Hampir setahun menubuhkan Planet Gadget Murah, ‘saudara baharu’ ini terus mengorak langkah apabila perniagaannya mampu berkembang dan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada masyarakat sekeliling, sekali gus memberi idea kepadanya untuk membuka dua buah lagi cawangan di Gong Badak serta Marang pada bulan lalu.

Nurul Ain berkata, keputusannya berhenti kerja sebagai penyelia dan melaburkan keseluruhan wang simpanan untuk kegunaan masa depan keluarga selepas mendirikan rumah tangga dengan Helmi Haffizudin, 27, adalah pilihan tepat kerana kini dia mampu memperoleh jualan mencecah RM3,000 sehari.

“Pada awalnya, saya hanya menyasarkan jualan RM1,000 sehari tetapi dalam tempoh hanya tiga bulan, wujud peningkatan sehingga saya terpaksa menambah stok gajet dan telekomunikasi jenama iPhone menerusi tempahan yang diambil terus dari China.

“Sebagaimana nama kedai, Planet Gadget Murah, begitulah juga konsep perniagaan yang dijalankan iaitu barangan dijual sekali ganda lebih rendah daripada harga semasa di pasaran, selain turut menawarkan pelbagai pilihan terkini buat pelanggan,” katanya kepada S2.

Beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 11 malam, suasana kedai yang ringkas dan selesa ditambah dengan layanan mesra daripada sembilan kakitangan menjadikan kedai milik wanita yang memeluk Islam sejak tiga tahun lalu itu pilihan ramai pelanggan terutama dalam kalangan generasi muda untuk membeli barangan aksesori bagi peranti pintar mereka.

Menurut Nurul Ain, pihaknya kini memperluaskan cabang perniagaan menerusi perkhidmatan membaiki iPhone selaras perancangan untuk menjadi pembekal komponen telefon pintar jenama itu bagi pasaran di bandar raya Kuala Terengganu menjelang akhir tahun ini.

Katanya, dalam membina tapak yang kukuh untuk terus berdiri dan berkembang dengan lebih maju, Planet Gadget Murah menggunakan strategi tersendiri termasuk sentiasa mengemaskini stok dan memeriksa keluaran terbaharu bagi memastikan produk yang dijual adalah yang pertama di Terengganu.

“Saya merancang untuk mengembangkan jenama perniagaan Planet Gadget Murah secara francais di seluruh daerah di Terengganu dan mereka yang berminat hanya perlu melabur sebanyak RM70,000, iaitu RM50,000 daripadanya meliputi kos barangan, manakala baki digunakan untuk mengubah suai kedai,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman Facebook, Planet Gadget Murah Do’oh.