Inspektor Hasni Hussin, 34, yang bertugas sebagai pegawai Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Narkotik di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata, ketika itu dia menahan seorang lelaki bersama teman wanitanya yang didapati memiliki dan menjual dadah jenis ganja di sekitar Damansara di sini.

Menurut beliau, abang kepada suspek datang ke balai polis dan mengeluarkan sebuah beg yang berisi sejumlah wang serta cuba menyogoknya bagi menyelesaikan kes itu.

“Ketika itu hanya perasaan marah yang dapat saya gambarkan namun saya cuba mengawal emosi dan menyuruh individu terbabit menggunakan duit itu untuk menjamin adiknya,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Ujar bapa kepada empat cahaya mata ini, insiden ditumbuk pada kepala hampir 15 kali oleh seorang suspek warga Afrika pula dianggap salah satu pengalaman mencabar sepanjang khidmatnya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau memberitahu, insiden itu berlaku ketika pihaknya melakukan serbuan di sebuah kondominium di Kota Damansara dan menahan seorang suspek yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah untuk penuntut-penuntut sebuah kolej swasta di kawasan berkenaan.

“Ketika serbuan, saya berjaya memegang badan suspek namun dia cuba melawan dan memukul serta menumbuk kepala saya menggunakan telefon bimbit yang dipegangnya.

“Darah turut mengalir daripada kepala saya namun saya tidak boleh melepaskan suspek kerana takut dia cuba melarikan diri, akhirnya suspek berjaya ditahan dan kita turut menemukan sepucuk pistol,” katanya.

Menyingkap perjalanannya dalam PDRM, Hasni yang merupakan lulusan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Pahang memberitahu, minatnya timbul selepas kematian ibu saudaranya yang ditemukan maut akibat disamun oleh jirannya di kuarters guru di Pahang.

Jelas beliau, sejak kejadian itu, semangat untuk menjadi seorang anggota polis terus membara dan akhirnya diterima untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada tahun 2007.

“Alhamdulillah, setelah 10 tahun berkhidmat dalam pasukan polis, saya bersyukur kerana dapat memberkas dan membantu membanteras kegiatan mengedar dan menyalahgunakan dadah di sekitar daerah Petaling Jaya.

“Selain itu, saya amat bersyukur dikurniakan seorang isteri, Siti Hasmah Ahmad yang sangat memahami kesibukan tugas sebagai seorang pegawai polis serta banyak membantu menguruskan empat orang anak kami,” ujarnya.