Saya pasti majoriti pembeli, khususnya wanita hari ini jika ditanya, ramai memberikan jawapan mereka lebih gemar membeli-belah di dalam talian daripada menghabiskan masa mereka di pusat beli-belah. Ya, daripada menghabiskan masa mencari ruang parkir, membayar tiket parkir yang mahal, dan pulang setelah berjam-jam melewati setiap kedai, hampa.

Maka, tidak hairan jugalah, melalui artikel Business Insider Malaysia awal Januari lalu, dikhabarkan syarikat gergasi Macy’s Inc. yang gah dan berpusat di New York, Amerika Syarikat (ditubuhkan sekitar 1858) itu juga khabarnya akan menutup 68 cawangan pusat beli-belah mereka dalam beberapa bulan akan datang. Ini ekoran penurunan jualan yang teruk dan saingan penjualan dalam talian merupakan antara cabaran Macy’s Inc.

Walaupun senario ini tidak berlaku di Malaysia, tetapi ia seakan-akan tanda lebih banyak kedai-kedai di seluruh dunia bakal mengikuti jejak Macy’s, Kmart dan Sears .

Melihat kepada senario tersebut, bukan sahaja akan memberi impak kepada syarikat malah dikatakan beribu-ribu pekerja turut akan kehilangan pekerjaan.

Di sini saya melihat ada beberapa kelebihan dan kekurangan kepada pengguna, jika ia berterusan.

Saya ingin membawa anda berimaginasi sedikit bersama saya. Cuti sekolah bulan Mac nanti, salah seorang kenalan rapat atau ‘bff’ wanita anda bakal melangsungkan perkahwinan. Hajat di hati, ingin mencari sepasang baju bersesuaian mengikut warna tema diberi, diserikan dengan tudung yang berpadanan. Disebabkan tema, dan trend terkini yang banyak bermain dengan warna-warna lembut pastel, anda turut terjebak membeli apa yang menjadi trending di pasaran. Dan kerana ianya hari bersejarah rakan baik anda, ‘hangus’ jugalah sejumlah simpanan atau sebahagian daripada gaji bulan tersebut.

Seperti kebanyakan rakan anda yang lain, membeli belah secara dalam talian dianggap lebih mudah dan banyak pilihan. Lalu tanpa berlengah lagi, satu persatu laman perniagaan busana Muslimah di Instagram dan Facebook anda cari. Sesuai pula dengan bajet yang diperuntukkan, anda terus beli.

Bila tiba hari yang dinanti-nantikan, anda cukup teruja untuk mengabadikan kenangan hari itu dengan pasangan pengantin juga kenalan rapat yang hadir. Di dalam keterujaan entah bagaimana, anda dapati gambar bersama pasangan pengantin, juga gambar berkumpulan itu tadi menampakkan anda kurang bermaya, kusam, muka agak berumur dan gelap dari biasa, seakan-akan tenggelam di sebalik mereka yang lain. Hati mula tertanya-tanya, di mana sebenarnya yang tersilap?

Baju koleksi sedia pakai (RTW) jenama terkenal, tudung pula dari koleksi terkini selebriti popular. Beg tangan dan kasut disuaipadankan dengan begitu teliti sekali.

Jika hendak dikira, jumlah pelaburan dari tudung , baju, beg tangan dan kasut sahaja sudah mencecah empat angka. Apakah sebenarnya yang berlaku? Perlukah berhabisan sehingga lima angka untuk mendapatkan ‘wow’ dari pandangan pertama? Pendapat anda?

Bagaimana jika saya katakan, pembelian secara online kebanyakan masanya berakhir dengan tersalah pilihan warna, saiz baju dan kasut, jenis fabrik yang agak berlainan dari gambar yang diiklankan, rekaan yang tidak sesuai dengan jenis dan bentuk badan, tudung segera yang terlalu kecil atau besar untuk saiz muka dan sebagainya. Walaupun mungkin harganya serendah RM40 bagi setiap pembelian, bagaimana pula jika dijumlahkan pula kesemua senarai pembelian di atas satu persatu? Secara bulanan dan tahunan?

Persoalannya, berapa peratuskah barangan yang sampai di hadapan pintu rumah anda hari ini yang mampu memberikan kepuasan sepertimana anda membeli belah secara fizikal di pusat membeli- belah?

Ya, walaupun anda terpaksa bersesak mencari ruang parkir, bayaran parkir yang agak tinggi dan berjam-jam mengelilingi pusat membeli belah, sekurang-kurangnya anda puas hati.

Dapat juga menilai, merasai barangan yang ingin dibeli di depan mata, dan boleh menukar pula saiz barangan sehinggalah anda puas hati.

Ya, saya akui, tidak semua pembelian secara dalam talian ini memberikan produk yang tidak berkualiti dan berlainan dari apa yang ditawarkan, tapi jarang sekali memberikan kepuasan sebagaimana pembelian di pusat membeli belah.

Bagaimana jika saya berikan anda formula membeli-belah, teknik mudah 15minit, tanpa perlu lagi rasa menyesal kerana bersesak mencari dan membayar harga parkir yang tinggi.

Sebab anda merasakan membeli belah satu cabaran

  •  Peruntukkan bajet
  •  Tidak pasti personaliti gaya anda sebenar
  •  Tidak tahu apa yang sesuai dengan bentuk badan anda yang agak mencabar
  •  Tidak tahu bagaimana hendak menyuaipadankan pakaian yang ada.
  •  Seringkali pulang dengan pilihan warna pakaian atau tudung yang tidak tepat.

Jadi kesimpulannya anda mungkin membeli kerana mengikuti trend, bukan apa yang sesuai dengan siapa anda hari ini.

Disebabkan itu jugalah aktiviti membeli-belah menjadi satu aktiviti yang memenatkan kerana anda perlu berjalan dari satu kedai ke satu kedai bagai tiada panduan.

Pernahkah anda dibawa ke pusat membeli belah dan belajar tentang bagaimana memilih pakaian mengikut kesesuaian warna, rekaan baju, jenis badan, jenis fabrik bertepatan, kasut dan aksesori sesuai mengikut majlis malah keseluruhan gaya personaliti anda.

Selain menenangkan minda, ia juga membantu anda mengenali diri anda lebih dekat, eksklusiviti memilih secara langsung menyediakan anda satu kemahiran dan ilmu yang lengkap tentang warna yang sesuai dan tidak sesuai dengan anda berdasarkan undertone masing-masing.

Bayangkan satu formula yang membantu mengaplikasikan untuk segala pembelian, pakaian, tudung, hiasan dan rekaan pada pakaian, aksesori fesyen seperti kerongsang, tali pinggang, jam tangan, kasut, beg tangan, koleksi solekan, warna rambut, malah kanta warna.

Berapakah agaknya jumlah pembaziran yang dilakukan jika anda kerap ulangi dengan membeli barangan yang salah sepanjang tahun?