Berasal dari Myanmar, dia yang sudah 15 tahun berhijrah ke negara ini bertekad mahu membela nasib anak-anak Rohingya yang sentiasa diselubungi prejudis negatif yang dilemparkan kepada mereka.

Mengambil inisiatif sendiri untuk menubuhkan sebuah pusat tahfiz, Tahfizul Quran Al Jameelah, pusat tersebut menawarkan kelas-kelas pembelajaran agama untuk anak-anak pelarian yang terpinggir daripada mendapat pendidikan formal.

Menurutnya yang datang ke negara ini pada 2002 selepas tamat pengajian di Universiti Islam Yala, Thailand, asalnya dia diajak rakan-rakannya dari Malaysia untuk mencari pekerjaan di sini, namun tidak menyangka dia akhirnya mampu membuka sebuah pusat tahfiz untuk golongan pelarian.

Ceritanya, apabila tiba di negara ini, Huzaifah ditawarkan menjadi tenaga pengajar di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan turut mengambil tugas sebagai imam di sebuah surau yang terletak di Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

“Apabila berkhidmat sebagai imam di sana, masa saya banyak dihabiskan di kawasan tersebut. Saya melihat terlalu ramai kanak-kanak terbiar di jalanan, jadi saya ambil keputusan untuk membuka kelas agama kepada mereka.

“Pada mula, saya melakukannya secara sambilan, namun lama-kelamaan kelas yang diadakan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan anak tempatan dan anak pelarian.

“Pada 2007, saya ambil keputusan untuk pecahkan kelas tersebut kepada dua bahagian kerana ruang yang ada sangat kecil untuk memuatkan semua murid. Kebetulan pula ketika itu ada seorang individu mahu mewakafkan rumahnya untuk anak-anak ini. Jadi saya menempatkan anak-anak pelarian di Rawang , yang turut menyediakan asrama kepada mereka, manakala anak-anak tempatan di Jalan Ipoh,” katanya ketika ditemui di Tahfizul Quran Al Jameelah, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Kata Huzaifah, pusat tahfiz yang ditubuhkan itu menggunakan wang peribadinya di samping menerima bantuan dana daripada orang ramai untuk beroperasi dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM8,000 sebulan merangkumi pengurusan pentadbiran, pendidikan, gaji guru, keperluan harian, makanan, dan bil utiliti.

Dia yang mendapat tauliah mengajar daripada pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan, setiap anak pelarian yang dibawa ke situ atau yang datang secara sukarela dipastikan mempunyai jaminan masuk secara sah ke negara ini sebagai pelarian.

Ujarnya, setiap anak pelarian yang berdaftar dengan Tahfizul Quran Al Jameelah diwajibkan mempunyai kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) supaya tiada masalah pada kemudian hari.

“Memandangkan kanak-kanak yang berstatus pelarian tidak berpeluang untuk ke sekolah harian biasa, kewujudan sekolah persendirian seperti Tahfizul Quran Al Jameelah amat penting untuk golongan terbabit bagi membolehkan mereka dibekalkan dengan pendidikan.

“Buat masa sekarang, pusat tahfiz ini hanya menawarkan pengajian agama, namun saya sedang berusaha memasukkan akademik sebagai silibus pembelajaran supaya pelajar-pelajar dapat mengikuti proses pembelajaran selari dengan anak-anak tempatan,” katanya.

Menurut Huzaifah, ada beberapa pelajar di tahfiz itu pernah ditawarkan menyambung pengajian agama di negara-negara Arab, tetapi disebabkan sukar mencari penajaan, mereka terpaksa melupakan peluang tersebut.

“Sayang rasanya jika mereka yang sudah bergelar hafiz tetapi tidak boleh menyambung pengajian. Ini kerana untuk menjadi guru agama tidak cukup dengan bergelar hafiz sahaja, justeru, saya berharap ada pihak yang sudi menaja pelajaran mereka supaya masa depan anak-anak ini lebih terjamin,” ujarnya yang dibantu tiga orang guru dan seorang pengawas untuk menguruskan 50 penghuni.

Jelasnya, tenaga pengajar turut membantu mendedahkan mereka tentang budaya tempatan dan kemahiran insaniah supaya apabila keluar dari pusat tahfiz tersebut, mereka dapat bergaul dengan masyarakat setempat dengan lebih baik.

Ujarnya, disebabkan penghuni di pusat tersebut semakin ramai, mereka sering kali berhadapan dengan masalah kekurangan barangan mentah untuk dimasak kerana bantuan yang diterima agak terbatas.

Dia berharap orang ramai dapat membantu pusat tahfiz ini untuk terus membela nasib anak-anak Rohingya sama ada menyalurkan sumbangan wang tunai, bahan mentah atau barangan keperluan diri.