Sebagai isteri, saya tidak dilayan macam permaisuri, tidak dimewahkan dengan wang ringgit dan harta benda. Tidak dibawa melancong setiap tahun. Tidak juga dihadiahkan dengan emas permata dan barang berjenama semasa menyambut hari lahir.

Tidak pernah sekalipun. Hanya doa dan kata-kata serta pesanan yang lahir dari bibirnya. Yang ada, hanya sebiji kek dan anak-anak yang hadir meramaikan. Ini amalan kami, tidak kira hari lahir siapa.

“Jangan membazir, beli apa yang perlu, fikirkan anak-anak, jangan ikut orang, kita hidup cara kita.” Inilah yang menjadi slogan hidup kami atas kehendak dia.

Saya akur dengan kehendaknya. Sebab dia lelaki yang saya pilih untuk menemani saya, menjadi pelindung dalam rumah tangga yang kami bina. Dia yang tidak banyak bercakap. Pendiam dan hanya bersuara apabila perlu. Tidak pernah marah, jauh sekali meninggi suara kepada saya, apatah lagi dengan anak-anak.

Dia bekerja keras untuk menggembirakan kami. Saya dan anak-anaknya, Darmiezan, Dafrizal, Atteya dan Aqila. Memberi didikan agama, akademik dan makan pakai kami mengikut kemampuannya. Sampai kadang kala lupa untuk dirinya sendiri.

Di rumah, dia suami dan bapa yang penyayang, mengambil berat dan sentiasa mendahulukan kami dalam semua perkara. Tidak pernah berkata tidak jika anak-anak mahukan sesuatu, terutama keperluan sekolah walaupun ketika itu saya tahu dia tidak ada wang.

Dia abah yang sangat prihatin dengan anak-anaknya, sakit demam, persekolahan mereka diletakkan di tempat pertama. Dia mahu anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.

“Abah tidak sekolah tinggi, tak masuk universiti pun, tapi abah nak anak-anak abah belajar sampai ke universiti, dapat kerja baik dan berjaya macam orang lain. Belajar rajin-rajin, jangan malas. Biar abah cari duit. Jangan susah hati. Insya-Allah rezeki untuk kita ada.”

Seringkali itu yang diucapnya. Untuk anak apa sahaja dia akan buat. Pernah dua anak perempuan saya, Atteya dan Aqila mahukan pensil warna baharu untuk digunakan semasa peperiksaan. Ketika itu, mereka di sekolah rendah. Saya ingat lagi, hujan sangat lebat, kilat memancar-mancar. Dia ambil kunci kereta dan membawa kedua-dua anak kesayangannya itu ke kedai untuk membeli pensil warna baharu.

“Kasihan, depa (mereka) nak periksa. Nanti sedih pula sebab pensil warna tak ada,” katanya bila saya tanya kenapa keluar juga waktu hujan, ikutkan sangat kehendak anak.

Normala Hamzah bersama arwah suami, anak-menantu dan cucu-cucu.
Normala Hamzah bersama arwah suami, anak-menantu dan cucu-cucu.Foto/FB Normala Hamzah.

Bukan saya sahaja, anak-anak juga tidak dibiasakan dengan kemewahan. Barang mainan pun kami jarang beli sebab katanya, duit untuk beli mainan boleh digunakan untuk membeli keperluan sekolah dan makanan. Kalau ada pun yang murah-murah sahaja. Syukur anak-anak faham.

Kerjaya saya sebagai wartawan mengehadkan masa saya dengan anak-anak tetapi dia selalu berpesan, “Jangan keluar rumah, kalau makanan dan keperluan anak-anak tidak terhidang di atas meja.”

Disebabkan itu, saya tidak pernah tinggalkan rumah tanpa menyediakan makanan untuk anak-anak makan apabila balik sekolah walaupun ada anak saudara tinggal bersama saya menjaga mereka pada masa itu. Amalan itu saya teruskan sampai hari ini. Setiap kali mereka datang, saya mesti masak.

Lewat 1990-an, saya minta izin untuk melanjutkan pelajaran secara jarak jauh. Ini tawaran kedua yang saya terima selepas menolaknya pada kali pertama kerana anak-anak masih kecil. Jika kali ini gagal, saya terpaksa lupakan hajat untuk masuk universiti dan menggenggam ijazah.

Dia tahu impian saya untuk menggenggam segulung ijazah sejak kami mula kahwin. Juga impian bapa saya yang ingin melihat salah seorang anak perempuannya masuk universiti. Dengan izinnya, saya menyambung pelajaran di UiTM selama empat tahun. Pada masa itu, saya memegang jawatan Pengarang Majalah Wanita yang berpejabat di Taman Shamelin.

Setiap hari saya berulang alik dari Taman Shamelin ke Shah Alam selepas waktu kerja untuk menghadiri kuliah. Dia mengambil alih menjaga anak-anak di rumah, memeriksa kerja rumah mereka dan memastikan beg, pakaian sekolah, kasut sudah tersedia. Anak-anak tidak dihantar tuisyen dan belajar sendiri di rumah.

Dia penyuntik semangat dan peneman setia saya apabila saya berjaga malam untuk selesaikan kerja kuliah dan penyelidikan hingga lewat pagi, termasuk masa peperiksaan akhir. Saya menghadap komputer, dia duduk di sofa menonton televisyen. Sesekali dia bancuhkan kopi untuk saya. Dialah juga yang membantu saya buat binding dan fotostat apa yang perlu. “Ada apa nak buat..., bagi abang, jangan susahkan diri.”

Pada hari saya menerima ijazah, dia menangis semasa saya peluk dan cium tangannya sambil mengucapkan terima kasih kerana memberi izin saya sambung belajar. Dia sangat gembira bercampur sedih sebab saya berjaya mencapai impian saya.

“Lain kali abang nak tengok anak-anak pula naik pentas terima scroll.” Katanya.

Apabila Darmiezan, Dafrizal, Atteya dan Aqila dapat masuk UiTM, dialah orang yang paling gembira. Berulang alik ke Segamat, Dungun dan Permatang Pauh selama tiga tahun menjenguk anak-anak menjadi rutin kami.

Dia tidak pernah merungut, tidak pernah mengeluh penat atau letih walaupun kerap sangat memandu beratus-ratus batu. Katanya, untuk anak, dia tidak rasa penat pun. Dia bahagia apabila melihat anak-anak gembira me­nyambut kedatangannya.

Dia tidak pernah tunjuk kasih sayangnya. Tidak pernah bagi saya bunga atau coklat kalau sambut hari lahir. Tidak bawa saya makan di hotel dan restoran mewah. Tapi saya tahu dia sangat sayang kepada saya dan anak-anak.

Awal Januari 2017, saya mula nampak perubahan dirinya. Badannya mula susut, selera makan hilang, keceriaannya mula pudar. Berbeza apabila bersama cucu-cucu, wajahnya sangat ceria.

“Inilah harta abang, mereka buat abang gembira,” katanya tersenyum melihat telatah cucunya, Delisha, Harith dan Maryam setiap kali berjumpa mereka. (Al-fatihah buat cucunda, Dalila Hayfa).

Hati saya semakin berdetik setelah dia mula bercakap tentang apabila dia ‘sudah tidak ada’. Ja­ngan merepek, tegur saya. Banyak perkara lain boleh cakap.

“Abang harap dapat bertahan sampai Aqila kahwin. Abang berdoa supaya dapat mewalikan Aqila nikah. Itulah yang kerap dia cakap ketika saya dan anak-anak sibuk membuat persiapan perkahwinan anak bongsu kami, Mac lalu. Alhamdulillah. Doanya Allah makbul.”

April 2017, kesihatannya mula merosot. Selera makan hampir hilang terus. Pemeriksaan bulanan menunjukkan dia sihat. Bacaan gula terkawal, tekanan darah dan buah pinggang baik. Hati saya agak tenang dan lapang dengan keadaannya itu.

Dia kembali dengan hobinya menonton siaran sukan dan Natio­nal Geography di TV, bermain de­ngan cucu, menemani saya menghantar telekung wakaf, memberi makan gelandangan, menghantar sumbangan ke rumah anak yatim dan menyokong apa sahaja aktiviti dan kerja amal yang saya buat.

Dia orang yang baik. Tidak pernah campur urusan kerja saya. Pandai membawa diri. Tidak pernah susahkan saya. Lebih menurut, tidak membantah tetapi sentiasa menyokong apa yang saya buat. Restunya bagi saya sangat berharga.

Rahsia hatinya sukar dikorek. Disimpan kemas dalam hatinya. Sebab tidak mahu saya susah hati. Tidak mahu anak-anak lihat dia bersedih.

Siapa sangka, janji Allah dengannya datang tepat pada waktunya, tidak terlewat atau terawal walau sesaat. Rabu 28 Jun 2017, pukul 4.05 petang, adalah hari terakhir saya bersamanya. Melihat kesakitannya. Membisikkan kalimah Allah di telinganya buat kali terakhir sebelum nafasnya terhenti.

Rasa bimbang saya menjadi kenyataan. Tangan kanannya yang saya genggam terlerai dari genggaman dan air jernih yang mengalir dari kelopak matanya berhenti ketika saya menghantarnya pulang kepada penciptaNya dengan lafaz Innallah hi wainna ilaihirajiun.

Kau pinjamkan dia untuk aku dan anak-anak selama 37 tahun. Dia suami yang baik, abah yang penyayang. Terlalu singkat rasanya waktu bersama dia. Tetapi aku reda, Kau ambil dia semula. Tolong jaga dia untukku Ya Allah. Ampunkan dosa-dosanya. Bahagiakan dia di sana. Lapangkan kuburnya dan janjikan dia syurgaMu yang bahagia. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu dan menempatkan abang bersama para solihin.

Berpisah kasih talak tiada, berpisah hanya di dunia sahaja, di akhirat nanti insya-Allah kita pasti bertemu juga. Akan ku simpan memori indah kita yang tidak akan padam, seperti mana kasihmu yang sentiasa mewangi. Al-fatihah

Salam, Normala Hamzah.