu ketika mengeluarkan koleksi baju kurung yang pertama dahulu yang mana ketika itu dia masih tidak mempunyai sebarang ilmu tentang jahit pukal.

“Kerana ketiadaan sumber, saya mencari sendiri tukang jahit secara rambang. Nasib saya tidak begitu baik kerana memilih tukang jahit yang agak diragui kemahirannya.

Bayangkan, tukang jahit itu meletakkan harga tambahan untuk setiap helaian baju atas alasan yang tidak munasabah

“Saya kini menyedari betapa pentingnya pengalaman dalam perniagaan kerana daripada pengalaman kita boleh belajar dari sesuatu walaupun kita tidak mempunyai ilmu asas tentang perniagaan pada awalnya,” katanya.

Menceritakan bagaimana dia menguruskan masa yang ada sebagai seorang pelajar dan peniaga, Nur Afifah mengakui rutin hariannya agak padat kerana banyak dihabiskan di hospital dan kelas.

Dia cuba membahagikan masanya dengan baik agar kedua-dua bidang tidak membebankan dirinya.

Selalunya pada setiap hari, dia akan tidur awal iaitu selepas solat Isyak dan bangun semula pada pukul 12 malam untuk belajar.

Kemudian dia akan mengambil masa selama dua jam sebelum subuh untuk berhubung dengan pasukan fifa.rasol di tanah air kerana ketika itu waktu di Malaysia masih pagi.

Bertanya mengenai masa hadapan, dia merancang untuk meneruskan kariernya di hospital tempatan selama beberapa tahun bagi melayakkan dia menjadi doktor yang sah.

“Selepas bergelar pegawai perubatan, saya bercadang untuk kembali semula meneruskan bisnes pakaian fifa.rasol.

“Ada dalam kalangan pegawai perubatan meneruskan pengajian sarjana untuk menjadi pakar dan ada juga ingin meneruskan karier doktor sebagai pegawai perubatan di hospital kerajaan mahupun swasta, namun saya memilih untuk meneruskan bisnes saya.

“Walau bagaimanapun saya tidak pernah berhasrat untuk berhenti daripada menjadi doktor,” katanya.

Melihat kepada trend berniaga dalam kalangan pelajar universiti sehingga ada yang mengabaikan pelajaran, nasihatnya supaya meletakkan pelajaran sebagai satu tuntutan. Bisnes pula sekadar pilihan kerana jika perniagaan yang dilakukan tidak menjadi, sekurang-kurangnya mempunyai kelulusan yang akan menjadi penyelamat.

“Pesanan untuk diri saya dan anak-anak muda yang lain supaya sentiasa bijak memberi keutamaan.

“Kita mempunyai banyak contoh usahawan yang berjaya dan berkelulusan tinggi, jika mereka boleh buat kita juga boleh. Apa yang penting kita perlu sentiasa fokus dan bijak dalam mengatur jadual harian supaya tidak tersasar dan pelajaran terabai,” ujarnya.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan