Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bercerita tingkatkan tahap berfikir

Libatkan aktiviti 
di rumah

.

KEMAHIRAN berfikir adalah penting bagi menghadapi masa depan yang penuh cabaran.

Dalam perkembangan ekonomi dunia misalnya, sangat memerlukan individu yang mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi dan juga kreatif.

Perubahan dalam ekonomi dan masyarakat global kini, menyebabkan berlakunya perubahan tuntutan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan pada masa 
hadapan.

Kemahiran berfikir, sama pentingnya seperti kebolehan membaca, menulis, dan mengira yang perlu dimiliki semua golongan bagi menghadapi perubahan dunia masa depan.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Mahani Razali, berhadapan masalah seharian yang dilalui setiap masa sangat memerlukan kemahiran berfikir dan membuat keputusan.

“Tanpa menguasai kemahiran berfikir yang betul akan menyebabkan individu membuat keputusan terburu-buru tanpa berfikir panjang.

“Memandangkan kemahiran berfikir sangat penting, maka ia perlu diajar kepada kanak-kanak sewal usia mereka.

“Kemahiran berfikir dalam kalangan kanak-kanak dapat dilihat apabila mereka mempunyai ciri-ciri seperti boleh dan dapat bekerjasama secara koloboratif, boleh mengemukakan cadangan, boleh memberi pelbagai idea, boleh menerima pendapat orang lain, berkeyakinan dalam memberikan pendapat, dan sentiasa kreatif dalam menyelesaikan masalah,” katanya.

Jelasnya, salah satu cara berkesan dalam membantu meningkatkan kemahiran berfikir golongan ini adalah melalui aktiviti bercerita.

“Sebenarnya, apabila kanak-kanak sedang mendengar cerita, mereka sedang dibantu untuk memperoleh kemahiran berimaginasi.

“Ketika mendengar cerita, kanak-kanak akan melakukan visualisasi di minda dengan menggambarkan apa yang didengar.

“Kemahiran menggambarkan keadaan di dalam minda merupakan asas keupayaan berimaginasi dan berfikir secara visual dengan menghubungkan imej atau bayangan,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Sambung Mahani, berfikir secara visual merupakan satu kaedah dalam membentuk imaginasi yang melampaui persepsi manusia.

Terdapat beberapa langkah boleh diambil ibu bapa atau guru-guru dalam meningkatkan kemahiran berfikir kanak-kanak melalui aktiviti bercerita.

Antara cadangan yang boleh diikuti ialah menggalakkan anak-anak bercerita semula apa yang didengari dalam bentuk bahasa dan pemahaman mereka sendiri.

Aktiviti ini akan membantu mereka membuat rumusan atau kesimpulan atas apa yang didengar dan bukan sekadar memberi tindak balas terhadap soalan berdasarkan fakta apa yang didengar.

Ibu bapa juga tegasnya, digalak bertanya soalan kepada anak-anak, kerana mengemukakan soalan merupakan satu yang efektif dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Situasi ini akan menggalakkan kanak-kanak mencari jawapan dengan mengimbas kembali cerita dan membuat rumusan berdasarkan kefahaman terhadap cerita berkenaan.

“Selepas bercerita, ibu bapa seharusnya meminta anak-anak menganalisa watak-watak dan tempat-tempat yang ada dalam cerita tersebut.

“Aktiviti seperti ini memberi peluang kepada kanak-kanak membanding dan membezakan antara cerita yang didengar dengan keadaan sebenar di luar cerita,” katanya.

Kanak-kanak perlu dibantu dan digalak membuat perancangan dalam setiap aktiviti yang ingin dilakukan.

Sekiranya berada dalam bilik darjah, pastikan kanak-kanak dapat melihat apa aktiviti yang akan dilakukan, sentiasa bertanya soalan kepada mereka dan guru menunjukkan kesediaan serta kesungguhan mendengar mengenai apa aktiviti yang akan dirancang.

“Tunjukkan tanda sokongan dan penerimaan terhadap perancangan berkenaan, galakkan bercerita atau menghurai apa yang ingin mereka lakukan dan bantu kaitkan perancangan itu dengan aktiviti seharian.” katanya.

Selain itu, Mahani beritahu, terdapat cara boleh dilakukan ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak ketika berada di rumah .

“Sebagai contoh, libatkan anak-anak dengan aktiviti membasuh, dengan meminta mereka mengasingkan baju mengikut warna atau saiz dan sebagainya.

“Bermain bersama anak-anak dengan bahan-bahan yang mempunyai elemen ‘bentuk’ dan ‘saiz’ seperti syiling, pinggan, dulang, dan pelbagai objek yang terdapat di dapur juga boleh meningkatkan daya berfikir.

“Ibu bapa boleh sediakan teka-teki mudah untuk anak-anak bermain, menyusun gambar yang terdapat diruang tamu mengikut urutan besar, kecil, tinggi atau rendah,” tuturnya.

Bagaimanapun Mahani mengingatkan ibu bapa agar berhati-hati ketika memberi jawapan terhadap soalan-soalan yang dikemukakan anak-anak.

Ini kerana, cara ibu bapa menjawab boleh menyebabkan anak-anak enggan bertanya lagi kerana bosan atau terasa diperolok-olokkan apabila jawapan yang diberi tidak relevan dengan pemikiran mereka.

Pada masa sama, dia turut menyarankan agar ibu bapa memberi pujian yang bersesuaian terhadap anak-anak sekiranya mereka dapat melaksanakan sesuatu kerja atau menjawab soalan dengan betul.

“Salah satu cara berkesan untuk mengalakkan kanak-kanak berfikir adalah dengan meminta mereka memberikan jawapan kepada sesuatu soalan.

“Kanak-kanak sebenarnya adalah ‘golongan’ penyelesaian masalah secara semula jadi kerana mereka sentiasa meneroka dan berhadapan dengan sesuatu perkara baharu yang memberikan mereka pengalaman,” tambahnya.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan