Akibatnya, B Krishna Kumar, anak sulung daripada tiga beradik yang dibesarkan di Kampung Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu, tidak dapat berjalan.

“Saya dirawat di Hospital Seremban, setelah dibawa balik ke rumah, terpaksa pula menjalani fisioterapi mengakibatkan saya tidak bersekolah setahun. Akhirnya, saya berjalan semula biarpun bertatih dengan sokongan ayah dan ibu.

“Saya bersekolah kembali dalam darjah tiga di Sekolah Kebangsaan St. Aidan, Bahau. Mujurlah, biarpun lama meninggalkan sesi persekolahan kerana sudah boleh membaca dan menulis saya tidak berhadapan masalah ketika belajar biarpun tahun-tahun itu saya hadapi dengan agak mencabar.

“Jikalau masa cuti sekolah kawan-kawan akan pergi bercuti tetapi saya menghabiskan masa di hospital untuk terapi,” tambahnya yang mempunyai ramai kawan berbangsa Melayu.

Kata Krishna Kumar, ketika berada di Tingkatan 2, di Sekolah Menengah Datuk Mansor, dia dipilih oleh rakan-rakannya untuk menjadi ketua rumah sukan, tetapi tidak dipersetujui gurunya, memandangkan fizikalnya yang dikhuatiri tidak akan dapat menerajui rumah sukan berkenaan.

“Apabila mendengar kata-kata cikgu itu saya tidak marah, tetapi terfikir, bagaimana kehidupan ini nanti, adakah saya akan terus dipandang lemah akibat kekurangan fizikal.

“Dari situ saya ingin membuktikan kepada orang lain yang saya boleh berdikari dan memberi bantuan pula kepada mereka yang memerlukan.

“Langkah pertama saya harus buktikan cemerlang dalam pelajaran dan menjadi pelajar terbaik di sekolah.

“Seterusnya, bersama rakan-rakan saya mengumpulkan 20 sen untuk membeli buku latihan dan berikan kepada rakan-rakan yang tidak mampu selain majalah untuk dikongsi bacaannya dengan rakan-rakan.

“Saya juga membimbing rakan-rakan yang lemah dalam pelajaran dengan mengadakan kelas tambahan kepada mereka terutama dalam subjek Sejarah dan Bahasa Inggeris,” katanya.

Ketika di tingkatan empat, Krishna Kumar meminta pengetua sekolah berkenaan, mendiang Ung Tak Hean, untuk mengadakan Liga Sekolah-Sekolah Menengah Datuk Mansor.

Dalam 15 pasukan yang menyertai liga bola sepak itu, Kelab pimpinan Krishna Kumar bernama Jollyland FC menjadi juara dua tahun berturut-turut.

Pemain pasukan kelabnya ini terdiri daripada pelajar berbilang kaum dan golongan pelajar yang kurang berkemampuan.

Krishna Kumar sendiri diberi keistimewaan dengan diberi bilik kecil di sekolahnya yang dijadikan sebagai bilik kaunseling untuk berinteraksi dengan rakan-rakan yang bermasalah.

“Saya berjaya di sekolah kerana guru-guru terutama Pengetua dan Penolong Pengetua, Datuk Darus Salim (bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap bekas ADUN Johol) memberi peluang untuk membuktikan kebolehan dalam bidang kepimpinan,” katanya.

Yayasan Pembangunan Sosial beri kemahiran

Kecenderungan Krishna Kumar ke arah kebajikan dan sosial, menyebabkannya selesa untuk memilih Yayasan Pembangunan Sosial (YPS) tempat dia menyemai khidmat dan bakti. Yayasan yang ditubuhkan 2011 ini berobjektif bagi melahirkan generasi pelajar berkemahiran. Bagi yang memerlukan bantuan pula, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yayasan akan memastikan apa sahaja yang baik diberikan kepada golongan ini.

Sebagai Pengurus Besar di YPS, Krishna Kumar optimis memastikan visi yayasan untuk menjadi sebuah organisasi cemerlang dalam menyediakan peluang pembangunan sosial, menyediakan penajaan, bantuan dan kemudahan berkualiti kepada rakyat berbilang kaum tercapai.

“YPS menumpukan kepada program khusus buat belia yang gagal menempatkan diri di dalam institusi pengajian tinggi sama ada kerana mereka gagal dalam peperiksaan, tercicir dalam pelajaran akibat masalah yang tidak dapat dielakkan, mengenali celik komputer bagi warga emas, membimbing generasi Y dan sebagainya,” katanya.

Krishna Kumar selalu dilihat pada dada-dada akhbar dengan pelbagai program kebajikan dan penajaan, bekerjasama dengan sesebuah kementerian dan agensi-agensi kerajaan lain.

Tuisyen percuma

Setelah tamat tingkatan lima, ketika menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran, Krishna Kumar berada di Klang, Selangor, dan menjadi pengajar sambilan di sebuah pusat tuisyen. Antara tugasnya ialah memberi ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar.

Dia turut mengadakan tuisyen percuma kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dan juga kelas bimbingan dengan hanya mengenakan yuran RM1 sebulan serta bimbing tentang teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan di sekolah-sekolah.

“Seterusnya, saya mendapat tawaran kemasukan ke sebuah universiti awam.

“Setelah tamat pengajian, saya mengajar di sebuah sekolah swasta. Di sini saya diberi tanggungjawab untuk membimbing anak-anak gengster, pelajar yang terlibat dengan dadah dan gejala sosial lain,” katanya.